“Cabaran bagi saya di bulan Ramadan, cabaran membahagikan masa antara ibadah dan komitmen penulisan,” luah seorang novelis GISB.
Novelis ini sedang menggilap novel keduanya. Novelnya itu sudah beliau sunting sendiri, tetapi perlu dibaiki dan diperkemaskan. Penyunting mengusulkan beberapa cadangan kepadanya untuk menjadikan cerita lebih menarik, khususnya dalam menambah konflik.
“Banyak nak diubah. Harap-harap sempat sebelum raya,” beritahunya.
Kebetulan, pada tahun lepas, beliau menukangi novel pertamanya juga dalam bulan Ramadan. Walaupun harus membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga, antara ibadah dan tuntutan menulis sepanjang Ramadan, beliau mampu terus berkarya.
Mungkin banyak keberkatannya apabila menulis dalam bulan Ramadan – di celah-celah ibadah khusus, terutama solat dan membaca al-Quran. Barangkali kita yang masih ‘terbeban’ dengan ibadah dan belum merasai apa yang dikatakan lazatnya ibadah, tidak berada pada tahap rohani yang tinggi untuk menulis dengan hati yang jernih seperti Imam Malik misalnya.
Khabarnya, Imam Malik giat mengarang kitab apabila tiba bulan Ramadan. Beliau menghentikan majlis pengajiannya sepanjang Ramadan, diganti dengan lebih banyak membaca al-Quran dan mengarang kitab. Ertinya, beliau memfokus pada aktiviti membaca (al-Quran) dan mengarang. Diriwayatkan, beliau mengkhatam al-Quran sebanyak 30 kali dalam bulan Ramadan, namun masih mampu memfokus pada kerja mengarang. Masya-Allah, hebat.
Walaupun tidak mampu seperti Imam Malik, tidak salah kita meniru habit beliau yang sibuk mengarang dalam bulan Ramadan.
“Saat berpuasa di bulan Ramadan adalah saat paling kondusif menulis,” ujar seorang penulis dari seberang, Ersis Warmansyah Abbas, penulis buku Nyaman Memahami ESQ, antologi puisi Surat Buat Kekasih, dan beberapa judul tentang penulisan – Menulis Sangat Mudah, Menulis Mari Menulis, Menulis Dengan Gembira dan beberapa judul lagi. Ersis juga banyak menulis dalam suratkhabar arus perdana di Indonesia.
“Kalau dibiasakan selama bulan Ramadhan, mudah-mudahan selepas Ramadhan menjadi habit. Kalau demikian ceritanya, bukan tidak mungkin Sampeyan menjadi penulis besar,” ungkap Ersis.
“Menulis adalah kekuatan batin melalui kekuatan pikiran. Kekuatan pikiran didapatkan dari kuatnya kita mengisi dan mengasah pikiran. Ia akan menjadi sangat dahsyat manakala disandarkan kepada ajaran Allah SWT. Dus, berpuasa bukanlah tiket untuk bermalas-malas.
“Kita tidak perlu melakukan perang fisik seperti Rasulullah, cukup memerangi diri menjauhkan hal-hal yang negatif. Membaca, berpikir, dan menulis pada hakekatnya juga berperang dalam bentuk lain. Selama apa yang kita tulis memberi manfaat tentunya.
“Mari menulis di bulan Ramdhan dalam katup meraih ridho-Nya. Amin,” tulis Ersis dalam blognya.
2 comments:
Entri yang sangat membakar semangat! Insya Allah Tuan Zakaria, saya akan cuba. Biar pun satu mukasurat sehari.
terasa ini amat kerdil sekali.semoga diberi kekuatan untuk berkarya.dipenghujung inilah kita sibuk dengan urusan hari raya dan balik kampung. teringat semalam semasa mendengar rancangan usrah di radio IKIM tentang kebiasaan atau rutin orang Melayu Malaysia tidak menggunakan sebaik-baiknya 10 ramadhan terakhir sebaliknya sibuk dengan beli belah dan balik kampung.Cadangan timbul daripada salah seorang ustaz agar kita memeriahkan Ramadhan berbanding sambutan hari raya aidil fitri. Kemudian sambutlah dengan penuh meriah warna warni pada hari raya korban. Oleh itu, siapa ingin mula untuk mengubah budaya masyarakat kita?Lihat sajalah di masjid dan surau, suasana agak dingin berbanding minggu awal ramadhan. tentu sekali ia amat berbeza sekali dengan saranan Rasulullah s.a.w agar umatnya meningkatkan amal ibadah kita di penghujung ramadhan.
Post a Comment