BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, January 30, 2009

Tidak Semua Orang Perlu Menjadi Penulis (KEMASKINI)

Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad adalah murid kepada Habib Umar bin Abdurrahman al-Attas, ulama besar dari Hadramaut, Yaman (992H-1072H). Semasa hayatnya Habib Umar tidak mengarang sebarang kitab, kecuali menyusun zikir yang dikenali sebagai Ratib al-Attas, yang diamalkan di merata tempat sampai ke hari ini.

Seorang murid Habib Abdullah bertanya kepada beliau mengenai gurunya Habib Umar yang mengikut pemikiran cetek si murid, mempunyai kekurangan kerana tidak menghasilkan sebarang karya. (Habib Abdullah sendiri banyak menghasilkan kitab, selain menyusun zikir yang dikenali sebagai Ratib al-Haddad.)

Habib Abdullah lalu berkata kepada muridnya yang bertanya itu, “Aku adalah salah satu karya beliau.”

Habib Umar tidak mewariskan karya-karya bertulis tetapi beliau ‘mencetak’ manusia melalui didikan dan bimbingan.

Ya, tidak semua orang perlu menjadi penulis. Ertinya, tidak semua orang dikurniai bakat dan minat untuk menulis. Tetapi orang-orang yang mempunyai pemikiran dan kefahaman Islam yang tinggi mampu melahirkan penulis yang ada idealisme.

Habib Umar bukan penulis, tetapi beliau melahirkan anak murid yang berketrampilan sebagai penulis. Habib Umar mencetak insaniah Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad hingga Habib Abdullah mampu menumpahkan idealismenya ke dalam karya-karyanya seperti an-Nashaa’ih ad-Diiniyah, ad-Da’wah at-Taammah”, al-Muzakkarah Ma’a al-Ikhwan wal-Muhibbin, al-Fawassal al-’Ilmiyyah dan Ithaf as-Sa’al Ba’jawabah al-Masa’al.

Wajarlah bagi penulis yang membawa idealisme berteraskan Islam untuk berguru bagi menambah kefahaman dan penghayatannya dalam agama. Kefahaman dan penghayatan itulah yang hendak ditumpahkan ke dalam karyanya supaya karya itu ada roh.

Guru mursyid mungkin sukar dicari sekarang ini. Oleh itu, cari saja mentor yang mempunyai banyak ciri kesempurnaan pada dirinya, walaupun dia tidak sempurna. Cari mentor yang ada ciri guru mursyid walaupun dia bukan mursyid.
Mohon kepada Allah agar mempertemukan kita dengan mentor yang dapat memberi kita bimbingan dalam memahami, mengamalkan dan menghayati agama. Carilah mentor ini di majlis-majlis ilmu, bukan sekadar melalui buku. Jika Allah izinkan, kita akan bertemu. Mentor ini mungkin tidak pernah menghasilkan walau satu tulisan. Tetapi dengan bimbingannya, kita dapat menulis dengan fikrah yang jelas dan kefahaman yang jitu hasil keberkatan ilmu yang diperolehi dengan menjaga adab-adab berguru.

Friday, January 23, 2009

'Air Tangan' dalam Penulisan

‘Air tangan’ selalu dikaitkan dengan masakan ibu. Tetapi menurut sifu saya, ‘air tangan’ bukan hanya ada pada kerja memasak, bahkan dalam setiap jenis pekerjaan.

Apakah ‘air tangan’?

Sifu saya berbicara, “Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.“Falsafah di sebalik ‘air tangan’ inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah SAW agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya: ‘Bahawasanya Allah SWT suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya.’”

Dalam penulisan, ‘air tangan’ juga berkait dengan idealisme penulis. Apa yang penulis ingin sampaikan lewat tulisannya. Dan ia bergantung pada sejauh mana penulis memahami dan menghayati teras kepada idealismenya. Jika dia membawa idealisme yang berteraskan Islam, sejauh mana dia memahami dan menghayati Islam itu.

Dalam tulisan-tulisannya akan dapat dirasakan ‘air tangan’ sang penulis. Kasih dan cintanya kepada Islam mengalir dalam tulisan itu.

Saya sebenarnya bukanlah orang yang layak untuk bercakap tentang kasih dan cinta kepada Islam, kepada Allah dan Rasul. Saya sekadar ingin berkongsi ilmunya, yang mudah-mudahan Allah nilai sebagai ibadah.

Setiap penulis yang membawa idealisme berteraskan Islam wajar memahami dan menghayati Islam dalam kehidupan. Biarlah kita menulis atas dasar iman dan Islam. Atas dasar mahu berkongsi kefahaman dan penghayatan itu.

Sama ada kita menulis artikel, cerpen, skrip drama, skrip filem, buku atau novel, biarlah kita tumpahkan kefahaman dan penghayatan Islam kita di situ. Biarlah ia jadi wadah kita merayu redha Allah dengan menyampaikan kebaikan dari Allah dan Nabi-Nya. Jika kita dapat menyampaikan hanya satu ayat pun, mudah-mudahan nilai satu ayat itu besar di sisi Allah.

Sebagai editor buku dan novel Islami, saya kian banyak disuakan dengan ‘air tangan’ dari penulis-penulis yang mempunyai kefahaman dan penghayatan Islam yang baik. Kefahaman dan penghayatan itu dapat dilihat dan dirasa (kerana setiap orang membaca bukan hanya dengan akal tapi juga dengan perasaan).

Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana Allah mempertemukan saya dengan penulis-penulis ini. Mereka bukanlah nama-nama besar dalam dunia penulisan. Mereka adalah bakat-bakat muda, bakat-bakat baru yang kebanyakannya baru hendak melahirkan karya sulung.

Berkat idealisme yang jelas, dan mudah-mudahan atas dorongan niat yang ikhlas, bakat-bakat baru ini dapat mengalirkan ‘air tangan’ mereka pada tulisan-tulisan yang sedap dibaca. Tulisan yang membawa pembaca kepada Tuhan dengan gaya olahan yang menyejukkan hati dan menyentuh perasaan.

Wednesday, January 21, 2009

Kill Your Darling!

Kira-kira 20 tahun lalu, saya berkongsi dengan sifu saya ungkapan ini, “Kill your darling!” (Untuk Anis keluaran Mac 2009, beliau menulis mengenai judul yang sama tetapi mengaitkannya dengan ‘darling’ dalam kehidupan.)

“Kill your darling” merujuk kepada frasa atau ayat dalam hasil tulisan kita yang kita berasa sayang untuk potong tetapi sebenarnya perlu dibuang untuk melancarkan tulisan.
Sewaktu menulisnya, kita merasakan ia hebat dan indah, lalu kita menganggapnya ‘darling’. Tetapi apabila ditimbang semula, ia terasa pula janggal atau tidak relevan. Apabila kita buang ‘darling’ itu, ia tidak mencacatkan tulisan, sebaliknya membuang kecacatan pada tulisan itu.

Bermakna, frasa atau ayat yang kita sayang sangat itu sebenarnya tidak perlu ada dalam tulisan itu. Ia perlu dinyahkan.

‘Darling’ ini ada kalanya berada di baris-baris pembukaan (intro) dan ada kalanya di tengah-tengah isi tulisan atau mungkin di penutup.

Oleh sebab itu, penulis perlu melakukan ‘self-editing’ selepas habis menulis satu artikel, buku atau skrip. Dia perlu menyemak dan membaiki sendiri tulisannya sebelum menyerahkan tulisan itu kepada editor.

Penulis harus mencari dan membunuh ‘darling’ dalam tulisannya, sebelum membiarkan editor membunuhnya.

Dalam menyemak semula tulisan kita, kita akan mencari ruang kesilapan yang boleh dibaiki (atau ruang kedangkalan yang boleh disempurnakan dengan cara menambah isi atau ungkapan).
Itu pun, ada perkara yang penulis sendiri mungkin terlepas pandang. Ada orang lain yang akan mengesan kesilapan atau kekurangan, lalu membunuh ‘darling’ yang dapat dikesan itu.

Adalah lebih baik jika penulis sendiri yang dapat mengesan frasa atau ayat yang janggal dan tidak relevan dalam tulisannya – frasa atau ayat yang kita anggap hebat dan indah tetapi hanya ibarat gincu di pipi. Sesuatu yang tidak sepatutnya berada di situ!

Ada seorang rakan penulis yang sering meminta saya menyemak artikelnya kerana tidak mahu ada elemen ‘syok sendiri’ di dalam tulisannya. Dia bimbang ada ‘darling’ dalam tulisannya yang dia tidak nampak dan mungkin juga bimbang sekiranya editor yang kurang berpengalaman turut terlepas pandang lalu membiarkan ‘darling’ itu mencacatkan kelancaran tulisannya.

Tuesday, January 20, 2009

Pelajarilah Teknik

Seorang novelis di bawah bimbingan saya bertanyakan pendapat saya, adakah berbaloi dia mengikuti satu bengkel penulisan yang yurannya agak tinggi juga.

Saya menggalakkan dia mengikuti bengkel tersebut. Pertama, kerana sebagai penulis baru, memang elok dia mendapat banyak pendedahan. Kedua, kerana saya yakin bengkel itu akan memberi impak yang besar kepada penulis baru yang sedang bersemangat menulis sepertinya. Sebabnya, bengkel itu dikendalikan oleh Encik Fauzul Naim Ishak, orang yang cukup berpengalaman dalam dunia penerbitan dan telah menjadi mentor kepada ramai penulis.

Selepas mengikut bengkel tersebut, novelis tadi menghantar sms kepada saya, “Memang berbaloi saya mengikuti bengkel Encik Fauzul. Banyak ilmu yang saya dapat.”

Melalui mana-mana bengkel, kursus atau seminar penulisan, penulis biasanya akan mendapat tiga perkara iaitu mendapat rangsangan untuk menulis, mendapat bimbingan dan mendapat ilmu dalam teknik penulisan.

Dalam entri terdahulu, saya pernah menyentuh tentang perlunya penulis belajar menulis seperti pelatih renang belajar berenang. Pelatih renang akan belajar berenang dengan turun ke dalam air, bukan belajar di atas daratan. Di dalam air itu, dia belajar mengapungkan diri serta menguak tangan dan kaki untuk menguasai kemahiran berenang. Ada teknik yang akan diajar oleh jurulatih untuk memudahkan dia menguasai kemahiran itu.

Apabila penulis atau calon penulis menghadiri bengkel-bengkel penulisan, dia akan mempelajari teknik-teknik yang boleh digunakan untuk menulis dengan lebih baik. Misalnya, teknik menarik minat pembaca bermula seawal paragraf pertama atau seawal bab pertama, menyusun dan mengurus idea, memecahkan tulisan kepada paragraf, menyusun bab, mendapatkan idea untuk menulis, menggunakan pendekatan bercerita, memilih kata-kata yang berkesan dan sebagainya.
Dengan sifu saya, Saudara Pahrol Mohd Juoi, saya belajar teknik menggunakan analogi dan kisah untuk merencahi tulisan.

Untuk menulis novel, ada teknik yang boleh dipelajari untuk menghasilkan dialog yang berkesan, menyudahkan novel dengan penutup yang baik, menyelitkan nilai didikan, mencipta watak yang ‘hidup’, mengembangkan plot, mewujudkan ‘cliff hanger’ di hujung bab, menjadikan setiap bab sebagai ‘mini story’, dan banyak lagi.

Besar kelebihannya jika penulis dapat memahami dan menguasai teknik-teknik menulis, bukan saja melalui bengkel dan kursus tetapi juga dengan membaca buku-buku bimbingan penulisan. Sebab itulah Minggu Penulis Remaja (MPR) misalnya, berjaya melahirkan ramai penulis fiksyen yang berketrampilan. Penulis yang sudah sedia berbakat, dapat mengembangkan bakat mereka setelah memahami teknik-teknik menulis di bawah bimbingan penulis yang mengendalikan program itu.

Saya sendiri menerima proposal-proposal novel yang baik daripada beberapa mantan peserta MPR. Seorang dua sudah pun menyiapkan novelnya yang bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu.
Bagaimanapun, tentulah teknik menulis hanya dapat dimanfaatkan jika seseorang itu sudah mula menulis dan terus menulis. Selagi dia belum berada di dalam ‘air’, dia tidak akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada teknik-teknik yang dia pelajari.

Program seumpama MPR itu berkesan kerana peserta didedahkan dengan teknik-teknik menulis dan diberi ruang melatih kemahiran menulis menggunakan teknik-teknik yang mereka pelajari itu sepanjang program itu berlangsung.

Kepada calon-calon penulis, carilah ruang dan waktu untuk mempelajari teknik menulis melalui bengkel, kursus, buku atau maya. Kemudian, praktikkan teknik-teknik itu supaya ilmu menjadi amal. Moga Allah mempermudahkan dan memberkatinya.

Saturday, January 17, 2009

Meriahkan Tiga Bab Awal

Apabila menulis artikel atau cerpen, penulis perlu melebihkan 'gincu' pada tiga paragraf awalnya selain menghias judul, sub judul dan petikan isi. Tiga paragraf awal itu mesti dapat memancing pembaca.

Apabila menulis buku atau novel, daya penarik itu terletak pada tiga bab awal. Mengikut satu kajian, jika tiga bab awal itu dapat menarik minat, pembaca mudah diajak dan 'dipujuk' untuk membaca bab-bab seterusnya. Dengan membaca tiga bab awal itu, pembaca akan membuat tanggapan awal (first impression) tentang buku yang berada di tangannya. Jika tanggapan awal itu menyenangkannya, dia akan terus memegang buku itu. Jika tidak, berkemungkinan besar dia akan meletakkan semula buku itu.

Oleh itu, penulis harus menggunakan seluruh kreativitinya untuk menjadikan tiga bab awal buku atau novelnya sedap dibaca. Apabila menulis novel, tiga bab awal harus cepat sampai kepada cerita. Kurangkan deskripsi latar tempat dan suasana, lebihkan dialog, aksi dan deskripsi watak. Deskripsi latar memperlahankan pergerakan cerita, manakala dialog dan aksi memberi kesan sebaliknya.

Tiga bab awal bagi buku atau novel umpama rona wajah seseorang. Orang lain mudah tertarik jika pada wajah itu ada senyum, ada pandangan kasih dan tutur kata yang baik yang keluar dari bibir. Oleh itu, wajah cantik saja tidak cukup kuat untuk membuat orang tertarik. Begitu juga bagi buku atau novel, judul dan kulit yang cantik saja tidak cukup kuat untuk menarik minat pembaca. Tiga bab awal harus memberi impak yang sama kuat dengan judul dan rupa kulit.

Tuesday, January 13, 2009

Melakar Macam Kartunis

Sewaktu masih menuntut di Universiti Malaya, saya berkenalan dengan kartunis Kerengge. Waktu itu saya sering mengikut seorang kawan bertandang ke studio majalah Gila-gila. Saya bertanya kepada Kerengge (nama sebenarnya Mohamad Hanafiah Ibrahim - saya terputus hubungan dengannya sejak tamat pengajian di UM) serba sedikit tentang teknik dia melukis kartun. Saya tengok dia membuat lakaran kartunnya menggunakan pensel, kemudian menghitamkannya dengan pen. Lakaran dengan pensel itu dipanggil pencilling.

Apabila terlibat dengan kerja editorial majalah kartun berunsur Islam satu ketika dulu, saya sering ke meja kartunis Don, Long, AZ dan Abe. Tidak terkecuali Hj. Bad, kartunis, perekabentuk dan juga kolumnis yang mengetuai Jabatan Rekabentuk Galeri Ilmu sekarang (adik-adik pembaca majalah Asuh mengenalinya sebagai Pak Cik Bad).

Teknik para kartunis itu melukis kartun adalah sama iaitu dengan melakar menggunakan pensel, selepas itu menghitamkannya dengan pen atau berus.

Melakar. Inilah juga teknik yang digunakan oleh penulis-penulis profesional apabila memulakan kerja menulis. Mereka biasanya melakar isi atau idea terlebih dahulu, kemudian barulah mula menulis. Saya mula belajar melakar isi ini daripada sifu penulisan saya, Saudara Pahrol Mohd Juoi, menggunakan teknik peta minda.

Untuk tulisan mudah-mudah, seperti menulis entri untuk blog ini, biasanya saya hanya melakar isi di dalam buku nota bersaiz poket yang saya akan bawa ke mana-mana. Untuk tulisan yang lebih berat, saya akan melakarkan peta minda.

Melakar isi untuk tulisan adalah seperti kita menulis senarai barang untuk dibeli. Senarai barang memudahkan kita memilih barang yang kita mahu dan mengelakkan kita lupa tentang satu-satu barang.

Melakar isi untuk tulisan memudahkan kita memuatkan isi-isi itu dan mengelakkan kita lupa satu-satu isi. Apabila kita melakar, kita sekaligus memfokus. Apabila kita memfokus, biasanya idea akan datang.

Friday, January 9, 2009

Adakah Bakat Itu Diwarisi?

Sewaktu saya berusia sekitar lima tahun, ayah saya membawa kami sekeluarga berpindah ke rumah bersebelahan sebuah banglo besar milik Mr. Cheliah, seorang jurutera berbangsa India yang berkahwin dengan wanita Cina. Rumah yang kami diami adalah rumah yang disediakan oleh Mr. Cheliah untuk pekerjanya – ayah dan ibu saya. Ia terletak di sebuah perkampungan Cina. Selain keluarga kami, hanya ada dua keluarga Melayu tinggal di situ.

Ayah dan ibu saya menoreh getah di kebun getah seluas 5 ekar milik Mr. Cheliah. Ayah saya juga bekerja menjaga tanaman di halaman banglo dan kebun buah-buahan majikannya itu. Kebun buah-buahan itu adalah tempat saya bermain waktu kecil. Di situ ada pohon rambutan, pulasan, ciku, rambai, jambu, manggis, durian, cempedak, nangka dan beberapa jenis buah-buahan lagi. Rambutan saja ada beberapa jenis, yang kesemuanya manis dan longkah. Ayah sayalah yang menanam semua pohon buah-buahan itu. Orang kata tangannya ‘sejuk’, apa yang ditanamnya mudah menjadi dengan izin Allah.

Arwah ibu saya pula selain menoreh getah, sering diminta memasak apabila Mr. Cheliah mengadakan jamuan di rumahnya. Memang ibu saya mempunyai bakat semula jadi dalam bab masak-memasak dan selalu menjadi ketua tukang masak di majlis kenduri kahwin di kampung kami, Kampung Melayu Majidi.

Sewaktu ibu saya bekerja sebagai pembantu rumah untuk sebuah keluarga doktor selepas kematian ayah saya, doktor ini pernah mengadakan jamuan yang turut dihadiri oleh Tengku Mahkota Johor waktu itu (kini Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar). Baginda rupanya sangat berpuas hati dengan masakan ibu saya, lalu mencari ibu saya di dapur semata-mata untuk memuji masakannya.

Saya tidak mewarisi bakat ayah saya dalam bab menanam pokok dan saya juga tidak mewarisi bakat ibu saya dalam bab memasak. Saya ditakdirkan terlibat dalam bidang penulisan.

Saya yakin, ramai penulis yang tidak mewarisi bakat menulis daripada sesiapa. Mereka datang dari pelbagai latar belakang yang tidak ada sangkut-paut dengan dunia penulisan. Entah dari mana tercetus dan timbulnya bakat menulis itu, Tuhan saja yang tahu.

Adakah bakat menulis itu sudah dititipkan ke minda seseorang sejak lahirnya? Atau ketika dia mencapai umur tertentu?

Yang pasti, menulis memang ada kaitan rapat dengan bakat. Sama seperti bidang-bidang yang lain juga.

Allah memberi kelebihan yang dipanggil bakat itu kepada setiap orang. Cuma setiap orang berbeza-beza bakatnya. Dan bakat itu sendiri pun tidak sama grafnya. Ada yang bakatnya tinggi, ada yang sederhana dan ada yang biasa-biasa saja.

Sering disebut agar seseorang yang berbakat itu ‘menggilap’ bakatnya. Jika dia ada bakat menulis, dia harus menggilap bakat menulis itu. Apabila digilap, bakat itu akan lebih menyinar. Oleh itu, bakat yang biasa-biasa boleh ditingkatkan ke tahap sederhana. Bakat yang sederhana boleh ditingkatkan ke tahap tinggi.

Saya rasa, apa yang sebenarnya berlaku adalah meningkatnya kemahiran (skill), bukan meningkatnya bakat. Penulisan adalah satu bentuk kemahiran. Apabila seseorang yang ada bakat menulis itu rajin menulis dan rajin pula meneroka teknik-teknik penulisan yang betul, kemahiran menulis itu akan meningkat. Tulisannya semakin tajam, ada seni dan sedap dibaca.

Jika memang ada bakat, mudah saja seseorang itu menulis dalam apa-apa genre penulisan yang dia minati. Kemahirannya dalam menulis akan menyerlah dalam genre yang ditekuninya. Sifat peribadi, latar belakang keluarga, latar belakang pendidikan, pengaruh persekitaran dan idealisme yang didukungnya akan mempengaruhi hasil tulisannya.

Dan jika memang seseorang itu ada bakat menulis, melihat sekilas hasil tulisannya pun sudah dapat dikesan bakat itu.

Saya baru menerima manuskrip buku daripada seorang ustaz yang saya sendiri tidak sangka dia boleh menulis dengan begitu baik. Dia biasa berceramah, memberi kuliah dan memberi tazkirah di radio. Isi ceramah, kuliah dan tazkirahnya sentiasa bernas. Itulah yang mendorong saya meminta beliau menulis buku.

Apabila melihat hasil tulisannya, hati saya segera berkata, “Ustaz ini memang ada bakat menulis. Garapan pena dan bicara lisannya sama baik.”