BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, February 2, 2010

Lahirnya Seorang Novelis

Pengalaman novelis Zayu Hisham menarik untuk dikongsi kerana ia membuktikan bagaimana seorang yang sebelumnya tidak pernah membaca dan membeli novel pun, boleh muncul sebagai novelis. Beliau menulis begini di dalam blognya http://ilhamwan.blogspot.com:

Impian Juara adalah sebuah tajuk novel awal remaja yang bertitik-tolak daripada hasrat saya pada bulan April 2009 lepas.

"Saya ingin berjumpa dengan tuan petang ini," saya memulakan perbualan melalui telefon dengan Editor Kanan Galeri Ilmu Sdn Bhd, Encik Zakaria Sungib.

"Saya mahu jadi penulis," ujar saya terus terang.

"Boleh, insya-Allah."

"Tapi saya tidak tahu apa yang mahu saya tulis," balas saya lagi.

"Tulislah sesuatu yang dekat dengan saudara," jawab Encik Zakaria.

"Kebetulan pada bulan depan, pihak kami akan mengadakan Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami, saya rasa bagus untuk saudara datang," Encik Zakaria memberi cadangan.

"Tapi …" saya mula risau.

"Kenapa?"


"Saya tidak pernah beli atau baca novel sebelum ini."

"Itu bukan suatu halangan, saudara boleh mulakan dari sekarang," pujuk Encik Zakaria.

Bulan Mei 2009, saya mula mengenali dunia penulisan. Apa itu tema, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa dan sebagainya. Walaupun semasa belajar di tingkatan lima dan enam dahulu, mata pelajaran sastera sudah diterokai, ia masih belum cukup untuk bekal berkecimpung dalam bidang ini.

Selepas itu saya terus berdayung dalam arus penulisan ini. Alhamdulillah, pada bulan Jun 2009, sinopsis novel awal remaja siap. Namun bukan suatu usaha mudah, apabila ia berulang kali keluar masuk dari kotak e-mel. Beberapa kali Encik Zakaria meminta saya mengubahnya. Akhirnya pada bulan Julai 2009, sinopsis diluluskan seperti mana ditulis dalam Impian Juara.

Di dalam proses penulisan manuskrip itu, saya mula semakin dekat dan cinta terhadap dunia penulisan. Bengkel Penulisan Novel Kusyi Hirdan saya kunjungi selepas itu dan diikuti pula Bengkel Penulisan Cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulisan Zaharah Nawawi) yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lebih kurang sebulan selepas itu, seingat saya dalam bulan September 2009, manuskrip siap dan dihantar ke meja Encik Zakaria. Cuma agak kelakar juga kerana saya begitu ghairah sehinggakan proses pengeraman tidak dilakukan sebaik mungkin. Siap sahaja ayat terakhir, saya katakan kepada Encik Zakaria, "Manuskrip sudah siap."

Selepas itu saya mula sibuk berhubung dengan penyunting novel ini, Puan Zulina Hassan, salah seorang novelis dan bekas wartawan yang saya hormati. Dia banyak mengajar dan memberi bimbingan serta teguran kepada saya. Kalau tidak, Impian Juara tidak akan diterbitkan seperti mana hari ini. Terima kasih.

Barulah saya tahu, bukan senang rupanya menjadi seorang penulis walaupun ia sebuah naskhah setebal 114 muka surat. Tapi cabaran ini telah memberikan saya suatu kepuasan tidak terhingga. Daripada impian saya mahu menulis pada bulan April 2009, dan pada bulan Disember 2009novel Impian Juara berada di toko-toko buku. Bagai mimpi apabila sebuah buku tertera nama Zayu Hisham sebagai penulisnya. Itulah Keazaman Membara menjadi suatu realiti. Syukur ke hadarat Ilahi di atas keizinan-Nya.
*Terima kasih kepada Saudara Nimoiz TY, penulis buku 'Menjadi Penulis Jutawan' yang memberikan saya inspirasi untuk menulis sebelum ini. Walaupun saya telah miliki buku ini pada April 2007, saya tidak jangka selepas 2 tahun ia baru direalisasikan.
*Terima kasih Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana beri ruang dan peluang untuk saya belajar dan menulis.


1 comment:

muhammad fakhruddin said...

Assalamualaikum Tuan,
masih menyimpan cita-cita menjadi penulis namun masih tercari-cari bahan untuk ditulis.Teringin merakam pengalaman seperti Ustaz Hasrizal dalam Rindu Bau Pohon Tin