BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, May 25, 2010

Dodi Hidayatullah


Sewaktu novel Stanza Cinta terbitan Galeri Ilmu dilancarkan oleh Dato' A. Samad Said di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu, penasyid Indonesia, Dodi Hidayatullah (foto) diundang menyampaikan beberapa buah lagu. Antara lagu yang beliau dendangkan adalah lagu Stanza Cinta.

Dodi mencipta sendiri lagu itu selepas membaca manuskrip novel itu. Liriknya ditulis bersama dengan penulis Stanza Cinta sendiri, Nurull Halawati. Dengan kata lain, lagu ini diawali dengan novel. Daripada judul novel, menjadi judul lagu. Dan lagu itu membawa mood yang sama dengan mood novel. Ada kisah dalam lagu itu yang hanya akan dapat dihayati dan difahami oleh pendengar apabila mereka membaca novelnya.

Filem dan lagu adalah pakej yang lumrah, tetapi jarang ada novel yang dipakejkan dengan lagu. Rupanya Dodi melihat potensi novel Stanza Cinta untuk diterima dengan baik di Indonesia. Beliau menyarankan agar novel ini diterbitkan di sana dan "novelnya dijadikan filem".

Dodi bukan sekadar menyarankan, malah beliau juga cuba membantu membuka laluan. Beliau telah berusaha membawa lagu Stanza Cinta masuk ke playlist radio-radio Islam di Indonesia.

"Banyak yang suka," katanya dalam mesej chattingnya. "Dodi pun akan buat ringtone ... dan promo single lagu Stanza Cinta ke radio-radio Islam Indonesia. Sekaligus Dodi akan bincangkan bahawa lagu ini diawali dengan novel. Dan banyak yang ingin tahu novelnya."

"Masya-Allah. Itu perkembangan yang bagus. Bagus untuk Dodi dan bagus juga untuk novel itu andainya jadi terbit di sana nanti. Kita doakan segalanya Allah mudahkan dan Allah redha," beritahu saya.

Apakah wujudnya watak Taufik, iaitu watak utama seorang pemuda Indonesia dalam kisah cinta tiga segi lewat novel Stanza Cinta, dapat menjadi faktor pelaris novel ini di sana? Wallahu a'lam. Yang pasti, munculnya watak Taufik dalam Stanza Cinta bukanlah diada-adakan. Ia melatari satu kisah benar yang diangkat dan dikembangkan dengan begitu baik oleh Nurull Halawati menjadi kisah fiksyen yang meruntun emosi dalam Stanza Cinta.

Menurut Encik Mohd Yusri Yusof, Pengarah Pemasaran Galeri Ilmu, novel Stanza Cinta menerima permintaan yang tinggi daripada pembaca selepas berakhirnya pesta buku di PWTC yang lalu. Selain di kedai-kedai, banyak yang memesan novel ini melalui pos.

Jumaat lepas, Nurull Halawati memenuhi undangan Fedtri Yahya muncul di MHI TV3. Ini satu petanda yang baik untuk novel ini dan untuk masa depan Nurull Halawati sebagai novelis. Kali terakhir saya melihat penulis novel Islami muncul di MHI adalah ketika Zaid Akhtar diundang memperkatakan novelnya Salju Sakinah dua tahun lalu.


Monday, May 24, 2010

Hasan Suyut di MHI dan Radio IKIM


Hasan Suyut, penulis buku kisah benar Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah dijadualkan muncul di MHI TV3 pada Rabu ini (26 Mei) sekitar pukul 8 pagi.

Pengacara TV3, Fedtri Yahya, yang telah membaca buku itu, akan menemubual Hasan.

Atiq Wazif (foto, bersama Hasan), anak istimewa pasangan Hasan dan Cikgu Dora yang kini berusia 10 tahun, insya-Allah akan turut muncul di studio.

Pada Khamis depan (3 Jun) pula, Hasan akan ke udara di Radio IKIM melalui slot Mesra Bersama Anis pada pukul 6.15 petang. Turut ke udara dalam temubual bersama DJ Fairuz itu adalah dua orang anak lelaki beliau, Atiq Waiz dan Atiq Wafiq.

Hasan baru pulang bercuti ke Malaysia selepas lebih tiga tahun bermastautin di Amerika Syarikat.

Thursday, May 20, 2010

Bersedia Menerima Teguran

Bagaimana pun seseorang itu mahu menjadi sempurna, sukar untuk dia mencapai kesempurnaan yang mutlak. Apa yang boleh dibuat adalah mengusahakan ciri-ciri kesempurnaan pada diri. Kalaupun tidak sempurna, banyaknya ciri kesempurnaan pada diri itu pun sudah satu pencapaian menuju kesempurnaan. Manusia yang paling sempurna hanyalah Nabi Muhammad SAW.

Apabila seseorang itu berasa dirinya sempurna maka dibimbangi di situlah pula berlakunya ketidaksempurnaan. Kerana manusia dilahirkan dengan sifatnya begitu. Tidak sempurna. Allah bekalkan agama sebagai panduan hidup manusia menuju kesempurnaan. Dengan panduan agama, manusia mendapat suluhan untuk membina ciri-ciri kesempurnaan pada dirinya. Dengan panduan agama juga, manusia saling pesan-memesan dan ingat-mengingatkan untuk membina kesempurnaan.

Hal ini juga benar dalam membina diri menjadi penulis. Dalam menulis, betapa pun seseorang penulis itu cuba menghasilkan tulisan yang sempurna, dia tetap memerlukan orang kedua untuk menilai tulisannya.

Apabila penulis sudah berasa tulisan-tulisannya sempurna, dibimbangi di situlah letaknya ketidaksempurnaan. Apabila hasil karyanya sudah dirasakan sempurna, penulis tidak lagi membuka pintu kepada teguran dan kritikan. Dia hanya membuka pintu kepada pujian dan sanjungan.

"Lebih baik mendengar kritikan daripada pujian kerana kritikan membantu kita. Pujian ini bahaya," ungkap novelis dan pembimbing novelis, Puan Maria Kajiwa.

Kata-kata itu sudah tentunya diungkap berdasarkan pengalaman.

Imam al-Ghazali berkata bahawa kejian daripada musuh mungkin mendatangkan lebih kebaikan berbanding pujian daripada orang yang dekat dengan kita.

Oleh sebab itu, penulis mesti bersedia ditegur. Memang pedih apabila kena tegur tetapi yang pedih itu boleh menjadi ubat yang mujarab.

Monday, May 17, 2010

Memahami Hak Cipta

Sewaktu Galeri Ilmu Sdn Bhd hendak menubuhkan Jabatan Buku pada pertengahan 2008, antara perkara pertama yang dilakukan adalah mengundang pakar undang-undang berkaitan hak cipta untuk menyampaikan ceramah.

Pakar yang diundang ialah Puan Nisah Haron, bekas peguam yang merupakan penulis buku Karya Kita Hak Kita. Beliau menyampaikan ceramah tentang isu-isu hak cipta dalam dunia penerbitan buku. Dalam majlis ceramah itu, kakitangan bahagian editorial, pemasaran dan pentadbiran hadir mendengar serta bersoal jawab.

Banyak perkara berkaitan hak cipta dapat diketahui dan difahami melalui majlis ceramah dan soal jawab itu, untuk diaplikasi dalam operasi Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn Bhd yang ditubuhkan pada Jun 2008.

Memahami persoalan hak cipta sangat dituntut ke atas penerbit mahupun penulis. Penulis dan penerbit akan saling memahami hak masing-masing. Hal ini menjamin hubungan baik yang berterusan antara penulis dan penerbit.

Apabila persoalan hak cipta ini tidak difahami, salah laku mungkin berlaku, seterusnya kejadian saman-menyaman mungkin tidak dapat dielakkan apabila berlakunya perlanggaran hak cipta.


Saturday, May 15, 2010

Hasan Suyut


Setelah hampir empat tahun berhijrah dan bermastautin di Amerika Syarikat, Hasan Suyut (foto), penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah, kini pulang ke Malaysia. Beliau sekeluarga tiba beberapa hari lepas untuk melepaskan kerinduan kepada keluarga dan kampung halaman sempena percutian musim panas (summer break).

Sebelum ini dalam e-melnya Saudara Hasan menyatakan beliau akan "singgah di Malaysia". Rupanya beliau pulang bercuti bersama keluarga selama dua hingga tiga bulan tetapi beliau sendiri akan 'on-off' kerana mempunyai urusan di luar negara.

Ketika di Malaysia, beliau sekeluarga akan berada di rumah mereka di Kota Damansara. Memandangkan beliau hanya pulang sekali-sekala, dan entah bila pula akan pulang lagi ke Malaysia, Galeri Ilmu akan berbincang dengan beliau untuk mengatur program yang sesuai. Pengalaman beliau berkejar dengan masa demi memulihkan seorang anak istimewa sejak anak itu berumur 40 hari hingga kini berusia 10 tahun, sangat berharga dan wajar dikongsi dengan ramai ibu bapa di luar sana.

