Bagi seorang penulis baru, komen yang membina daripada orang yang membaca tulisannya akan menyuntik keyakinan diri. Dia akan yakin bahawa dia memang mampu menulis atau ada bakat menulis.
Oleh sebab itu, mencari seseorang yang dapat memberi komen kepada tulisan sendiri perlu diusahakan dan sang penulis yang baru hendak serius menulis itu perlu bersedia untuk menerima apa jua komen. Salah satu daripada caranya adalah dengan menghadiri bengkel penulisan. Bengkel penulisan pula ada yang berbentuk teori iaitu memberi pengetahuan tentang teknik penulisan serta langkah-langkah menulis, dan ada yang berbentuk praktikal.
Bengkel Lanjutan Penulisan Novel Islami Bersama Nisah Haron yang diadakan di Galeri Ilmu Sdn Bhd pada Sabtu lepas adalah bengkel yang berbentuk praktikal. Pesertanya hanya tujuh orang (had maksimum ditetapkan lapan orang). Kesemuanya datang membawa proposal novel masing-masing iaitu sinopsis dan bab contoh karya mereka.
Para peserta itu datang untuk mendengar komen Nisah Haron tentang karya mereka. Mereka mahukan komen itu untuk membina keyakinan diri bahawa mereka memang mampu atau ada bakat menulis novel. Salah seorang peserta memberitahu saya ketika mengajukan proposalnya, "Saya hanya ingin mendapat sedikit pandangan (banyak pun tak apa) adakah saya mempunyai bakat sebagai penulis. Kalau tidak, saya berhenti takat ini saja. Harap dapat memberi komen dan kritikan ikhlas dan membina."
Dalam sesi pertama bengkel, Nisah antara lain menekankan kepentingan bab pertama bagi sebuah novel. Dalam sesi kedua, beliau memperkatakan proposal yang diajukan satu persatu. Setiap orang teruja untuk mendengar karya mereka dibicarakan.
Alhamdulillah, di hujung bengkel, saya dapat melihat kepuasan di wajah para peserta. Sebelum bengkel bermula, Nisah berbisik kepada saya, "Ada dua proposal yang okey, boleh teruskan menulis."
Dua proposal yang "okey" itu adalah daripada penulis yang novelnya sudah diterbitkan. Komen Nisah meningkatkan keyakinan diri mereka. Lima proposal lain mempunyai jalan cerita yang baik, cuma perlu diperkemaskan. Dan melalui bengkel seperti ini, penulisnya nampak dengan jelas kekuatan karya mereka, serta kelemahan yang perlu dibaiki dan apa yang perlu dibuat untuk memperkemaskannya.
2 comments:
Semoga bengkel seperti ini dapat dianjurkan lagi oleh pihak tuan.Terima kasih.
salam.
tuan, bagaimana mahu menyertai bengkel?akan adakah bengkel sebegini pada masa akan datang?
Post a Comment