BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, November 4, 2009

Maklum Balas Kepada Sinopsis Novel

Ini contoh e-mel saya kepada seorang calon novelis yang menghantar sinopsis novelnya untuk dinilai. Calon novelis ini adalah peserta Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami yang diadakan Sabtu lepas. Selepas berkongsi penilaian dengan rakan editor Puan Suraiya Pauzi, saya memberi maklum balas berikut:

1. Secara keseluruhan, jalan cerita novel ini ada kelainan dan mampu menarik pembaca remaja jika dapat ditangani dengan baik di peringkat menulisnya nanti, insya-Allah. "Persembahan yang baik akan menghidupkan jalan cerita AMPLMB," komen Puan Suraiya.

2. Watak-watak dan konflik sudah konkrit, tinggal lagi penulis perlu kreatif untuk menghidupkan watak-watak ini. Mesti kenal betul dengan watak-watak, terutama watak utama Siti Nur Farah. Beri 'trademark' pada watak ini, juga watak-watak lain, seperti cara bercakap, warna pakaian kegemaran dsb.

3. Latar tempat dan masa biar jelas. Bahasa biar ringkas. Jaga nahu dan ejaan. Banyakkan dialog. Latar masa sewaktu Siti Nur Farah di sekolah rendah cukup sekadar memakan satu bab. Jika dirasakan sesuai, boleh gunakan teknik imbas kembali (flashback). Boleh mulakan cerita dengan Siti Nur Farah sibuk buat persiapan untuk pergi ke asrama, kemudian imbas kembali babak-babak di sekolah rendah. Lebihkan latar masa sewaktu dia di tingkatan 4 dan 5, supaya pelajar tahap SPM pun akan minat baca.

4. Sinopsis ini dikira lulus. Selepas ini, tulis dua bab contoh (mana-mana bab) dan e-melkan kepada saya. Purata panjang setiap bab adalah:
- 8 setengah halaman, bagi manuskrip setebal 180 halaman (double spacing).
- 12 halaman, bagi manuskrip setebal 260 halaman (double spacing).

5. Boleh dimasukkan sendal-sendal ringkas yang terdiri daripada petua/panduan/tip berguna untuk pembaca secara berasingan dari teks cerita, mungkin di akhir atau awal bab.

Misalnya dalam bab tiga boleh dibuatkan ‘check list’ barang-barang yang perlu dibawa ke asrama. Atau boleh juga senarai perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum ke asrama.

Bab lima boleh diselitkan panduan mandi wajib! Atau cara-cara menjaga kebersihan diri sewaktu haid. Atau solat yang perlu diqadha apabila haid.

Bab enam pula boleh dimasukkan cara-cara penampilan diri (petua menghilang jerawat mungkin!?)

Bab 16, boleh dimasukkan tip adab persahabatan.

Ini sekadar contoh. Banyak lagi yang boleh diselitkan secara ringkas.

6. Kami menunggu dua bab contoh novel ini. Boleh TS sediakan dalam waktu terdekat?

No comments: