BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, May 27, 2011

Ringkas dan Padat

Sewaktu saya masih menuntut di Universiti Malaya, saya pernah menulis sebuah artikel mengenai perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia sebuah tulisan yang panjang berjela, memakan lebih daripada empat halaman bertaip single spacing. Saya menyuakan artikel itu kepada seorang penerbit majalah (majalah itu tidak terbit lagi) dan bulan berikutnya artikel itu tersiar dalam majalah itu dalam keadaannya begitu - panjang berjela dan hampir-hampir tidak diedit langsung.

Sebagai pelajar, tentulah saya gembira apabila hasil tulisan saya tersiar. Bagaimanapun, lama kemudian apabila saya semakin arif mengenai bidang penulisan, saya senyum sendiri mengenangkan pengalaman itu. Rupanya menulis artikel yang ringkas dan padat memerlukan lebih kemahiran berbanding menulis artikel yang panjang berjela.

Pada zaman ini ketika orang sudah banyak terdedah kepada teknologi internet, ramai pembaca yang suka membaca artikel yang ringkas dan padat. Tulisan dalam blog atau laman sesawang yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam dan lebih diminati berbanding tulisan yang panjang berjela, apatah lagi yang meleret-leret dan tidak fokus pada satu-satu idea utama.

Oleh itu gaya penulisan untuk majalah perlu disesuaikan dengan trend ini. Kalau topik yang hendak ditulis memerlukan huraian yang panjang, tulisan itu mungkin boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian supaya ia tidak terasa berat untuk dibaca. Lebih baik menyuakan banyak tulisan untuk dibaca tetapi ringkas-ringkas, daripada sedikit tulisan yang panjang-panjang.

Untuk menulis sebuah tulisan yang ringkas dan padat, penulis mesti jelas mengenai idea utama yang hendak diutarakan dan fakta-fakta atau hujah yang dapat menyokongnya. Penulis juga mesti belajar menguasai ekonomi kata. Tanpa ekonomi kata, tulisan akan menjadi lewah (berlebih-lebih).

Latar belakang dalam kewartawanan banyak mengajar saya untuk menitikberatkan ekonomi kata. (Tanpa ekonomi kata, ayat saya ini akan berbunyi begini: 'Latar belakang dalam bidang kewartawanan telah banyak mengajar saya untuk menitikberatkan soal ekonomi kata.')

Namun, menguasai ekonomi kata semata-mata tidak menjadikan tulisan kita ringkas dan padat jika kita tidak jelas mengenai idea utama yang hendak diutarakan. Ini menyebabkan tulisan kita melencong dan menjadi lebih panjang daripada sepatutnya. Maka penting bagi penulis untuk menetapkan idea utama tulisannya sebelum mula menulis.

Monday, May 23, 2011

Satu Kerja Dalam Satu Masa

"Finish your first draft and then we'll talk," demikian nasihat Michael Korda, editor sebuah syarikat penerbitan, kepada seorang penulis baru.

Maksud daripada kata-kata itu, kalau seseorang itu betul-betul mahu menjadi penulis, dia perlu menyiapkan draf pertama tulisannya. Dengan kata lain, dia mesti menulis sampai selesai atau sampai ke noktah akhir. Kalau mahu menulis novel misalnya, siapkan novel itu. Apabila draf karya itu sudah siap, barulah editor dapat memberikan komentarnya atau terus menyuntingnya jika karya itu sudah cukup baik.

Apabila disebut draf, ia bermaksud tulisan itu belum diapa-apakan oleh penulis sendiri mahupun editor. Penulis belum melakukan proses 'self-editing' atau belum menggilap karyanya. Proses 'selepas menulis' belum berlaku. Biar apa pun, karya sudah siap ditulis. Tinggal untuk disemak dan dibetulkan mana yang patut.

Oleh itu, apabila menulis, kita perlu menulis sampai selesai. Sewaktu menulis, jangan fikir untuk membaiki apa-apa. Jangan fikir soal ayat yang janggal, perkataan yang kurang sesuai, paragraf yang terlalu panjang, intro yang kurang sesuai dan soal-soal lain yang akan membantutkan proses menulis. Gunakan waktu menulis untuk menulis semata-mata.

Dalam bengkel-bengkel saya, saya selalu menekankan peri penting penulis menempuh tiga proses dalam menulis iaitu sebelum menulis, semasa menulis dan selepas menulis. Hal ini kerana ramai penulis baru menyangka kerja menulis hanya melibatkan menulis itu sendiri. Mereka tidak terfikir bahawa ada proses sebelum dan selepas menulis. Oleh sebab itu saya menemui calon-calon penulis yang kerja menulisnya sering terganggu kerana mereka asyik hendak membetulkan tulisan yang 'sedang' ditulis. Walhal kerja membetulkan tulisan itu adalah kerja 'selepas' menulis.

Penulis tidak boleh membuat dua kerja dalam satu masa - menulis dan membetulkan tulisannya. Siapkan dulu kerja menulis, kemudian barulah semak dan baiki tulisan yang sudah siap.

Bagaimana halnya kalau seseorang penulis itu melakukan proses 'sebelum' dan 'semasa' menulis dalam waktu yang sama? Misalnya, sambil duduk menulis, dia mencari fakta dan maklumat untuk dimuatkan dalam tulisannya. Jari-jemarinya mengetik papan kekunci dan dalam masa yang sama dia menyelak bahan-bahan rujukan. Cara ini juga tidak praktikal. Kerja menulisnya juga akan terganggu. Kesan buruk yang lain, gaya olahannya akan kaku kerana dia akan terpengaruh dengan gaya bahasa daripada bahan rujukannya.

Cara yang terbaik, sewaktu menulis, kita buat satu kerja dalam satu masa.

Wednesday, May 18, 2011

Tiga Cinta Bagi Seorang Penulis

Seorang penulis atau calon penulis mesti mempunyai cinta. Hanya apabila ada cinta, barulah dia dapat menulis secara konsisten. Barulah dia dapat menghasilkan bahan tulisan, sama ada buku, novel, cerpen, atau skrip secara berterusan.

Seorang penulis itu mesti memiliki sekurang-kurangnya tiga cinta ini:

1. Cinta pada buku atau bahan bacaan.
Semua penulis, walau apa pun bidang penulisannya, adalah pencinta-pencinta buku. Mereka adalah pencinta-pencinta bahan bacaan. Dengan kata lain, mereka mencintai dunia pembacaan. Mereka suka membaca, maka sebab itu mereka juga terangsang untuk menulis sesuatu untuk orang lain baca.

2. Cinta pada penulis.
Penulis selalunya mempunyai ikon penulis yang sentiasa diikuti bahan tulisannya. Kalaupun dia tidak mempunyai mana-mana figur penulis yang diikuti, sedikit sebanyak dia mengikuti juga perkembangan penulis dan buku-buku yang dihasilkan. Dia juga berkawan dan bersahabat dengan penulis kerana sesama penulis mempunyai banyak persamaan untuk dikongsi. Dia cinta pada penulis dan dikelilingi oleh penulis, maka sebab itu dia sentiasa terangsang untuk mengikuti jejak penulis.

3. Cinta pada penulisan.
Cinta yang ini memang wajib ada. Seseorang akan ghairah untuk melakukan sesuatu yang dia sukai dan cintai. Apabila ada cinta, segala susah payah dapat diatasi. Sebab itu penting bagi penulis untuk mengenal cintanya. Dia mesti mengenal bentuk penulisan bagaimana yang dia betul-betul cintai. Adakah dia mencintai penulisan artikel? Adakah dia mencintai penulisan novel? Adakah dia mencintai penulisan cerpen? Adakah dia mencintai penulisan skrip?

Apabila ada cinta, penulis sanggup bergelut dengan halangan masa, halangan waktu rehat, dan halangan apa pun untuk duduk menulis.

Tiga cinta ini boleh dan perlu dipupuk selalu. Semakin dipupuk, ia akan semakin subur. Tiga cinta ini perlu bersatu dalam jiwa seorang penulis. Cinta pertama dan kedua mesti ada untuk membina kepekaan dan rangsangan sebagai penulis. Cinta ketiga adalah untuk membina diri dan membina kemahiran (skill) sebagai penulis.

Mungkin kata-kata ini dapat sedikit sebanyak dikaitkan dengan perkara ini:
"For a man to write well, there are required three necessaries: to read the best authors, observe the best speakers, and much exercise of his own style."
(Ben Jonson, Timber, or Discoveries, 1640)

Jika tiga cinta ini sudah hambar dalam diri seorang penulis, pena penulis juga mungkin layu. Selagi tiga cinta ini mekar, selagi itu pena penulis dapat diasah dan terus diasah untuk menyampaikan kebaikan dan kebenaran.

Thursday, March 24, 2011

Motivasi 'Hidup' Daripada Kisah Benar

Buku kisah benar atau buku berbentuk travelog adalah antara jenis buku yang dapat memberi impak yang baik kepada pembaca. Membaca kisah-kisah yang mempunyai nilai motivasi dan nilai tarbiah dapat merangsang naluri pembaca kepada kebaikan, sama halnya ketika membaca sirah para nabi, para sahabat dan orang-orang soleh.

Walaupun nilai tarbiahnya mungkin tidak setinggi nilai tarbiah yang ada pada kisah-kisah orang bertakwa dan orang soleh dahulu, kisah-kisah begini adalah 'motivasi hidup' yang tetap mempunyai impak tersendiri.

Menulis kisah benar memang memerlukan sedikit asas kewartawanan, tetapi tidak semestinya penulis seorang wartawan atau ada latar belakang kewartawanan. Asalkan penulis seorang yang teliti dan tahu kepentingan fakta dan maklumat dalam penceritaan, dia boleh menulis buku kisah benar yang meyakinkan dan mengesankan.

Di tangan saya ada sebuah manuskrip buku kisah benar tulisan Isyah Radhiah, seorang guru yang mempunyai ijazah dari sebuah universiti di Timur Tengah. Beliau tiada asas kewartawanan tetapi terangsang untuk menulis kisah beliau sendiri selepas membaca buku kisah benar, Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah (Hasan Suyut, Galeri Ilmu Sdn Bhd, 2008). Isyah mampu menulis dengan baik kisah beliau bersama suami (Che Amran 'Raihan') menangani seorang anak yang menghidap ketumbuhan otak.

Ada nilai motivasi dan nilai tarbiah yang tinggi yang disuntikkan pada kisah yang dipaparkan, agar kisah itu bukan sekadar cerita biasa tetapi cerita yang mampu memberikan maklumat, motivasi, kesedaran dan pengajaran berguna kepada pembaca.

Di tangan saya juga ada sebuah manuskrip buku kisah benar yang menyayat hati dan juga mempunyai nilai tarbiah yang tinggi. Ia mengisahkan seorang wanita Inggeris yang datang daripada keluarga Kristian bermasalah, pernah bergelar banduan juvana dan satu ketika dulu tidak percaya kepada Tuhan. "I don't believe in God, I don't believe in Jesus, I don't believe in anything," ungkapnya, sebelum dia mengenal Islam.

Apabila wanita yang dilahirkan sebagai Kathryn Bennett ini jatuh cinta kepada Islam, dia pula diuji dengan ujian yang sangat berat, bermula dengan ujian rumah tangga yang menyaksikan perjalanan sukar untuk menjejaki tiga anak yang dilarikan bekas suami hingga menjadi kes polis, dan kemudian diuji dengan kanser kronik. Semua ujian berat daripada Allah dihadapi dengan sikap yang luar biasa kerana dia melihat semua itu hakikatnya daripada Allah yang pastinya ada kebaikan di sebaliknya. Dengan jiwa tauhid yang tinggi ini, dia boleh menceritakan semula rentetan peristiwa itu sambil tersenyum, seolah-olah semua itu hanya ujian kecil daripada Allah.

Kisah insan biasa yang luar biasa seperti ini akan menjadi sumber motivasi dan sumber tarbiah (didikan) yang sangat mengesankan.

