BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, September 3, 2009

Tidak Rugi Bermusyawarah


Dalam Bengkel Penulisan Islam yang saya kendalikan bersama rakan editor, Sdr Nasri Nasir, di dewan Masjid Putra Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu, kami mengadakan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Inilah kali pertama saya mengendalikan bengkel di luar pejabat dan mengadakan aktiviti LDK.

Bagi lebih 50 siswa-siswi UIA cawangan Nilai, Gombak dan Petaling Jaya yang tekun mengikuti bengkel dari 9 pagi hingga 4 petang itu (sebahagiannya tidak dapat mengikut penuh kerana menghadapi peperiksaan), aktiviti berkumpulan begini memberi peluang kepada mereka mencungkil potensi diri dalam suasana musyawarah.

Dalam LDK, kami meminta setiap kumpulan menghasilkan satu sinopsis buku. Kami teruja juga apabila para pelajar ini mampu mengajukan konsep dan sinopsis buku yang agak baik. Dengan mengambil kira faktor bahawa mereka baru saja didedahkan dengan dunia penulisan buku, mereka menunjukkan potensi yang tinggi apabila dapat menghasilkan idea buku yang boleh diterima untuk diterbitkan walaupun masih perlu diubah suai dan diperkemas. Selain berkat Ramadan, ia adalah berkat musyawarah. Saya harap mereka dapat mengajukan proposal yang lebih sempurna supaya idea itu benar-benar dapat dijelmakan.

Konsep musyawarah dalam LDK boleh dilanjutkan selepas bengkel. Peserta yang mahu mengajukan idea dan judul buku untuk diterbitkan boleh membincangkan idea itu dalam suasana musyawarah, terutama dengan sesama rakan peserta.


Musyawarah memberi banyak kelebihan kepada penulis.

Sewaktu saya masih terlibat dengan penerbitan majalah dulu, kami sering mengadakan musyawarah untuk membincangkan hala tuju artikel utama untuk satu-satu keluaran, khususnya untuk ruangan Fokus dalam majalah Anis. Kami mengadakan sesi brainstorming. Biasanya dalam sesi ini, kami mendapat hala tuju yang lebih jelas tentang apa yang hendak ditulis dan siapa yang hendak ditemubual untuk menguatkan perbincangan satu-satu topik.

Selepas musyawarah itu, barulah kami lebih bersedia untuk menulis. Maka dalam setiap tulisan untuk ruangan Fokus itu, ada sumbangan idea daripada beberapa orang walaupun yang menulisnya mungkin seorang – saya, Hajah Jalilah atau Encik Roslan Kassim. Saya sendiri apabila mendapat input daripada sesi begini, akan menggunakan input itu untuk membuat rangka artikel. Daripada rangka kasar itu, saya mengumpul bahan sokongan dan mula menulis.

Dua kepala lebih baik daripada satu kepala. Dalam sesi brainstorming, ada yang melontar idea atau cadangan. Kemudian ada yang memberi cadangan balas. Dengan itu, idea yang lahir akan berkembang dan menjadi matang kerana sudah dilaga-lagakan. Idea baru yang lebih segar mungkin dapat dicetuskan. Ada sisi positif dan negatif yang dilihat. Ada fokus dan pengecilan skop yang dibuat. Ada input yang dapat menguatkan apa-apa yang diutarakan. Malah ada pencerahan pada isu yang dibincangkan. Perkongsian begini selalunya menghasilkan input yang lebih baik dan lebih kemas.

Bagi penulis atau calon penulis yang mahu mengajukan proposal buku atau proposal novel kepada editor, ada baiknya dia kongsikan dulu idea buku itu dengan orang lain. Sebaik-baiknya dengan orang yang dapat memberi pandangan secara telus. Yang kritis dan tahu menilai buku. Ertinya orang yang banyak membaca, bukan semestinya orang yang pernah menulis.

Bagi penulis yang mempunyai mentor, dia boleh berkongsi idea penulisannya dengan mentor. Kemudian nantikan pandangan dan komen. Apabila menerima komen pula, penulis mesti bersikap berlapang dada dan bersedia mengemas kini ideanya jika perlu. Apa-apa pandangan dan idea lain harus diterima.

Dengan berkongsi idea buku atau idea cerita untuk novel dengan orang lain, kemudian bersedia menerima komen dan cadangan dengan dada yang lapang, maka berlakulah suasana musyawarah. Dua orang saja pun sudah cukup untuk melahirkan suasana musyawarah ini.

Tidak rugi bermusyawarah. Insya-Allah, di situ ada berkatnya.

“… dan urusan mereka (diputuskan) secara musyawarah sesama mereka; dan mereka pula menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.” – Asy-Syura: 38

No comments: