BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, October 31, 2008

Bercakap Dengan Khalayak

Dari sehari ke sehari selepas saya mula menulis di dalam blog sendiri, saya belajar mengenali khalayak pembaca dengan lebih dekat. Setiap kali menulis, saya nampak dengan lebih jelas siapa yang mungkin akan membaca tulisan itu. Pengunjung yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk meninggalkan komen-komen di shoutbox atau di ruang komen adalah antara khalayak pembacanya. Saya mendapat maklum balas secara langsung daripada mereka.

Lalu saya sedar tentang satu perkara. Saya sedar yang saya harus mendisiplinkan diri untuk menulis dengan lebih kerap kerana ada orang yang mungkin menunggu-nunggu entri terbaru daripada saya. Saya harus meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dan tip-tip yang mungkin dapat dimanfaatkan oleh khalayak pembaca saya.

Dengan kata lain, saya harus ‘bercakap’ dengan khalayak pembaca saya itu sekerap mungkin.

Sudah tentu situasi ini mempunyai banyak kelebihan. Dengan mengenali khalayak pembaca dengan lebih dekat, penulis akan terbantu untuk menyampaikan sesuatu yang ditujukan khusus kepada khalayak pembaca itu.

Situasi ini samalah seperti seorang speaker yang bercakap di hadapan hadirin di dalam sebuah dewan. Sewaktu bercakap, dia akan memfokus kepada khalayak di hadapannya. Dia cuba meraikan khalayak itu dengan memperkatakan perkara-perkara yang mereka mungkin suka dan perlu dengar. Dia juga akan bercakap dengan cara yang mudah difahami oleh mereka.

Ini sesuai dengan pesan Rasulullah SAW agar kita berbicara dengan orang lain mengikut kadar akal orang itu. Oleh itu, amat penting bagi penulis untuk membayangkan siapa yang akan membaca tulisannya nanti. Jikalau dia menulis untuk bacaan remaja misalnya, dia harus membayangkan remaja bagaimana yang akan membacanya.

Jikalau khalayak pembaca itu adalah remaja terpelajar, cara penulis ‘bercakap’ dengan mereka tentu berbeza daripada cara bercakap dengan remaja kaki lepak umpamanya. Istilah dan ekspresi yang digunakan, cara mengolah ayat, contoh-contoh yang dibawa dan sebagainya dengan sendirinya akan disesuaikan dengan khalayak itu.

Wednesday, October 29, 2008

Belajar Berenang Di Dalam Air


“Bagaimana cara yang betul hendak belajar menulis?” Seorang rakan bertanyakan soalan ini kepada saya hampir 20 tahun lalu.

Saya ketika itu masih berkhidmat di BERNAMA. Rakan yang bertanya itu baru hendak berjinak-jinak dengan penulisan.

Saya pun menjawab, “Mulalah menulis dan terus menulis.”


Saya juga memberitahunya bahawa penulisan adalah antara perkara yang boleh dipelajari tanpa perlu diajar. Saya berpegang kepada kata-kata yang pernah saya baca tetapi saya lupa siapa penuturnya bahawa ada perkara-perkara di dalam kehidupan kita ini yang “cannot be teach, but can be learn.”


Oleh itu, saya meyakinkan rakan itu bahawa sekiranya dia hendak belajar menulis, dia perlu mula menulis dan terus menulis. Rakan itu memang cepat belajar. Bukan belajar daripada saya tetapi belajar daripada amalinya sendiri dengan melakukan aktiviti menulis yang berterusan. Dia sekarang adalah editor sebuah majalah yang berwibawa terbitan sebuah syarikat penerbitan yang besar.

Menulis ini adalah satu bentuk kemahiran (skill). Apabila dikatakan kemahiran, ia bukan soal susah atau senang, tetapi soal biasa atau tidak biasa saja.

Orang yang tidak pernah memandu kereta akan berasa susah hendak mula memandu. Orang yang tidak pernah berenang akan berasa susah untuk mula berenang. Bukan sebab memandu atau berenang itu susah, tetapi sebab tidak biasa melakukannya. Apabila aktiviti memandu atau aktiviti berenang itu sudah dilakukan berkali-kali, sudah menjadi biasa, ia tidak akan dirasakan susah lagi.

Makan menggunakan sepit juga dirasakan sangat susah bagi yang tidak biasa. Tetapi lihatlah orang yang sudah biasa makan menggunakan sepit. Dia melakukannya dengan begitu mudah dan bersahaja seperti dia makan dengan suapan tangan.

Menulis pun begitu juga. Ia perlu dibiasakan supaya senang dilakukan.

Satu perkara lagi, apabila dikatakan menulis itu satu kemahiran, cara belajar menulis yang paling berkesan adalah belajar sambil membuatnya.

“Keahlian berenang tidak perlu dipelajari dari buku tetapi dipraktikkan di dalam air,” ungkap Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni, pengarang buku best-seller, La Tahzan (Jangan Bersedih).

Apabila saya mengambil kata-kata Dr. ‘Aidh ini dan mengaitkannya dengan penulisan, saya melihat banyak kebenarannya. Sewaktu saya memasuki BERNAMA pada penghujung 1984, saya berada dalam barisan tenaga-tenaga baru wartawan yang sebahagian besarnya tidak mempunyai asas langsung dalam penulisan.

Salah seorang daripada mereka belajar di Universiti Malaya bersama saya, tetapi mengambil jurusan sosiologi dan antropologi. Saya lihat dia dan kesemua rakan yang lain dapat mengembangkan kemahiran menulis apabila setiap hari berlatih menulis berita.

Memang kami ada diberi sedikit pendedahan kepada selok-belok penulisan berita di peringkat awal, tetapi kemahiran menulis berita yang sebenar hanya dikuasai apabila sudah berada di lapangan. Apabila setiap hari dilatih mencari dan menulis berita, masing-masing belajar walaupun tanpa perlu lagi diajar.

Kami juga belajar untuk membaiki mutu penulisan kami apabila setiap hari membaca semula hasil penulisan kami yang telah disunting oleh editor. Kami tahu apa yang betul dan apa yang salah. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Apa yang sesuai dijadikan intro dan apa yang tidak sesuai.

Proses ‘belajar sambil membuatnya’ ini dialami oleh ramai orang yang akhirnya dikenali sebagai penulis atau novelis. Mereka berjaya mengembangkan kemahiran menulis kerana telah melalui proses tersebut. Yang penting, mereka melakukannya dengan penuh minat. Tidak mungkin seseorang itu akan melakukan sesuatu secara berterusan sekiranya dia tidak berminat dengan apa yang dilakukannya.

Calon-calon penulis boleh mendapatkan panduan-panduan menulis daripada buku. Mereka juga boleh mempelajari tip-tip penulisan daripada bengkel. Bagaimanapun, semua panduan dan tip itu hanya berguna sebaik-baik sahaja mereka mula menulis. Sebagaimana panduan dan tip berenang hanya berguna apabila seseorang pelatih renang mula masuk ke dalam air untuk mempraktikkannya.

Saturday, October 25, 2008

Mencuba Menjadi 'Funny Writer'

Sebagai penulis, kadang-kadang kita dicabar menulis dalam bidang yang kita tidak biasa tulis. Satu ketika dulu saya ditawarkan peluang menulis skrip untuk sitkom (situation comedy atau komedi situasi). Ia merupakan siri sitkom yang baru hendak ditayangkan di tv.

Bolehkah saya menulis untuk sitkom?

Saya beritahu rakan penulis yang menawarkan peluang itu melalui syarikatnya, “Saya tidak ada pengalaman menulis sitkom. Saya bukannya ada bakat melawak.”

Rakan itu telah meyakinkan saya, “Awak tidak perlu menjadi ‘funny person’ untuk menjadi ‘funny writer’. Saya akan berikan bahan-bahan panduan dan contoh skrip, nanti awak boleh study.”

Saya berkata pada diri saya, apa salahnya saya mencuba. Lagipun, melalui sitkom ini, penulis skrip diberi ruang untuk menyelitkan nilai-nilai didikan berunsur Islam.

Beberapa hari kemudian saya berkunjung ke pejabat rakan saya itu di Bandar Baru Sg. Buloh. Rakan saya memberikan fail lipat yang mengandungi bahan-bahan rujukan berupa panduan dan tip untuk penulisan skrip sitkom.

Di dalam fail itu juga ada beberapa contoh skrip sitkom karya rakan saya itu dan contoh sinopsisnya. Di pejabatnya juga saya dipertontonkan dengan pilot project siri sitkom yang akan ditayangkan di RTM itu. Menarik. Ada nilai Islam yang berjaya diselitkan di situ dalam ‘dos’ yang wajar, di samping unsur humor yang bersahaja.

Balik ke rumah, saya baca bahan-bahan panduan dan contoh skrip yang diberikan. Saya membuat sedikit ‘homework’ sebelum benar-benar bersedia untuk menjadi ‘funny writer’.

Selain itu, saya juga mengkaji perwatakan setiap watak yang muncul di dalam sitkom berkenaan. Tidaklah susah kerana profil setiap watak sudah pun tersedia.

Sitkom itu mengisahkan kehidupan seorang bapa tunggal (lakonan Mustafa Kamal) yang membesarkan tiga orang anak, salah seorang daripadanya lakonan Cut Mutia. Mereka mempunyai seorang pembantu rumah. Rumah mereka juga sering didatangi seorang pemuda warga asing yang bekerja di sebuah kedai runcit berhampiran.

Dalam panel skrip sitkom itu ada beberapa orang penulis lain, termasuk Sha Hanim Ramli (panggilan mesranya Om) yang telah menghasilkan banyak skrip drama bersiri dan telemovie untuk pelbagai saluran tv.

Sebelum skrip ditulis, setiap penulis dalam panel skrip itu diminta mengajukan sinopsis. Hanya setelah sinopsis diluluskan barulah penulis diminta menyiapkan skripnya.

Skrip sitkom mempunya struktur cerita yang mudah. Dalam setiap episod, cerita dimulakan dengan ‘teaser’ atau pembuka tirai yang memaparkan munculnya satu-satu masalah. Selepas itu cerita diikuti dengan situasi bagaimana watak-watak berdepan dengan masalah yang muncul dan cuba mengatasinya.

Cara watak-watak itu mendepani masalah berkenaan malah menjadikan keadaan bertambah buruk. Ibarat tikus membaiki labu. Di sinilah unsur-unsur humor banyak diselitkan. Semakin banyak pendekatan salah yang dilakukan oleh watak-watak dalam mendepani masalah yang muncul, semakin terbuka ruang untuk diselitkan unsur humor.

Di hujung cerita, akhirnya masalah dapat juga diselesaikan atau diungkai. Cerita berakhir dengan keadaan kembali normal.

Ini formula dalam mencetuskan unsur humor dalam sitkom.

Satu lagi formula sitkom adalah, setiap episod mengandungi dua cerita yang berjalan serentak. Ada Cerita A, ada Cerita B. Dengan kata lain, ada cerita utama dan ada cerita sampingan. Plot dan sub-plot.

Begitulah formula cerita bagi sitkom. Jikalau penulis sudah arif dengan formula mudah ini, hanya kreativiti saja yang diperlukan untuk menggarap skrip sitkom yang baik. Ada unsur humor yang bersahaja, aksi lawaknya tidak berlebih-lebihan (mungkin sekadar membuat penonton tersenyum-senyum, bukannya ketawa terbahak-bahak), tidak ada kata-kata kotor dan dapat pula diselitkan nilai Islam.


Editor Menggesa Penulis

“Sedang sibuk program? Ada masa untuk diluangkan kepada Anis dalam sehari dua ini?”

Begitulah lebih kurang bunyi sms saya kepada rakan penulis yang menjadi kolumnis majalah Anis.

Selalu apabila kebetulan tiba hari Jumaat, saya biasa mulakan dengan ucapan seperti ini, “Assalamualaikum, moga dirahmati Allah dan diberkati serta dipermudah segala urusan pada hari Jumaat yang permai ini. Sibuk hari ini? Dapat beri sikit masa untuk Anis?”

Kadang-kadang apabila ‘deadline’ sudah terlalu suntuk, saya akan menghantar sms yang lebih kurang begini, “Bahtera Anis sudah hampir belayar, tidak lengkap rasanya pelayaran ini tanpa … (saya menyebut nama kolum yang diisi oleh rakan penulis berkenaan di dalam Anis).”


Ini merupakan sebahagian daripada tugas editor dalam penerbitan majalah, iaitu ‘menggesa penulis’.

Jadual penerbitan perlu dipatuhi demi kelangsungan penerbitan majalah dan maslahat khalayak pembaca. Dalam masa yang sama, editor harus cuba memahami kesibukan para kolumnis, lebih-lebih lagi jika seseorang kolumnis itu bukanlah penulis sepenuh masa. Dia menulis di celah kesibukan urusan seharian. Sesetengahnya sering terlibat dalam program-program motivasi di luar daerah, muncul di tv atau ke udara di radio.

Saya mahu memberi rangsangan kepada mereka untuk menyiapkan artikel dengan kadar seberapa segera yang boleh tanpa nada mendesak. Lagipun, sedari awal kami menawarkan mereka menjadi kolumnis, kami yang mahukan mereka menulis, bukan mereka yang beriya-iya menawarkan diri. Oleh itu, kamilah yang terlebih dahulu harus memahami situasi mereka.

Di kalangan kolumnis itu pula, mereka juga mengisi kolum di dalam majalah atas dasar persahabatan dengan editor. Hal ini lebih kuat mendorong mereka berkongsi ilmu dan bersama-sama menyampaikan didikan serta memberi motivasi kepada khalayak pembaca majalah berkenaan.

Sehingga kini pun, selepas lebih tiga bulan saya meninggalkan meja majalah, saya masih terus menjadi perantara antara meja majalah dengan beberapa orang kolumnis. Mereka juga selesa untuk terus berhubung dengan saya, bukan berhubung langsung dengan editor majalah.

Setiap bulan pihak editor majalah akan mengingatkan saya tentang ‘deadline’ dan saya pula akan menghubungi rakan-rakan penulis tersebut untuk menyampaikan hasrat editor. Apabila ‘deadline’ sudah suntuk, tugas saya adalah menyampaikan mesej ‘sense of urgency’ kepada para kolumnis itu.

Keadaannya agak berbeza, tapi serupa, apabila saya menjadi editor buku. Bezanya, kali ini desakan 'deadline' bukan dipengaruhi oleh tarikh tertentu setiap bulan, tapi oleh jadual penerbitan yang saya dan pengurus jabatan sendiri tetapkan.

Saya masih perlu bertegas dengan 'deadline' untuk memastikan jadual penerbitan lancar, tapi masih boleh memberi lampu hijau kepada penulis yang memohon keuzuran. Adakalanya penulis memohon dilanjutkan tempoh dia harus menyiapkan manuskripnya atas halangan tertentu. Jadual penerbitan akan diubah suai tapi ia tidak menyebabkan sesebuah buku itu tidak dapat diterbitkan langsung. Cuma jadual penerbitannya harus dianjakkan ke depan untuk memberi laluan kepada buku lain.

Memang sebahagian daripada tugas editor adalah menggesa penulis, tetapi editor juga harus tahu meletakkan dirinya di tempat penulis. Menggesa adalah wajar, tapi tidak seharusnya mendesak. Pendekatan yang berhikmah itu perlu.

Thursday, October 23, 2008

Dari Blog Ke Buku



Kira-kira dua tahun lalu saya diperkenalkan oleh sahabat dan guru penulisan saya, Pahrol Mohd Juoi, kepada laman blog saifulislam.com. Saya mula mengikuti blog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil itu dan tertarik dengan gaya penulisan serta nilai isi (content value) tulisan-tulisan beliau.

Saya kemudian mencadangkan kepada editor Anis supaya menawarkan Ustaz Hasrizal menjadi kolumnis. Kolum beliau, Bekal Jalanan, bermula di dalam majalah Anis pada Mac 2007. Pada penghujung tahun lalu sewaktu Galeri Ilmu hendak membuat kemunculan sulung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang dijadualkan pada April 2008, saya dan beberapa orang rakan diamanahkan membina judul-judul buku yang akan diterbitkan. Waktu itu saya masih di bahagian majalah. Jabatan Buku pun belum ditubuhkan.

Saya segera teringat kepada blog Ustaz Hasrizal.


Saya cuba merisik Ustaz Hasrizal tentang kemungkinan artikel-artikelnya di dalam blog itu dibukukan. Waktu itu, awal Oktober 2007, saya belum mengenali beliau. Jadi, saya hanya merisik melalui emel. Saya beritahu beliau bahawa sudah tiba masanya tulisan-tulisan beliau di dalam blog itu dibukukan kerana sudah ratusan jumlahnya.

“Pengunjung-pengunjung saifulislam.com yang lewat berkunjung seperti saya, tidak sempat baca semua tulisan terdahulu,” beritahu saya.

Ustaz Hasrizal memberikan jawapan positif. Rupanya beliau juga ada hasrat membukukan tulisan-tulisannya. Katanya, pernah ada penerbit yang berminat membukukan tulisan-tulisan beliau tapi selepas itu tidak ada langkah susulan. Jadi, ia tenggelam begitu saja hinggalah saya mempelawa beliau menerbitkan bukunya bersama Galeri Ilmu.

Ustaz Hasrizal telah meminta pandangan para pengunjung saifulislam.com mengenai idea pembukuan blog tersebut. Ramai yang memberi komen yang baik. Atas saranan Ustaz Hasrizal, saya meneliti kesemua komen itu sepintas lalu. Antara komen-komen itu adalah tentang perlunya pengasingan buku mengikut genre, pemilihan entri berdasarkan artikel-artikel terpilih, menentukan pembaca sasaran, mengenal pasti konsep buku, konsep cover dan... tidak terkecuali, memastikan ia ditangani oleh ‘reputable publisher’. Saya fikir, semua pandangan itu wajar dipertimbangkan.

Bulan Syawal 1428, saya mula mengumpul artikel-artikel Ustaz Hasrizal dalam beberapa kategori.

Saya bermula dengan menyenaraikan kira-kira 200 tajul artikel dari blog beliau. Saya memikirkan hendak mengelompokkan artikel-artikel itu kepada bahagian-bahagian. Bermakna, dalam sebuah buku ada beberapa bahagian dan setiap bahagian mengandungi sejumlah artikel. Saya dapat pecahkan kepada sembilan bahagian. Ada bahagian Diari Kembara, ada bahagian Kekeluargaan dan sebagainya.

Setelah memikirkan soal halatuju buku-buku Galeri Ilmu yang bakal diterbitkan, saya fikir, elok jikalau saya memfokuskan pada dua buku dulu iaitu buku berbentuk kekeluargaan dan buku travelog/diari kembara. Melihat pada bilangan artikel yang ada untuk kedua-dua kategori itu, masing-masing sudah mencukupi untuk dijadikan sebuah buku. Oleh itu, kami boleh terbitkan sebuah buku untuk setiap kategori tersebut.

Ustaz Hasrizal bersetuju dengan idea itu. Beliau memberi cadangan awal kemungkinan moto blog beliau, Erti Hidup Pada Memberi, dapat dijadikan judul buku atau tagline buku beliau. Saya tertarik dengan cadangan itu tetapi saya sedar keputusan akhir masih tertakluk kepada perbincangan dengan rakan-rakan di Galeri Ilmu. Judul buku adalah antara perkara paling akhir perlu diputuskan.

Setelah membuat beberapa pertimbangan dan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan, akhirnya satu keputusan dibuat untuk memberi tumpuan kepada sebuah buku saja. Buku berkenaan adalah buku berbentuk kekeluargaan dan pendidikan anak-anak. Halatuju ini selari dengan halatuju majalah ANIS dan boleh disasarkan kepada khalayak pembaca yang sama.

Pada awalnya saya menyarankan kepada Ustaz Hasrizal agar beliau sendiri memilih dan membuat kompilasi artikel-artikelnya. Saya fikir, cara itu akan lebih mudah. Tetapi tidak semudah itu rupanya. Beliau perlu dibantu dalam aspek-aspek teknikal ini. Lagipun, beliau tidak mempunyai simpanan khusus artikel-artikel yang telah beliau ‘posting’ ke blog. Ada tetapi tercerai-cerai dan banyak juga yang hilang. Lalu, saya pun memberitahu beliau bahawa saya sendiri yang akan memilih dan menyusun artikel-artikel beliau mengikut urutan yang saya fikir sesuai. Beliau ternyata gembira dan benar-benar berasa terbantu dengan cadangan itu.

Saya mencuri-curi masa di celah kesibukan kerja penerbitan majalah untuk menyalin-turun (secara ‘copy & paste’) artikel-artikel dalam kategori kekeluargaan dari blog saifulislam.com. Mula-mula saya salin hampir kesemuanya. Selepas itu, saya saring satu persatu dengan mengambil artikel-artikel yang sesuai dibukukan saja. Akhirnya yang tinggal adalah kira-kira 40 artikel.

Proses seterusnya adalah menyusun artikel-artikel itu mengikut urutan. Proses ini paling renyah kerana saya perlu melakukan ‘fast reading’ setiap artikel untuk menyusunnya mengikut urutan yang sesuai. Mana satu hendak dijadikan bab pertama, bab kedua dan seterusnya. Saya menyusunnya berpandukan judul-judul artikel yang saya telah baca secara sepintas lalu isi-isinya.

Proses menyusun ini melibatkan beberapa kali rombakan untuk mendapatkan susunan yang paling sesuai. Saya cuba menimbulkan kesan kepada pembaca bahawa dari bab ke bab, buku ini mempunyai kesinambungan. Biar pembaca dapat merasakan kesinambungan itu walaupun sebenarnya tulisan-tulisan itu ditulis tanpa mengikut urutan.

Di tempat-tempat tertentu dalam artikel ada digunakan perkataan ‘semalam’, ‘awal bulan ini’, ‘esok’ dan sebagainya. Ada juga ayat yang menyatakan bahawa sesebuah artikel itu adalah maklum balas kepada tulisan sebelumnya di blog. Ayat yang mengandungi perkataan atau konotasi seperti ini harus diubah suai atau ditiadakan supaya sesuai dengan format buku. Kita tidak mahu pembaca merasakan dia membaca kompilasi tulisan-tulisan dari blog, bukannya membaca buku. Saya juga ada memotong perkataan dan ayat di satu dua tempat atas pertimbangan tertentu.

Kini sebahagian besar artikel telah saya susun mengikut urutan. Hanya ada beberapa artikel lagi yang perlu disusun tetapi saya rasa kedudukannya mengikut urutan adalah terkemudian daripada artikel-artikel yang telah sedia disusun. Tugas berikutnya sudah nampak agak mudah. Lalu saya menyerahkan manuskrip itu kepada rakan editor, Puan Suraiya, untuk menyambutnya. Beliau melengkapkan dan memperkemaskan lagi susunan artikel-artikel di dalamnya.

“Boleh ustaz luangkan masa untuk datang ke Galeri Ilmu?” tanya saya kepada Ustaz Hasrizal apabila manuskrip buku yang sudah lengkap itu telah dikeluarkan dalam bentuk cetakan lazer.

Minggu berikutnya Ustaz Hasrizal datang. Itulah pertama kali beliau datang ke Galeri Ilmu iaitu di bangunan pejabat lama di Taman Tun Dr. Ismail, sebelum kami berpindah ke Kota Damansara. Itulah juga pertama kali saya bertemu dan berjabat tangan dengan beliau. Turut hadir dalam pertemuan itu adalah En. Roslan Kassim yang menerajui penerbitan majalah dan buku ketika itu (sebelum Jabatan Buku ditubuhkan).

Ustaz Hasrizal pulang membawa manuskrip buku sulungnya. Beliau menyemak semula tulisan-tulisan beliau itu dan mengeluarkan beberapa artikel yang kurang relevan. Beliau juga menulis mukadimah untuk buku yang mengandungi 36 bab itu.

Beberapa hari sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada April 2008, Ustaz Hasrizal telah mewar-warkan kemunculan bukunya di saifulislam.com. Ramai pengunjung blog beliau yang ternanti-nanti. Mereka tidak sabar-sabar untuk memiliki buku itu.

Akhirnya, buku Aku Terima Nikahnya – judul yang tidak pernah terlintas di fikiran saya dan rakan editor hinggalah di saat akhir buku hendak dicetak – menemui pembaca pada minggu kedua pesta buku berlangsung. Judul itu memang cadangan daripada saya, tetapi saya dan beberapa rakan editor juga mencadangkan beberapa judul lain. Akhirnya, judul itu yang dipilih, dengan saya tambahkan ‘blurb’. Pengarah Rekabentuk Hj. Badrulhisham sendiri menghasilkan rekabentuk kulitnya yang nampak santai dan lembut.

Ustaz Hasrizal telah saya maklumkan tentang judul muktamad itu.

“Walaupun ‘Erti Hidup Pada Memberi’ tidak dijadikan judul buku, ‘blurb’ pada kulit buku sudah membawa pengertian itu,” beritahu saya.

