BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, November 16, 2009

Kesedihan Bukan Masalah Bagi Dr. Aidh


Buku La Tahzan (Jangan Bersedih) adalah antara buku motivasi Islam paling laris abad ini. Pengarangnya Dr. Aidh Abdullah al-Qarni begitu berjaya menyentuh hati para pembacanya kerana pendekatan dakwah dan tarbiah yang dibawanya. Dan setiap tarbiah itu disuntik dengan nilai tauhid, yang membawa hati kepada Allah. Pendekatan ini membezakan buku motivasi Islam yang beliau pelopori dengan buku motivasi karangan tokoh motivasi Barat.

Dalam satu temubual dengan wartawan Indonesia, Luqman Hakim Arifin semasa Dr Aidh berada di Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada 5 Mac 2007, beliau ditanya tentang peristiwa yang mendorong beliau menulis La Tahzan.
"Dipenjara selama sepuluh bulan," beritahu beliau.

Beliau pernah dipenjarakan di penjara Arab Saudi kerana menulis beberapa bait syair berkaitan dengan politik. "Selama di penjara, saya banyak membaca buku mengenai musibah dan masalah manusia, pembunuhan serta hubungan bapa dengan ibu atau anak dengan orang tua. Ini mendorong saya untuk memberikan solusi kepada mereka (melalui buku La Tahzan)."

“Sesedih apa anda di penjara sehingga menghasilkan La Tahzan?" beliau ditanya. Lalu katanya, kesedihan bukan masalah baginya. "Tidak banyak kesusahan selama saya di penjara. Sebab waktu itu saya ditempatkan dalam tempat khusus dan diperlakukan dengan hormat (Dr. Aidh ditahan bersama beberapa ulama Arab Saudi yang vokal terhadap pemerintah)."

Beliau menghasilkan La Tahzan dalam masa tiga tahun dan mengeditnya sebanyak tiga kali. Mulanya beliau menulisnya mengikut pecahan bab. Tetapi, memikirkan orang akan bosan dengan cara penulisan seperti itu, beliau menjadikan olahannya berliku-liku "seperti sebuah taman, sehingga pembaca seperti berjalan di tempat yang indah".

No comments: