BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, April 2, 2010

Cabaran Pasca PBAKL 2010

Pencapaian sebuah syarikat penerbitan seperti Galeri Ilmu Sdn Bhd dalam pesta buku tidak diukur pada jualan produk semata-mata. Jumlah kutipan jualan bukan satu-satunya faktor untuk mengukur pencapaian.

Selama 10 hari bertahan di gelanggang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, gerai Galeri Ilmu mencatat kutipan jualan hampir RM350 ribu, berbanding tahun sebelumnya RM250 ribu. Dari satu segi, ia satu petanda positif. Dengan jumlah lot gerai yang sama seperti PBAKL 2009 (empat lot), kutipan jualan kali ini memperlihatkan peningkatan yang agak baik. Alhamdulillah.

Bagaimanapun, yang lebih penting daripada kutipan jualan itu adalah sejauh mana berkesannya aktiviti membina branding sepanjang 10 hari pesta buku itu berlangsung.

Dalam undian mendapatkan tapak gerai, Galeri Ilmu memperolehi lokasi gerai yang strategik di ruang legar PWTC. Posisi 'island' menjadikan gerai Galeri Ilmu boleh didatangi dari tiga penjuru dan memudahkan ia menarik kedatangan pengunjung (pull the crowd). Kelebihan ini membantu aktiviti di gerai, tetapi apa yang lebih signifikan adalah wujudnya ruang yang luas untuk menarik kepercayaan pengunjung kepada kredibiliti Galeri Ilmu dan produk-produk Islaminya.

Dalam penyertaan kali ketiga di PBAKL ini, sambutan di gerai Galeri Ilmu memperlihatkan bahawa Galeri Ilmu sudah mempunyai ramai 'follower' di kalangan penggemar bahan-bahan bacaan berunsur Islam. Tidak seperti tiga tahun sebelumnya di mana Galeri Ilmu hanya lebih dikenali sebagai penerbit majalah berunsur Islam (Anis dan Asuh), kini Galeri Ilmu sudah dikenali juga sebagai penerbit buku dan novel Islami.

"Syabas, buku-buku dan majalah-majalah terbitan Galeri Ilmu memang ada aura tersendiri. Mungkin ini kurniaan Allah kepada orang yang benar-benar membuat sesuatu kerana-Nya," ulas seorang novelis Galeri Ilmu, Rohaida Abd. Rahim.

"... daripada survey tidak rasmi saya, pada pesta buku kali ini, rata-rata khalayak tertumpu kepada gerai PTS dan Galeri Ilmu. Tahniah diucapkan," kata seorang pengunjung dan penulis kepada beberapa buah novel, Nor Liana Omar.

Komitmen seluruh staf Galeri Ilmu yang dikerahkan bertugas di gerai memberi impak yang besar dalam aktiviti membina branding, berbanding sesetengah syarikat yang meletakkan petugas bukan staf. Hal ini kerana staf mempunyai kelebihan 'product knowledge' dan rasa bersama dalam membina branding. Mereka mewakili syarikat, bukan sekadar bekerja untuk syarikat.

Pelancaran buku-buku dan novel-novel Islami Galeri Ilmu di pentas ruang legar PWTC juga dapat menarik ramai pengunjung dengan kehadiran Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said (Pak Samad). Kesudian Pak Samad melancarkan buku-buku Galeri Ilmu merupakan satu bonus dan satu penghormatan bagi Galeri Ilmu. Lebih-lebih lagi, beliau bukan sekadar melancarkan, bahkan mengupas beberapa buku motivasi dan novel Islami yang dilancarkan pada tengah hari itu (Ahad, 21 Mac).

Walaupun seperti kata Pak Samad, beliau tidak sempat 'mengunyah' buku-buku itu, beliau masih dapat 'menyelami' isi kandungan setiap buku yang dihadiahkan kepadanya seminggu sebelum berlangsungnya PBAKL 2010. Di atas pentas, beliau mampu memberi kupasan yang ringkas namun sampai ke dasar. Dikeluarkannya setiap satu buku itu dan dikupas satu persatu.

Apa yang boleh saya katakan, Galeri Ilmu sudah ada tempat dalam industri buku negara. Bermula sebagai penerbit majalah berunsur Islam, Galeri Ilmu sudah menyertai rakan-rakan penerbit lain untuk memeriahkan industri buku negara dengan buku-buku dan novel-novel Islami. Medan dakwah dan tarbiah Galeri Ilmu melalui penerbitan buku semakin luas.

Cabaran pasca PBAKL 2010 adalah untuk memelihara kepercayaan pembaca terutama mereka yang sudah menjadi 'follower' Galeri Ilmu dan membaiki kelemahan-kelemahan yang telah dikenal pasti yang sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan ini.

Cabaran berikutnya adalah meneruskan komitmen menerbitkan lebih banyak bahan bacaan yang membawa nafas Islam, termasuk novel-novel Islami untuk bacaan dewasa, remaja dan awal remaja. Ini memerlukan sokongan rakan-rakan penulis yang berjiwa Islam dan mempunyai kefahaman Islam yang baik serta mampu menterjemahkan kefahaman itu dalam karya-karya mereka.

Galeri Ilmu komited melahirkan penulis-penulis baru yang berjiwa Islam untuk sama-sama 'meredah' arus kebanjiran buku-buku yang mempunyai pelbagai warna dan wajah dalam pasaran. Buku-buku yang ditulis oleh penulis 'kerdil' tetapi berjiwa besar mampu memberi impak tersendiri kepada khalayak pembaca, insya-Allah.

Penulis-penulis ini adalah rakan kongsi Galeri Ilmu dalam aktiviti membina branding.



2 comments:

WZWY said...

Semoga usaha murni ini dipermudahkan oleh-Nya.

goldinarke said...

Tahniah RUHI