Beliau menerimanya dengan lapang dada. Memang mudah berurusan dengan beliau.

Pengunjung gerai Galeri Ilmu di pesta buku membeli buku Aku Terima Nikahnya seperti membeli goreng pisang panas. Memang buku itu masih ‘panas’. Siap saja dicetak, ia terus dibawa ke gerai pesta buku. Saya lihat ramai yang membeli empat lima naskhah sekaligus. Dua ribu naskhah habis dijual dalam tempoh seminggu lebih. (Hingga saat saya menulis ini, buku itu telah diulang cetak sebanyak empat kali.) Ini di luar jangkaan kami dan di luar jangkaan Ustaz Hasrizal sendiri.

Alhamdulillah, jalinan komunikasi serta koordinasi yang baik antara editor dan penulis mampu memberi hasil yang baik dan mudah-mudahan diredhai.

Tuesday, October 21, 2008

Menangani Titik-Bengik Menerbitkan Majalah

“Dengan kapasiti biasa, berapa tenaga yang diperlukan untuk menerbitkan sebuah majalah?” tanya seorang rakan penulis melalui sistem pesanan ringkas.

Setelah bermenung sejenak, saya pun membalas sms rakan tadi. Berdasarkan pengalaman saya bersama majalah ANIS, untuk menerbitkan sebuah majalah, tenaga asas yang diperlukan adalah seorang editor, seorang penolong editor merangkap penyelaras, seorang penyunting merangkap pembaca pruf, dan seorang wartawan merangkap jurufoto.
Dengan empat orang tenaga kerja ini, kerja menerbitkan sebuah majalah agak selesa.
Berdasarkan pengalaman saya juga, kerja penerbitan majalah tidak boleh dicampur-aduk dengan kerja penerbitan buku. Oleh itu jikalau sebuah penerbit buku misalnya, hendak menerbitkan majalah, penerbit ini hendaklah membentuk tim editorial yang baru. Tim editorial buku tidak boleh diusik.

Kerja menerbitkan majalah juga mesti ditangani oleh tenaga-tenaga sepenuh masa. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan tugas-tugas penting seperti merancang isi, mengadakan sesi ‘brainstorming’, mengagihkan tugasan kepada penulis dan wartawan, ‘mengejar’ kolumnis dan responden, menyaring kemasukan bahan (gatekeeping), menyemak bahan, menyelaras bahan dan membina ‘jambatan’ dengan bahagian rekaletak. Ini belum dikira sesi post-mortem yang perlu dilakukan apabila majalah siap diterbitkan dan diedarkan. Semua rutin ini memerlukan kerja secara kolektif untuk ditangani dengan berkesan.

Jika tugas-tugas rutin ini tidak dapat ditangani dengan konsisten oleh bilangan tenaga yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya tiga orang tenaga editorial sepenuh masa, ia pasti menjejaskan jadual penerbitan.

Menangani sebuah buku setebal 200 halaman memang meletihkan. Namun, menangani sebuah majalah setebal 100 halaman dengan puluhan ruangan (kolum) yang mempunyai gaya penulisan dan konsep yang berbeza-beza, jauh lebih meletihkan lagi.

Ada seorang rakan yang melakukan kerja penerbitan untuk sebuah buletin agensi kerajaan negeri setebal 24 halaman yang terbit empat kali setahun. Untuk kerja penerbitan yang ringan seperti itu, dia mampu melakukan pelbagai kerja (multi tasking) dengan hanya dibantu oleh isterinya.

Bagaimanapun, keadaannya berbeza dalam menerbitkan sebuah majalah bulanan setebal lebih 96 halaman. Saya tidak fikir seorang tenaga sepenuh masa dan seorang tenaga separuh masa misalnya, sudah memadai bagi menerbitkan majalah seumpama ini. Walaupun andainya 80-90 peratus bahan di dalam majalah itu diisi oleh penulis luar atau kolumnis, masih banyak kerja rutin yang tidak akan ‘menang tangan’ untuk disempurnakan oleh tenaga yang sangat minimum itu. Kalaupun boleh, hasilnya tidak akan sempurna.

Oleh itu, bilangan tenaga kerja yang terlalu minimum tidak memadai untuk penerbitan majalah yang ‘nature’ kerjanya mempunyai banyak titik-bengik. Titik-bengik itu pula mungkin berbeza-beza dari bulan ke bulan penerbitannya. Bulan ini masalahnya lain, bulan berikutnya lain pula.

Sekadar contoh, apabila beberapa orang kolumnis gagal memenuhi ‘deadline’ untuk satu-satu keluaran, masing-masing dengan sebab tersendiri, editor terpaksa membongkar ‘bank artikel’ untuk mencari bahan gantian. Atau, editor sendiri yang harus mengisi kekosongan bahan itu. Mungkin pula ada artikel sumbangan kolumnis yang kurang sesuai untuk disiarkan dan terpaksa juga dicarikan gantinya. Agihan mukasurat juga memerlukan ubah suai pada saat akhir untuk disesuaikan dengan panjang pendek artikel-artikel yang sampai di meja editor. Gambar yang sesuai untuk sesebuah artikel juga mungkin sukar diperolehi. Ini belum dikira masalah mencari tajuk yang sesuai untuk setiap artikel dan tajuk-tajuk ‘blurb’ pada kulit majalah.

Hal-hal seumpama ini merupakan antara titik-bengik yang harus ditangani oleh tenaga editorial majalah. Ia merupakan sebahagian daripada ‘nature’ kerja penerbitan majalah yang perlu ditangani oleh tim tenaga kerja yang komited yang bekerja sepenuh masa, bukan separuh masa.

Siapa Pembaca Peribadi Anda

Isteri saya Fauziah seorang surirumah sepenuh masa. Dia ada juga mengambil upah menjahit pakaian di rumah di celah-celah kesibukannya mengurus rumah tangga dan anak-anak. Hampir semua kawan-kawannya tahu perkara ini. Apa yang mereka tidak ketahui adalah tentang tugas tidak rasminya sebagai ‘pembaca peribadi’ saya.

Pembaca peribadi?

Sewaktu saya masih giat mengisi ruangan Fokus Utama untuk majalah ANIS, seringkali saya akan memberikan artikel yang saya telah siapkan kepada isteri saya untuk dibaca. Saya mahu dia menjadi pembaca pertama artikel tersebut.

Selepas dia selesai membacanya, dia selalunya akan memberikan maklum balas dan komen yang sangat membina. Maklum balas yang saya nanti-nantikan adalah kesan selepas dia membaca sesebuah artikel itu. Apa yang dia rasakan sebagai pembaca biasa, bukan sebagai editor.

Seingat saya, pernah beberapa kali saya merombak semula keseluruhan tulisan saya selepas mendengar maklum balas daripada isteri saya atau orang lain yang saya berikan tulisan saya untuk dibaca. Paling kurang, saya akan merombak intro, membuang bahagian tertentu atau membuat ubah suai serta tambahan di sana sini.

Saya rasa ada kelebihannya jika seseorang penulis mempunyai ‘pembaca peribadi’ yang dia boleh tanyakan pandangan tentang hasil-hasil tulisannya. ‘Pembaca peribadi’ ini adalah orang pertama yang akan membaca tulisan kita sebelum tulisan itu diserahkan kepada editor. Dengan cara ini, penulis dapat mengelakkan daripada sindrom cepat berpuas hati dengan hasil tulisannya tanpa memikirkan respons daripada pembaca. Penulis dapat mengenal pasti kesan atau impak tulisannya ke atas para pembaca kelak. Penulis akan sempat membuat ubah suai malah membuat rombakan jika perlu, sebelum tulisan itu diserahkan kepada editor.

Saya tidak begitu pasti dengan penulis lain, tetapi setahu saya Zabidi Mohamed adalah antara penulis yang akan memberikan manuskrip bukunya kepada orang lain untuk dibaca dan diberi komen sebelum manuskrip itu diserahkan kepada editor. Saya sendiri adalah antara beberapa orang rakan yang diberikan manuskrip salah sebuah bukunya untuk dibaca sebelum disunting.

Bagaimana dengan anda? Selalukah anda memberikan tulisan anda kepada orang tertentu selain daripada editor untuk dibaca? Apa pun, pastikan ‘pembaca peribadi’ anda itu dapat memberikan maklum balas yang kritis dan berterus-terang. Manakala anda sendiri bersedia mendengar dan menerimanya dengan hati terbuka serta bersedia pula untuk mengubah suai tulisan anda berdasarkan maklum balas yang mereka beri.