Sebelum ini ada beberapa pihak yang menghubungi kami dan menghubungi beliau sendiri untuk menanyakan kesediaan beliau untuk berkongsi pengalaman itu, tetapi ketika itu beliau berada di luar negara. Sekarang beliau mempunyai sedikit waktu untuk itu walaupun akan sibuk dengan beberapa urusan di luar negara dalam tempoh dua bulan percutian ini.


Friday, May 14, 2010

Kebenaran Itu Keindahan

Ya, kebenaran itu satu keindahan. Apa kait-mengaitnya dengan penulisan?

Bacalah al-Quran. Bacalah terjemahannya. Ayat-ayat al-Quran terasa indah walaupun tidak menggunakan bahasa berbunga-bunga dan istilah-istilah yang pelik-pelik. Bacalah bicara Rasulullah SAW. Bacalah terjemahan hadis-hadis baginda. Bahasanya amat mudah. Diksi yang dipilih adalah diksi yang mudah-mudah. Dalam kesederhanaan gaya penyampaian al-Quran dan hadis itu, di situ terasa keindahannya kerana apa yang disampaikan oleh Allah melalui al-Quran dan apa yang disampaikan oleh Nabi SAW melalui hadis itu adalah kebenaran belaka.

Oleh itu dalam menulis, utamakan kebenaran, bukan keindahan. Keindahan akan datang sendiri apabila tulisan kita penuh dengan kebenaran, insya-Allah.

Utamakan nilai isi (content value). Besarkan nilai isi. Keindahan bahasa akan lahir bersamanya, asalkan isi yang disampaikan itu memang indah.

Apabila kita memberi tumpuan pada nilai isi atau pada apa yang kita hendak sampaikan, kita akan mampu menulis menggunakan ayat-ayat yang komunikatif. Ayat-ayat yang mudah difahami dan mudah untuk sampai kepada maksud. Inilah sebahagian rahsia kekuatan cerpen-cerpen dan novel-novel karya penulis besar, seperti Hamka dan Ernest Hemingway. Mereka menggunakan ayat-ayat yang komunikatif dalam menulis.

Hemat Menulis

Rupanya menulis pun perlu berhemat. Hemat dengan waktu menulis. Untuk mudah faham, saya akan buat eksperimen. Saya akan menulis entri ini dalam masa sepuluh minit. Tidak lebih.

Seperti kita ke pasar raya untuk membeli barang. Kita sudah senaraikan barang yang hendak dibeli. Kita sudah hadkan wang yang hendak dikeluarkan. Kita juga sudah menetapkan waktu yang hendak diperuntukkan untuk membeli barang di pasar raya itu. Menulis juga begitu.


Apabila hendak menulis, pertama kita mesti tahu apa yang kita hendak sampaikan. Apa isi tulisan kita itu. Kemudian, kita mesti sasarkan tarikh siapnya tulisan itu. Katalah, tarikh siap yang disasarkan adalah Jumaat depan. Seterusnya, kita mesti tetapkan hari apa kita hendak duduk menulis dan berapa jam kita hendak memperuntukkan waktu menulisnya. Sudah tentu, kita mesti membuat persediaan untuk menulis. Misalnya, membuat sedikit penyelidikan untuk menyokong hujah dalam tulisan itu. Dengan itu, apabila kita duduk menulis nanti, kita dalam keadaan bersedia dengan hujah dan fakta.

Apabila kita benar-benar hendak duduk menulis, kita mesti membuat sasaran. Berapa minit atau berapa jam yang kita hendak peruntukkan untuk menulis itu. Ini yang saya maksudkan berhemat dalam menulis.

Apabila kita tidak cuba berhemat dalam menulis, kita mungkin memperuntukkan masa yang terlalu lama untuk menyiapkan sesebuah tulisan, kerana kita tidak menetapkan sasaran. Dengan kata lain, kita tidak membuat perancangan. Apa yang mungkin berlaku, sebelum habis menulis, kita akan beralih pada kerja lain. Hal itu menyebabkan kita kehilangan momentum menulis. Pada akhirnya, tulisan itu akan tergantung. Apabila kita duduk semula untuk meneruskannya, kita sudah sukar untuk menemui sentuhan semula.

Baik, rasanya saya sudah dapat menyampaikan apa yang saya hendak sampaikan dan sudah cukup 10 minit saya menulis entri ini. Allah memberi masa yang selesa kepada kita untuk berbuat satu-satu pekerjaan maka kita harus berhemat menggunakannya. Rancang masa menulis.