Thursday, March 17, 2011

Sekali Lagi, Kenapa Perlu Menjadi Penulis

Setiap penulis harus mempunyai tujuan yang jelas mengapa dia hendak menjadi penulis atau mengapa dia hendak menulis tentang sesuatu, tidak kira sama ada dia hendak menulis artikel, skrip atau manuskrip buku.

Baik, mari kita fikirkan beberapa sebab mengapa kita mahu menjadi penulis.

1. Meneruskan tradisi ulama
Ramai ulama dahulu yang menulis kitab, walaupun lebih ramai lagi yang tidak menulis tetapi mampu mendidik umat dengan berkesan. Ulama-ulama yang menulis kitab itu mahu menyampaikan ilmu dan tarbiah secara lebih tersusun melalui kitab-kitab mereka. Mereka tahu kitab-kitab mereka akan dibaca bukan saja oleh orang-orang sezaman dengan mereka tetapi selepas ketiadaan mereka.

Imam al-Ghazali misalnya, mula mengarang kitab sewaktu berumur sekitar 40 tahun hingga ke akhir usianya sekitar 54 tahun. Dalam tempoh sekitar 14 tahun itu beliau mengarang ratusan kitab yang tebal-tebal (sekitar 300 buah) termasuk Ihya Ulumuddin, kitab tasawuf yang hingga sekarang dicetak berjilid-jilid disebabkan tebalnya. Ulama-ulama seperti Imam al-Ghazali mengarang kitab tanpa memikirkan sama sekali ganjaran duniawi. Kitab pada zaman mereka tidak dijual sebagai produk komersial.

2. Menghurai, menjelaskan, memadatkan, meringkaskan, menyusun semula, dan memudahkan isi buku/kitab tinggalan ulama
Dalam sejarah silam misalnya, ada usaha di kalangan ulama untuk meringkaskan kitab-kitab ulama sebelumnya seperti yang dilakukan oleh Imam al-Muzani yang meringkaskan kitab al-Umm tulisan Imam Syafi'i. Kitab yang diringkaskan itu bertajuk Mukhtashar al-Muzani. Malah, menurut satu catatan yang saya temui, kira-kira 200 tahun kemudian kitab Mukhtashar al-Muzani ini disyarahkan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab yang diberi nama Nihayatul Mathlab fi Dirayah al-Madzhab. Kemudian murid beliau iaitu Imam al-Ghazali meringkaskan kitab gurunya itu dan setelah itu ada pula ulama lain yang meringkaskan kitab Imam al-Ghazali hingga kepada beberapa versi ringkasan. Semuanya bertujuan untuk memudahkan lagi penyampaian kitab terdahulu. Kalaulah ulama-ulama itu hidup sezaman, mereka sebenarnya telah melakukan usaha kolaborasi dalam menghasilkan kitab untuk rujukan umat.

3. Menyampaikan ilmu dan tarbiah mengikut kesesuaian zaman.
Penulis sebagai agen pencetus perubahan, perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk menunjuk ajar dan mendidik umat mengikut situasi, masalah dan kerosakan masyarakat yang berlaku pada zamannya. Penulis juga perlu menggunakan pendekatan atau gaya olahan yang sesuai dengan trend semasa pada zamannya. Misalnya, untuk menarik generasi muda menghayati sirah Nabi dan sejarah para ulama atau tokoh Islam, pendekatan kreatif sesuai digunakan pada hari ini. Penulis yang berkemampuan mengolah tulisan secara kreatif, boleh menulis novel sejarah atau novel sirah.

Untuk mengajak masyarakat memahami adab-adab dan akhlak Islam, pendekatan komik mungkin sesuai. Melalui komik bercorak pendidikan, kanak-kanak dan remaja juga dapat diterapkan dengan penghayatan tauhid dan difahamkan tentang syariat. Animasi juga sesuai digunakan untuk tujuan yang sama. Semua ini memerlukan sumbangan penulis, dengan sokongan kepakaran pelukis serta kepakaran lain.

4. Meninggalkan legasi
Legasi adalah tinggalan untuk generasi kemudian. Penulis boleh meninggalkan legasi dalam pelbagai bentuk - artikel, buku, komik, skrip animasi, skrip drama, skrip filem. Legasi ini adalah 'hayat maknawi' seseorang penulis yang akan terus hidup walaupun setelah si penulis meninggal dunia. Kitab-kitab ulama dahulu adalah 'hayat maknawi' ulama-ulama itu setelah ratusan tahun hayat fizikal mereka berakhir.

5. Mendapatkan sedikit ganjaran
Menulis adalah juga aktiviti yang mendatangkan ganjaran dalam bentuk wang. Mungkin sukar untuk menemui penulis pada hari ini yang menulis tanpa mengharapkan sedikit wang dalam bentuk royalti atau honorarium. Walaupun seseorang penulis itu berusaha untuk tidak memikirkan sangat soal wang, tidak dapat tidak jauh di sudut hatinya pasti mengharapkan sedikit imbuhan daripada hasil kerja menulisnya. Hal ini disebabkan bahan tulisannya telah dijadikan produk yang dikomersialkan. Kalau syarikat yang menerbitkan bahan tulisan itu mendapat untung daripada tulisannya, mengapa pula penulis tidak dapat apa-apa.

Walaupun situasinya begitu, sebaik-baiknya seseorang penulis itu tidak menjadikan sebab kelima ini sebagai sebab utama dia menulis. Saya meletakkannya dalam senarai terakhir kerana selalunya apabila sebab kelima ini menjadi pendorong utama seseorang itu menulis, dia tidak akan dapat menghasilkan karya yang nilai tarbiah atau nilai didikannya benar-benar mengesankan atau berbekas di hati pembaca. Ataupun dia tidak dapat menulis secara istiqamah kalau imbuhan daripada tulisannya tersekat atau dianggap tidak berbaloi.

Bagaimanapun, dalam dunia penerbitan hari ini, penulis memang mempunyai hak untuk dibayar setimpal dengan hasil kerjayanya dan dengan kadar untung yang diperolehi oleh syarikat penerbitan yang menerbitkan karyanya. Sekiranya penulis dibayar royalti, bukannya dibayar honorarium atau secara lumpsum, imbuhan daripada hasil tulisan ini akan berpanjangan selagi karya itu diulang cetak dan dijual. Ini yang dikatakan 'passive income' atau pendapatan pasif.

Dalam kaedah pembayaran secara royalti, selagi syarikat yang menerbitkan karyanya masih mendapat untung daripada penerbitan karya itu, selagi itu penulis akan mendapat bahagiannya. Ia berkonsepkan 'menang-menang'. Jika karyanya sudah beberapa buah yang diterbitkan, royalti yang akan diterimanya secara kolektif tentulah lebih banyak. Royalti ini pula boleh diwariskan kepada waris sekiranya penulis meninggal dunia dan hasil tulisannya masih diedar dan dijual.

Oleh itu, kerja menulis boleh menghasilkan kedua-dua imbuhan pahala dan imbuhan wang. Kadar yang penulis akan dapat bergantung pada kadar niatnya. Apa yang penulis niatkan, itulah yang dia akan dapat, insya-Allah. Mudah-mudahan kita tidak hanya mendapat satu imbuhan dan kehilangan imbuhan yang satu lagi. Biarlah dapat kedua-duanya.

Tuesday, March 15, 2011

Masa Depan Buku Melayu

Sepuluh tahun lalu, buku-buku berbahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang untuk masuk ke kedai-kedai buku elit seperti MPH, Popular dan Kinokuniya. Hari ini, rangkaian kedai-kedai buku ini sudah membuka pinta kepada buku-buku berbahasa Melayu. Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS, dan tim marketing beliau yang telah meneroka laluan untuk mengangkat martabat buku-buku berbahasa Melayu ini lebih 10 tahun lalu.

Pagi ini, dalam perbincangan di meja kopi dengan wakil rangkaian kedai buku MPH di pusat membeli-belah Alamanda, Putrajaya, kami daripada GISB dimaklumkan bahawa dalam suku terakhir 2010, buku-buku berbahasa Melayu menyumbang lebih 10% daripada pendapatan MPH - satu peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 31% adalah daripada jualan buku-buku agama Islam.

