BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, September 10, 2009

Apabila Penulis Menerima 'Rotan'

Setelah berbulan-bulan memberi tumpuan pada kerja menulis, akhirnya siap sebuah manuskrip. Mungkin harus bersengkang mata untuk sampai ke noktah akhir. Atau setelah beberapa hari memerah otak dan menaip di depan komputer, siap sebuah cerpen ataupun artikel. Maka datang satu kepuasan dalam diri. Tetapi rupanya kepuasan itu tidak lama apabila ada orang yang menegur akan kekurangan tulisan itu. Jika sudah sampai ke tangan editor, editorlah yang akan menegur dan mencadangkan supaya diubah itu, ditambah ini, diolah sana dan dipotong sini.

Apabila tulisannya ditegur, seorang penulis seperti kena ‘rotan’. Selalunya penulis yang baik mudah menerima teguran. Dia tahu, teguran itu untuk kebaikan. Sama seperti seorang budak yang redha kena rotan kerana dia tahu rotan itu akan membuat dia sedar akan kesilapannya. Begitulah halnya apabila penulis menerima teguran daripada editor.

Penulis yang baik juga sentiasa bersedia untuk membaiki tulisannya jika perlu. Atau mungkin dapat disebut begini. Disebabkan dia sentiasa bersedia membaiki tulisannya, maka dia mampu menjadi penulis yang baik. Dia dapat meningkatkan kemahiran menulisnya. Penulis ini tahu, orang yang memberitahunya tentang kelemahan tulisannya itu mewakili ramai pembaca lain. Apabila cadangan daripada orang itu diterima, dia seperti meraikan pembaca-pembaca tulisannya.

Dengan kesediaan penulis untuk menerima teguran, pandangan dan cadangan daripada editor, penulis juga dapat membina hubungan baik dengan editor. Hubungan baik penulis-editor ini sangat penting untuk jalinan kerjasama antara penulis dan penerbit. Melainkan seorang penulis itu menerbitkan sendiri karyanya, dia harus memelihara hubungan baik ini.

Alhamdulillah, setakat ini saya belum berjumpa dengan penulis buku atau novel yang mengajukan karya kepada saya tetapi menutup pintu kepada teguran dan saranan. Ironinya, semakin bagus seorang penulis, semakin terbuka dia kepada teguran dan pandangan. Bukan saja penulis baru, malah penulis yang sudah mantap pun masih suka kepada ‘rotan’ daripada editor.

6 comments:

WZWY said...

Penulis memerlukan teguran bagi meningkatkan hasil karya mereka. Sesungguhnya memang naluri sifat manusia, sukar untuk menerima teguran apatah lagi secara berterus terang.Tapi jika hati dididik untuk menerima teguran dan penulis itu tahu sebab mereka ditegur, rasanya ia akan memberi kebaikan kepada kedua belah pihak.Paling penting penulis itu ingin belajar dan terus belajar dengan istiqamah.
Wallahualam!

abuyon said...

salam en. zakaria,

Mari, atas nama Tuhan yang agung
dan rahman, kita hulurkan dua tangan,
dan sejuta hati kita bersalaman dari
denyutnya yang paling
tenang dan dalam

Selamat Hari Raya — dari kami sekeluarga
Maaf zahir dan batin, nampak dan tak
nyata, dari hujung ke hujungnya

p/s: nak duit raya pakcik zek ..
pinta anak-anakku ..hehe

Zakaria said...

Kepada Zayu Hisham,
Sebahagian daripada proses belajar adalah belajar daripada kesilapan. Eloklah kita mahu membetulkan diri dan membetulkan hasil kerja kita setiap masa 'berpandukan' kesilapan itu.
Salam iftar dan salam Syawal.

Kepada Abuyon,
Salam Syawal, semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada saudara sekeluarga. Maaf zahir dan batin.

p.s. Anak-anak yang dikasihi, silalah datang beraya ke rumah pak cik di Kuang, insya-Allah dapat duit raya.

Pyanhabib said...

selamat hari raya!

Zakaria said...

Selamat hari raya buat Sdr Pyan juga. Moga sama-sama dapat menyempurnakan ibadah Ramadan dan menyambut Syawal.
P.S. Kalau tak silap, Sdr Pyan sudah titipkan ucapan yang sama 26hari lalu... Hehe.

MARSLI N.O said...

Saya suka baca entri yang begini. Apa lagi kalau yang menegor itu dengan penuh hemah.