BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, July 26, 2018

PROSEDUR MENERBITKAN BUKU BERSAMA GALERI ILMU SDN. BHD.

PROSEDUR MENERBITKAN BUKU BERSAMA GALERI ILMU SDN. BHD.

PENGHANTARAN PROPOSAL (KERTAS CADANGAN)

1. Untuk memudahkan sesebuah karya dinilai kesesuaiannya untuk diterbitkan, Galeri Ilmu menggalakkan penulis menyediakan proposal terlebih dahulu dan menghantarkannya melalui e-mel. Proposal membolehkan editor menilai aspek-aspek berikut:
- Kesesuaiannya dengan dasar penerbitan Galeri Ilmu yang komited menerbitkan bahan bacaan Islami yang membina minda Mukmin, mendidik jiwa atau sebagai panduan beramal.
- Selari dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.
- Kesesuaiannya dengan kategori buku yang sedang menjadi tumpuan Galeri Ilmu.
- Kekuatan isi keseluruhan.
- Kelainannya dengan buku seumpamanya yang ada di pasaran.
- Nilai tarbiah (didikan) yang dimasukkan atau yang mendasari karya.
- Kekuatan susunan bab-bab.
- Kekuatan gaya olahan.
- Kekemasan tatabahasa, ejaan dan tanda bacaan.

Dengan adanya proposal, sekiranya idea buku itu diterima dan diluluskan, penulis boleh meneruskan penulisan manuskrip hingga selesai. Sebaliknya jika ia ditolak, penulis boleh mencuba menulis proposal yang lain yang mungkin lebih sesuai dengan kehendak Galeri Ilmu berbanding proposal bukunya yang ditolak itu. Membaiki proposal lebih mudah daripada membaiki manuskrip penuh.

2. Proposal hendaklah disertakan surat iringan (cover letter) dan mesti mengandungi:
Judul sementara (working title).
Kandungan sepintas lalu.
Senarai bab-bab.
Anggaran jumlah halaman; berdasarkan jenis font Times New Roman, 12 poin dan langkau sebaris (double spacing).
Anggaran tempoh siapnya manuskrip.
Kekuatan dan kelebihan buku.
Perancangan penulis untuk membantu aktiviti promosi, pengedaran dan jualan bukunya.
Buku-buku saingannya di pasaran.
Dua contoh bab yang lengkap.
Biodata ringkas penulis.


3. Proposal hendaklah die-melkan kepada:
(Buku agama) Zakaria – zakaria@galeriilmu.com.my 
(Buku motivasi) Hj Wan Azmin – wanazmin@galeriilmu.com.my
(Buku Puris) Amir – hamzah125@gmail.com
Cc kepada:
Zakaria Sungib – zakaria@galeriilmu.com.my


KELULUSAN PROPOSAL

1. Apabila proposal diluluskan untuk diterbitkan, Pengurus Perolehan atau editor berkenaan akan menge-melkan surat tawaran atau surat ‘setuju terbit’ kepada penulis; sebagai tanda kesediaan Galeri Ilmu untuk menerbitkan karya itu.

2. Surat ‘setuju terbit’ itu juga menyatakan:
Batas tarikh (deadline) untuk penulis menyempurnakan penulisannya.
Terma-terma umum perjanjian yang merangkumi kadar royalti, kekerapan bayaran royalti, tempoh kontrak dan diskaun untuk penulis apabila membeli bukunya sendiri dan buku-buku lain terbitan Galeri Ilmu.

PENGHANTARAN MANUSKRIP MELALUI E-MEL

1. Manuskrip mestilah ditulis menggunakan bahasa Melayu standard. Dalam masa yang sama, Galeri Ilmu menggalakkan penggunaan bahasa mudah yang sesuai untuk pembaca awam dan tidak menggalakkan penggunaan bahasa akademik.

2. Manuskrip yang mengandungi ayat al-Quran mesti disertakan terjemahannya serta nama surah dan bilangan ayat. Manakala hadis hendaklah disertakan terjemahannya dan perawi/atau nombor hadis.

3. Manuskrip yang dihantar kepada editor mestilah manuskrip yang telah disemak sendiri (dibuat self-editing) oleh penulis. Manuskrip itu mestilah seboleh mungkin bersih daripada kesalahan ejaan, kesilapan tanda bacaan dan kesilapan tatabahasa.

4. Manuskrip hendaklah ditaip dengan format berikut:
Font Times New Roman.
12 poin.
Langkau sebaris (double spacing).

5. Softcopy manuskrip perlu diemelkan kepada editor. JIKA DIMINTA OLEH EDITOR menghantarkan hardcopy, ia hendaklah dihantar ke alamat berikut:
Pengurus Perolehan Buku
Jabatan Penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Astana Karya, No. 44 Jalan Pekaka 8/3,
Seksyen 8, Kota Damansara,
47810 Petaling Jaya, Selangor.

6. Bagi manuskrip yang sampai di meja editor tanpa didahului oleh proposal, ia akan dinilai kesesuaiannya untuk diterbitkan. Editor akan memberikan maklum balas kepada penulis sama ada manuskripnya diterima atau ditolak dalam tempoh sekitar 30 hari hingga tiga bulan, insya-Allah. Jika selepas tempoh itu belum ada sebarang berita atau maklum balas diterima, penulis disarankan menanyakan status manuskripnya kepada editor berkenaan.

7. Manuskrip yang sampai di meja editor dianggap draf muktamad daripada penulis. Bagaimanapun, jika editor mendapati ada penambahbaikan yang perlu dibuat sebelum proses suntingan dan reka letak, editor akan memaklumkannya kepada penulis. Namun, penulis tidak dibenarkan membuat tambahan pada manuskrip yang sudah berada di peringkat suntingan dan reka letak (layout). Ini bagi menjaga kelancaran urusan penerbitan dan jadual cetak.

8. Bagi buku yang dicadangkan untuk diisi gambar-gambar foto, ilustrasi, rajah dan sebagainya daripada penulis, item-item itu hendaklah disertakan bersama penghantaran manuskrip.

9. Sebelum manuskrip dicetak, salinan naskhah akhir akan diberikan kepada penulis untuk semakan dan pembetulan. Bagaimanapun, sebarang tambahan ayat, fakta, perenggan atau bab tidak dibenarkan di peringkat ini.

10. Penulis digalakkan membuat inisiatif sendiri mendapatkan kata pengantar atau testimoni mengenai bukunya untuk dimuatkan di halaman dalam atau pada kulit buku untuk tujuan promosi.

KONTRAK PENERBITAN

1. Apabila Galeri Ilmu bersetuju menerbitkan karya penulis dan kerja pracetak telah disempurnakan, satu kontrak penerbitan akan disediakan untuk ditandatangani bersama. Melalui kontrak ini, penerbit bersetuju menerbitkan karya penulis dan penulis bersetuju menyerahkan hak penerbitan karyanya kepada penerbit untuk tempoh yang ditetapkan di dalam perjanjian.

2. Kontrak ini adalah untuk tempoh tiga tahun bermula dari tarikh buku dicetak dan akan dibaharui dari semasa ke semasa.

3. Satu salinan kontrak akan disimpan oleh penerbit manakala satu salinan lagi untuk simpanan penulis.

Disediakan oleh:
Zakaria Sungib
Penolong Pengarah Jabatan Penerbitan,
Galeri Ilmu Sdn Bhd
Kemas kini: September 2017
zakaria@galeriilmu.com.my

Thursday, September 12, 2013

Merutinkan Bangun Malam Untuk Menulis

Dalam satu perkongsiannya di Page FB 'Saya Tunggu Awak', Bonda Nor menulis antara ayat-ayat akhirnya, "Untuk yang berhajat menulis, mintalah ilham dan idea dari Allah. Hanya Dia yang berkuasa menunaikan segala permintaan kita sebagai hamba-Nya."

Pendatang baharu dunia novel itu berkongsi pengalaman beliau menghasilkan manuskrip Saya Tunggu Awak, novel setebal 640 halaman yang saya yakin bakal memberi impak dan fenomena tersendiri kepada dunia novel tanah air, khususnya untuk para penggemar karya dakwah. 

Ayat-ayat Bonda Nor itu, dan perkongsiannya mengenai amalan bangkit pukul tiga pagi untuk menulis novel, mengingatkan saya kepada kata-kata Prof Muhd Kamil Ibrahim (Anekdot Madinah, Bersyukur Saat Diuji) pada hari terakhir sebelum beliau berangkat pulang ke Madinah pada akhir Ogos lalu, selepas 'road tour' seluruh Malaysia. Waktu itu kami sama-sama menikmati jamuan raya di kediaman Dato' Zaini, salah seorang pensyarah Universiti MKI yang juga salah seorang penulis buku Ilmu Kehidupan: Ringkas Tapi Signifikan. Kata Prof Kamil, "Kalau saya nak buat kursus penulisan, saya akan tekankan supaya penulis bangun pukul tiga pagi dan minta idea menulis daripada Allah."

Penulis yang berhajat untuk menghasilkan karya dakwah, yang menulis untuk mengajak orang kepada Allah, atau ringkasnya berdakwah melalui penulisan, lebih patut meminta idea daripada Allah. Malah sangat patut dia mengusahakan datangnya rahmat dan keberkatan daripada Allah. Tentu pelik jika kita tidak meminta pertolongan Allah dalam berbuat sesuatu untuk dan kerana-Nya. Tentu janggal jika kita tidak mengharapkan limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah dalam mengajak diri dan orang lain kepada-Nya. Dalam banyak-banyak amalan yang boleh mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah, khususnya dalam menulis, bangun malam adalah antara yang paling utama kerana itulah waktu yang suasananya paling syahdu untuk meminta kepada-Nya dan waktu Allah sangat berkenan memenuhi permintaan seorang hamba.

"Biasanya selepas Isyak saya sudah tidur," tulis Bonda Nor, nama pena bagi Puan Norli, "dan terjaga semula untuk mula menghadap komputer pada jam 3 pagi... Alhamdulillah, dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, saya selesai menyiapkan jalan ceritanya secara keseluruhan." 

Amalan bangun malam untuk menulis, dan tentunya untuk sujud, bermunajat dan memohon kepada Allah, patut menjadi amalan penulis yang mahu serius menyampaikan dan menyebarkan kebaikan kerana Allah. Kalau ada satu disiplin yang penulis patut jadikan rutin, khususnya sewaktu menghasilkan karya, ia adalah rutin bangun malam untuk menulis.

Saya sendiri masih bermujahadah untuk merutinkan bangun malam ini. Cuma berdasarkan sedikit pengalaman berkarya secara bermusim, antaranya sewaktu giat menulis skrip sitkom untuk televisyen satu ketika dulu, saya boleh katakan, sangat besarnya manfaatnya apabila penulis dapat mewajibkan dirinya bangun malam untuk menulis. 






Thursday, May 23, 2013

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami Bersama Hilal Asyraf

Penulis muda Hilal Asyraf telah menghasilkan 14 judul buku bersama Galeri Ilmu setakat ini, termasuk tujuh novel Islami. Beliau mengakui tidak mendapat pendidikan formal dalam penulisan novel dan tidak pernah mengikuti mana-mana bengkel penulisan novel, tetapi novel-novel Hilal Asyraf mempunyai kekuatan tersendiri. Kekuatan cerita, kekuatan gaya olahan, kekuatan penciptaan watak dan kekuatan nilai tarbiah. Hilal Asyraf ternyata mempunyai citra tersendiri dalam menampilkan novel-novel Islami yang diterima khalayak.

Beliau telah berkongsi teknik dan kaedah penulisannya melalui beberapa siri bengkel penulisan. Pada 22-23 Jun akan datang, Hilal Asyraf akan membimbing calon-calon novelis secara intensif melalui bengkel dua hari satu malam di Hotel DePalma, Shah Alam. Berganding dengan Ummu Hani Abu Hassan (novelis dan penulis skrip drama), Zayu Hisyam (novelis dan penulis skrip komik) dan satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Hilal akan membimbing peserta-peserta bengkel ini untuk menghasilkan novel Islami yang layak terbit. Amir Abd Hamid, Editor Perolehan di Unit Kreatif Galeri Ilmu, akan turut mendedahkan tip-tip untuk membolehkan karya-karya yang lahir daripada bengkel ini terus diterbitkan.

Jika anda mahu menjadi salah seorang penulis yang karyanya lahir melalui bengkel ini, insya-Allah, maka apa salahnya? Alhamdulillah, di Galeri Ilmu sendiri, beberapa orang novelis lahir daripada bengkel, termasuk bengkel yang pernah saya kendalikan. Zayu Hisham. Nor Hayati Sapii. Dissa Azmin. Khairy Tajudin. Norehan Md Nooh. Suhana Salleh. Mazny M.R. Munie Asra. Ummu Itqan. 

Di kalangan mereka yang menghadiri bengkel, mungkin ada yang sudah mempunyai cerita yang bagus untuk dinovelkan. Bahkan ada yang sudah mula menulis. Bengkel menjadi platform untuk menyemarak rangsangan menulis itu. 

Bagi mereka yang merasakan bengkel intensif bersama Hilal Asyraf bakal menjadi platform yang baik untuk itu, silakan hadir. Hubungi Cik Suriati di talian 013-6697992. Anda akan diminta menyediakan sinopsis novel sebelum melangkah ke bengkel. Contoh sinopsis akan die-melkan oleh Cik Suriati.

Bayaran RM750 seorang mungkin dianggap agak mahal untuk bengkel dua hari satu malam termasuk penginapan dan makan minum itu. Namun, mudah-mudahan ia satu pelaburan yang berbaloi untuk melihat karya anda diterbitkan. Hilal Asyraf mempunyai kualiti yang diperlukan untuk merangsang kreativiti dan minat anda untuk menulis novel yang siap untuk diterbitkan, insya-Allah.


Friday, March 29, 2013

12 Buku Terbaharu Galeri Ilmu - Dapatkan di PBAKL 2013


1. Bersyukurlah Kerana-Nya - Syed Alwi Alatas

  • Kekuatan pada penulis sendiri - Penulis buku-buku bestseller Senyumlah dan Mudahkan Jangan Susahkan yang beberapa kali muncul Top Ten di MPH.
  • Buku ketiga daripada siri buku bertemakan syukur dengan nikmat dan sabar menghadapi musibah.
  • Kekuatannya banyak pada cerita-cerita yang dibentangkan untuk menguatkan perbahasan.
2. Di Mana Bumi Dipijak - Abu Hassan Morad
  • Buku travelog yang sarat dengan catatan mengenai kehidupan minoriti dan majoriti umat Islam di pelbagai negara.
  • Daya pengamatan penulis yang tajam dalam merungkai situasi dan senario umat menjadikan buku ini kisah travelog yang sesuai dibaca oleh mereka yang gemarkan cabaran.
  • Perjalanan ke 13 negara - Buku ini menceritakan kisah kehidupan umat Islam di Turki, UK, Bosnia, Arab Saudi, Syria, Qatar, China, Hong Kong, Thailand, Australia, Bangladesh, Kemboja dan Indonesia.
3. You Are The Best - Dr. Shafie Md Amin al- Muqri'.
  • 63 bab yang padat.
  • Buku yang menjadikan al-Quran sebagai sumber motivasi utama.
  • Membetulkan persepsi yang salah mengenai banyak isu kehidupan - mengenai kerja, mengenai cara menangani masalah, mengenai konsep masa.
  • Gaya penulisan dalam buku ini adalah bersahaja dan komunikatif.
4. Ingin Kubalas Cintamu Ya Rasulallah - Ustaz Muhadir Haji Joll
  • Konsep kavernya eksklusif - Pertama di Malaysia.
  • Penulis mula dikenali melalui rancangan radio, khususnya yang berkait dengan maulid.
  • Buku yang mengajak pembaca kepada cinta Rasul dan amalan-amalan ke arahnya.
  • Bonus amalan untuk dapat bermimpi bertemu Nabi SAW.
5. Takdir 2: Percaya yang Tidak Sirna - Hilal Asyraf
  • Novel berbentuk futuristik Islami
  • Sarat dengan aksi ala Lord of the Ring.
  • Pertentangan antara baik dan jahat tahap global.
6. Anekdot Madinah - Prof Muhd Kamil Ibrahim 

7. Diari Seorang Amil - Ustaz Hamizul Abdul Hamid
  • Travelog kehidupan pertama seorang eksekutif Zakat.
  • Disertakan bersama testimoni daripada Prof Muhd Kamil Ibrahim yang ditulis dari Madinah.
8. Edisi Istimewa Langit Ilahi - Hilal Asyraf
  • Himpunan tiga buku motivasi best-seller Hilal Asyraf - Langit Ilahi (8 kali cetak), Kembara Hamba Mencari Cahaya dan Fanzuru.
9. Aroma Antara Benua - Roza Roslan
  • Sekuel kepada Bukan Sekadar Resipi (3 kali cetak)
  • Buku ini menceritan resipi-resipi antara benua yang diterima oleh Puan Roza daripada rakannya yang berada di seluruh dunia.
10. Relasi - Hilal Asyraf
  • Novel pertama penulis yang dikarang sewaktu berusia 18 tahun, namun memperlihatkan kematangan dalam gaya olahan dan pembinaan cerita.
  • Konflik persahabatan yang merungkai erti sahabat dalam kehidupan.
11. Seraut Kata Selaut Rasa - Pahrol Mohamad Juoi

12. Erti Hidup Pada Memberi - Hasrizal Abdul Jamil






Friday, June 22, 2012

Amanah Dengan Ilmu

Buku Keajaiban Firasat karangan Ustaz Muhadir Hj Joll mendapat perhatian istimewa daripada khalayak pembaca apabila ia mula dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Kekuatan buku ini adalah pada kisah-kisah bernilai tarbiah yang dimuatkan. Kebanyakannya berupa kisah-kisah 'pengubat jiwa' melibatkan insan-insan luar biasa.

Yang menjadikan buku ini lebih istimewa adalah pada amanahnya penulis kepada sumber ambilan. Setiap satu daripada 63 kisah pengubat jiwa yang dihimpunkan di dalam buku ini dinyatakan sumber ambilannya.

"Amanah dengan ilmu" adalah prinsip yang dipegang oleh Ustaz Muhadir dalam menulis, sebagaimana yang dipesankan oleh guru beliau, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

"Antara keberkatan ilmu, ia disandarkan kepada tuan punya kitab," ujar Ustaz Muhadir.

Dalam setiap tulisan beliau, seperti melalui buku Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama': Inilah Jawapannya dan Solat Nabi Menurut Mazhab Syafii, sumber ambilan setiap pendapat atau penjelasan daripada ulama pasti dinyatakan sumbernya. Malah dalam tulisan-tulisan beliau di dalam majalah Q&A, beliau tidak lupa menyelitkan sumber ambilan bagi setiap perbahasan, walaupun tidak semuanya dimuatkan oleh editor.

Berpegang pada pesan tuan gurunya, berikut adalah amalan beliau setiap kali menulis:
1. Dalam keadaan berwuduk.
2. Menutup aurat.
3.  Apabila merujuk kitab, baca al-Fatihah sebanyak 7 kali dengan niat menyedekahkan pahala setiap bacaan itu kepada Nabi SAW, para Sahabat, para wali Allah, para ulama, tuan guru, ibu bapa dan akhir sekali kepada tuan punya kitab (pengarang kitab).
4. Amanah dengan ilmu.

Sunday, June 10, 2012

Mata Pena Seorang Guru

Saya diminta menjadi speaker dalam satu seminar untuk warga pendidik yang akan diadakan dua minggu akan datang. Saya berhati-hati, malah agak was-was juga, untuk  mengatakan "ya" kepada jemputan itu kerana bidang pendidikan bukan bidang saya. Apa yang saya ada untuk dikongsi dengan warga pendidik? Terasa diri kerdil untuk bercakap di depan khalayak guru-guru yang sangat besar jasanya kepada masyarakat. 

Namun, saya akhirnya menyatakan persetujuan apabila dimaklumkan bahawa perkongsian yang diharapkan daripada saya adalah perkongsian input mengenai perkembangan kerjaya guru dalam penulisan. Di situ saya melihat ada sedikit sumbangan yang dapat saya berikan, iaitu membangunkan 'jiwa penulis' dalam diri guru-guru. 

Guru dan bidang penulisan bukanlah asing. Malah di negara kita, ramai guru yang menjadi penulis. Kalangan guru yang menjadi penulis ini sama-sama memberi sumbangan kepada suntikan pemikiran kepada umat Melayu khususnya, seperti juga kalangan wartawan. Nama tokoh pendidik dan penulis Za'aba (Zainal Abidin Ahmad) sama dikenali dengan nama tokoh wartawan, A. Rahim Kajai, A. Samad Ismail dan A. Samad Said yang giat menulis pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. 

Mari lihat apa maklumat yang kita boleh perolehi melalui Google mengenai penglibatan guru dalam penulisan. Kita akan temui nama Sultan Idris Training College atau SITC (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI) sebagai lubuk tempat lahirnya ramai penulis, khususnya sasterawan satu ketika dulu. Ramai guru dari SITC yang menulis novel, cerpen, sajak dan kritikan sastera. Kegiatan penulisan ini menjadi pesat apabila Pejabat Karang Mengarang SITC dibentuk pada 1924 (dua tahun selepas penubuhan SITC) dan Za'aba menjadi Ketua Pengarang dan Penterjemah Kanan di situ. 

Kita temui nama-nama guru seperti Harun Muhamad Amin, Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar, Ahmad Murad Nasaruddin, Ahmad Kotot, Muhammad Yassin Makmur dan Muhammad Rakwi Yusof yang giat menghasilkan novel. Beberapa orang daripada mereka juga giat menulis cerpen dan sajak, seangkatan dengan rakan-rakan guru seperti Kamsani Haji Arif, Mohd Yusof Arshad, Abdullah Yahya, Melati Serawak, Mahmud Arshad, Yusof Adil, Ibrahim Haji Yaakub, Muhammad Yassin Makmur (Pungguk), Embong Yahya (Ngumba), Muhammad Yusof Awang, Mahmud Ahmad dan Yusof Harun. Dalam bidang kritikan sastera, kita temui nama-nama guru seperti Keris Melayu, Muhammad Yusof Arshad dan Ngumba.

SITC juga melahirkan penulis berkaliber seperti Mokhtar Yassin, Awang Had Salleh, Masuri S.N, Mohd Nor Long, Suratman Markasan, Sahmad Malaya, Arman Sani, Kemala, Othman Putih dan banyak lagi.

Hingga kini, ramai guru dan bekas guru yang aktif menulis dalam pelbagai genre. Namanya terlalu banyak untuk disebut. Di peringkat global juga, ramai figur guru yang lebih dikenali  sebagai penulis daripada sebagai pendidik. Enid Blyton misalnya, adalah bekas guru yang tulisannya sangat berpengaruh dan sangat meninggalkan kesan di hati pembaca. Ketika beliau meninggal dunia pada 1968 dalam usia 71 tahun, beliau telah menghasilkan kira-kira 700 judul buku yang hingga kini masih terus diulang terbit dan diulang cetak dalam pelbagai bahasa. 

Fakta-fakta ini menunjukkan, maktab perguruan dan sekolah adalah tempat yang kondusif untuk melahirkan penulis. Faktornya banyak. Cukup kalau kita katakan, apabila seorang guru itu benar-benar berjiwa pendidik, dia mempunyai aset yang sangat besar untuk menulis dengan berkesan. Dia boleh mendidik dengan sangat baik melalui tulisan, sebagaimana dia berjaya mendidik melalui lisan. Guru yang berjiwa pendidik ini hanya perlu membangunkan 'jiwa penulis' di dalam dirinya. Apa yang diperlukan adalah minat, kesediaan untuk meneroka dan ketekunan. 

Antara Wang, Nama dan Tuhan

Jika kita menulis kerana wang, kita akan mendapatnya - banyak atau sedikit. Jika kita menulis kerana nama (kemegahan), kita juga akan mendapatnya - dikenali ramai atau kurang dikenali. Jika hanya kerana wang dan nama yang mendorong kita menulis, insya-Allah kita akan mendapatnya kerana begitulah aturan sunnatullah. Kita akan mendapat hasil daripada apa yang kita usahakan berdasarkan apa yang kita hajatkan atau niatkan.

Jika kita menulis kerana Allah - semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya - mudah-mudahan itulah yang kita dapat iaitu keredhaan Allah jua. Sukar untuk mengikhlaskan niat menulis semata-mata kerana Allah apabila kita tahu ada ganjaran wang dan nama daripada hasil kerja menulis itu. Bagaimanapun, jangan kerana itu kita berhenti menulis. Jangan kerana itu kita berhenti menyampaikan kebaikan dan kebenaran melalui pena.

Kalau kita tidak menghasilkan karya-karya yang mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran, kepada perkara-perkara yang Allah redha dan Rasulullah senangi, orang-orang yang tidak beriman akan menggunakan pena mereka untuk menghasilkan karya yang merosakkan jiwa dan pemikiran, yang melalaikan, yang mengajak pembaca melawan Tuhan dan peraturan-Nya.

Buku dan majalah akan tetap lahir. Ebook dan komik akan tetap muncul. Jika di belakang penerbitan bahan-bahan bacaan itu bukan kita yang mahu mengajak pembaca membesarkan Tuhan, ia akan didukung oleh orang-orang yang tidak fikir untuk menggunakan ketajaman mata pena untuk "nasihat-menasihati kepada kebaikan dan kesabaran". Penerbitan itu akan didukung oleh orang-orang yang hanya fikir soal wang dan nama.

Tulislah kerana Allah, walaupun di situ ada godaan wang dan nama. Mudah-mudahan Allah campakkan keikhlasan ke dalam hati kita walaupun keikhlasan itu belum penuh atau sempurna.