Ketika berkongsikan maklumat ini, Encik Zaffri Hassan, orang yang bertanggungjawab mengembangkan seksyen Mutiara Minda iaitu seksyen buku-buku berbahasa Melayu di MPH, mengakui bahawa rangkaian kedai buku itu sudah membuka pintu luas-luas kepada buku-buku berbahasa Melayu.

"Dulu orang segan untuk pegang buku-buku Melayu. Sekarang tidak lagi," kata Encik Zaffri.

Menurut beliau, banyak buku berbahasa Melayu pada hari ini yang berkualiti dan memenuhi standard yang dikehendaki oleh pasaran, khususnya untuk dibariskan di rangkaian kedai buku besar seperti MPH.

GISB komited untuk menerbitkan buku-buku yang berkualiti bukan sahaja pada reka bentuk kulitnya yang menarik tetapi juga pada nilai isi (content value) buku-buku itu, termasuk novel-novel tarbiah/Islami yang semakin mendapat tempat di pasaran.

Pasaran yang sedang naik dengan kadar yang sangat memberangsangkan sekarang adalah untuk novel-novel remaja dan awal remaja/kanak-kanak. Di sini GISB melihat ruang yang terbuka luas untuk memperbanyak novel-novel tarbiah yang disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja.

Bengkel Asas Penulisan Novel Tarbiah Remaja yang akan saya kendalikan pada 26 Mac ini adalah antara wadah untuk mengundang lebih ramai calon novelis berjiwa da'i yang mahu menghasilkan karya mendidik.

Friday, March 11, 2011

Kolaborasi Dalam Penulisan Novel

Kolaborasi merujuk pada usahasama untuk menghasilkan satu-satu perkara. Dalam penulisan novel di Malaysia, kolaborasi melibatkan dua orang penulis jarang berlaku tetapi ia merupakan perkongsian pintar yang sudah pun diterokai oleh beberapa orang penulis. Kalau tidak silap saya, novelis Ahadiat Akashah pernah berkolaborasi dengan seorang novelis wanita untuk menghasilakan salah sebuah novelnya.

Di GISB sendiri, kolaborasi dalam menghasilkan novel mula dilakukan oleh Nurulsham Saidin menerusi novel trilogi awal remaja dalam Siri Pengembaraan Sains Tiga Beradik. Beliau berkolaborasi dengan suaminya Mohamad Samsuri. Dalam kes ini, Nurulsham berkongsi idea pengembangan jalan cerita dengan suaminya yang mahir dalam selok-belok 'jungle survival' dan mempunyai pengetahuan luas tentang herba hutan.

Melalui kolaborasi ini, mereka mengetengahkan fiksyen sains yang memfokus pada penemuan-penemuan sains di persekitaran semulajadi, khususnya di tengah belantara.

Nurulsham tidak berhenti di situ. Beliau meneruskan kolaborasi untuk novel dewasa beliau yang terbaru, Andai Bavaria Takdirku. Kali ini beliau berkolaborasi dengan rakan beliau, Nieda Lienke, Muslimah rakyat Malaysia yang berkahwin dengan seorang warga Jerman dan berhijrah ke kampung asal suaminya. Pengalaman Nieda hidup di tengah masyarakat bukan Islam di Obermichelbach, Bavaria, Jerman dimanfaatkan sebagai latar untuk sebuah kisah meruntun emosi.

Terbaru, Nurulsham berkolaborasi dengan Zabidi Mohamed, penulis skrip drama bersiri Hani untuk projek novel adaptasi drama itu. Drama bersiri Hani yang mendapat rating tinggi sepanjang 13 episod tayangannya di TV3, dengan catatan 2.55 juta dalam episod terakhirnya, diilhamkan daripada sebuah kisah benar.

Dalam menghasilkan karya secara kolaborasi begini, pembahagian peratus royalti antara dua orang penulis dibuat atas perbincangan dan persetujuan kedua-dua penulis.