BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, March 30, 2010

PBAKL Menjadi Medan Pertemuan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 yang tamat kelmarin, mempertemukan saya dengan ramai kenalan dan sahabat. Malah, booth Galeri Ilmu di ruang legar PWTC juga menjadi tempat pertemuan ramai penulis.

"Terima kasih kerana mempertemukan ana (saya) dengan Pak Nora. Sedih, antara ana dan dia siapalah yang dijemput Allah dulu," luah sahabat saya Pahrol Mohd Juoi yang menulis kata pengantar untuk buku Di Tengah Kota: Memoir Sasterawan Nora dan hanya berkesempatan bertemu kembali dengan sasterawan itu di pesta buku sejak sekian tahun.

Saya berbesar hati dengan kehadiran penulis-penulis dan novelis-novelis Galeri Ilmu yang membantu mempromosi buku masing-masing. Saya juga berbesar hati dengan kunjungan rakan penulis seperti Ustaz Mohd Ghazali Ibrahim, Nisah Haron, Zaid Akhtar dan ramai lagi. Malah saya sangat berbesar hati dengan kehadiran beberapa orang calon penulis Galeri Ilmu, termasuk yang selama ini saya hanya temui di ruang maya (melalui e-mel).

Cuma dua orang penulis Galeri Ilmu yang belum sempat meramaikan booth Galeri Ilmu dalam PBAKL, iaitu Sdr Hilal Asyraf dan Sdr Hasan Suyut, penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah. Sdr Hilal (penulis siri buku tarbiah rohani Langit Ilahi, novel VT, Remaja Mulia dan Sinergi) sedang menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan, manakala sahabat saya Sdr Hasan berada di Amerika Syarikat sejak 2007.

Hilal Asyraf dan Hasan Suyut belum berkesempatan balik ke Malaysia sejak manuskrip buku mereka mula diusahakan hinggalah ke saat buku masing-masing diterbitkan dan dipamerkan di pesta buku. Malah, saya dan rakan-rakan di Galeri Ilmu belum pernah bersua muka dengan Hilal Asyraf walaupun sering berhubung melalui e-mel dan beberapa kali bercakap melalui telefon dengan beliau di Jordan. Hasrat untuk melihat Sdr Hilal dan Sdr Hasan muncul di PBAKL belum kesampaian.

Mentor penulisan/penerbitan buku Tuan Fauzul Na'im Ishak (Pengurus Besar Editorial PTS) turut menjengah booth Galeri Ilmu, dan saya hanya sempat membalas kunjungan ke booth PTS bertemu dengan beliau, Puan Ainon Mohd dan Prof. Abdullah Hassan pada detik-detik akhir sebelum tirai PBAKL dilabuhkan. Kami di Galeri Ilmu pernah menjemput Puan Ainon memberikan ceramah penerbitan buku dua tahun lalu. Saya juga pernah beberapa kali menghadiri bengkel kendalian Puan Ainon dan bengkel Tuan Fauzul Na'im. Maka saya berbesar hati dapat menghadiahkan buku terbaru saya, Secubit Halwa Penawar Jiwa: 100 Kisah Kehidupan kepada Puan Ainon dan Tuan Fauzul Na'im.

Saya mendapat lebih pencerahan untuk menulis buku itu selepas menghadiri bengkel Tuan Fauzul di DBP. Dalam sesi PDK bengkel itu, saya membentangkan cadangan penulisan buku itu bersama kumpulan saya. Dan pada PBAKL kali ini, buku itu menjadi realiti. Alhamdulillah.

Pada detik-detik akhir sebelum tamatnya PBAKL 2010 juga, barulah saya sempat 'berkejar dengan masa' membeli sejumlah buku, termasuk di booth PTS. Main sambar-sambar saja.

"Jumpa lagi tahun hadapan," sapa petugas di kaunter bayaran booth PTS.

"Insya-Allah jumpa lagi, mudah-mudahan," sahut saya.

Jika panjang umur, PBAKL 2011 akan menjadi medan pertemuan seterusnya dengan sahabat dan kenalan yang dekat dengan dunia buku. Insya-Allah.




5 comments:

Syukri Sapuan said...
This comment has been removed by the author.
Syukri Sapuan said...

Assalamualaikum Encik Zakaria Sungib.

Tahniah atas kejayaan Galeri Ilmu di PBAKL 2010, dalam usaha memasarkan buku-buku berkualiti & bermanfaat kepada masyarakat.


Saya teringin sekali menerbitkan novel bersama Galeri Ilmu, tetapi masih memeram idea-idea menarik. Juga sedang menghadapi musim peperiksaan semester akhir. InsyaAllah, mungkin satu hari nanti?

Zakaria said...

Waalaikumussalam Sdr Syukri,

Terima kasih atas perhatian dan pemerhatian.

Kami sangat mengalu-alukan bakat muda seperti saudara. Saudara boleh pergi jauh, insya-Allah.

Hubungi saya di alamat e-mel zakaria@galeriilmu.com.my, nanti saya e-melkan contoh proposal novel Islami kepada saudara.

MARSLI N.O said...

Salam Pak Zakaria. Menjengah di petang 28 Mac. Tidak kelihatan Pak Zakaria. Ketika seorang kakak mengumumkan sesuatu di situ. Moga satu waktu bisa bertemu dan berbual ringkas secara tatap muka. Tahniah atas kerja kerasnya.

Zakaria said...

Waalaikumussalam.
Sayang, tak dapat ketemu. Saya ada di gerai pada tarikh itu, cuma waktu Tuan Marsli datang, saya entah ke mana.
Insya-Allah jumpa waktu yang lain.