BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, November 16, 2009

Kesedihan Bukan Masalah Bagi Dr. Aidh


Buku La Tahzan (Jangan Bersedih) adalah antara buku motivasi Islam paling laris abad ini. Pengarangnya Dr. Aidh Abdullah al-Qarni begitu berjaya menyentuh hati para pembacanya kerana pendekatan dakwah dan tarbiah yang dibawanya. Dan setiap tarbiah itu disuntik dengan nilai tauhid, yang membawa hati kepada Allah. Pendekatan ini membezakan buku motivasi Islam yang beliau pelopori dengan buku motivasi karangan tokoh motivasi Barat.

Dalam satu temubual dengan wartawan Indonesia, Luqman Hakim Arifin semasa Dr Aidh berada di Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada 5 Mac 2007, beliau ditanya tentang peristiwa yang mendorong beliau menulis La Tahzan.
"Dipenjara selama sepuluh bulan," beritahu beliau.

Beliau pernah dipenjarakan di penjara Arab Saudi kerana menulis beberapa bait syair berkaitan dengan politik. "Selama di penjara, saya banyak membaca buku mengenai musibah dan masalah manusia, pembunuhan serta hubungan bapa dengan ibu atau anak dengan orang tua. Ini mendorong saya untuk memberikan solusi kepada mereka (melalui buku La Tahzan)."

“Sesedih apa anda di penjara sehingga menghasilkan La Tahzan?" beliau ditanya. Lalu katanya, kesedihan bukan masalah baginya. "Tidak banyak kesusahan selama saya di penjara. Sebab waktu itu saya ditempatkan dalam tempat khusus dan diperlakukan dengan hormat (Dr. Aidh ditahan bersama beberapa ulama Arab Saudi yang vokal terhadap pemerintah)."

Beliau menghasilkan La Tahzan dalam masa tiga tahun dan mengeditnya sebanyak tiga kali. Mulanya beliau menulisnya mengikut pecahan bab. Tetapi, memikirkan orang akan bosan dengan cara penulisan seperti itu, beliau menjadikan olahannya berliku-liku "seperti sebuah taman, sehingga pembaca seperti berjalan di tempat yang indah".

Sunday, November 15, 2009

'Showing' vs 'Telling' Dalam Karya Islami

“Show! Don't tell!” kata Robert McKee, penulis skrip dan mentor kepada para penulis skrip Hollywood, juga pengasas dan pengendali Story Seminar. Pendekatan ‘menggambarkan’, bukan ‘memberitahu’ ini selalu ditekankan dalam kursus-kursus penulisan fiksyen, khususnya penulisan skrip drama dan filem. Juga dalam penulisan novel.

Pendekatan ‘showing’ ini termasuk seni dalam bercerita. Kemahiran ini harus dikuasai untuk menyampaikan Islam melalui cerita. Dengan pendekatan ‘showing’, cerita lebih hidup dan berkesan. Pendekatan ‘showing’ jugalah yang menjadikan novel tebal-tebal, manakala drama dan filem menjadi panjang durasinya. Penulis bukan memberitahu, tetapi memberi gambaran. Penulis tidak memberitahu tentang sifat pemaaf satu-satu watak, tetapi menggambarkannya melalui dialog dan aksi. Penulis tidak memberitahu tentang perubahan satu-satu watak, tetapi menggambarkannya hingga pembaca atau penonton nampak perubahan itu.

Contoh ‘telling’:
Murni tidak pandai dan tidak berminat memasak.

Contoh ‘showing’:
“Murni tak suka datang ke dapur ini. Busuk katanya,” cerita nenek tanpa diminta.
“Kalau begitu, bagaimana dia hendak memasak?” aku ingin tahu.
“Budak seorang itu tak pernah memasak. Hai, tak tahulah nenek macam mana kalau dia tinggal di tempat lain nanti. Selama ini pun, kakaknya yang tolong nenek,” cerita orang tua itu yang membahasakan dirinya ‘nenek’ denganku.


Contoh ‘telling’ lagi:
Aku harus tegas menyatakan pendirianku supaya dia faham soal dosa pahala dalam pergaulan. Dia pula cuba memujukku untuk menunjukkan bahawa dia faham soal perlunya kami berjumpa dengan ditemani oleh mahram.

Contoh ‘showing’:
Aku menyambung bicara, “Saya tahu awak baik, saya tahu niat awak ikhlas bantu saya, tetapi saya takut keadaan ini akan buat kita hanyut dalam maksiat dan dosa tanpa disedari.”
“Tetapi, cuba awak fikir, hari itu bukan saya sengaja ajak awak makan dan hantar awak pulang. Hari itu kaki awak sakit. Sekarang ini, pertama kalinya saya ajak awak dan kita ditemani oleh adik saya. Bukan kita berdua. Lagipun adik saya ingin sangat jumpa awak. Tidak salah bukan awak menyambung ukhuwah dengan adik saya? Dia tidak ada kakak. Dia teruja sangat apabila saya kata mahu kenalkan dengan awak,” Irfan menjelaskan. Pandai pula dia menyusun ayat.

Lagi contoh ‘telling’:
Irfan berdiri di hadapanku dengan wajah dan penampilan yang cukup berbeza. Dia benar-benar kelihatan lain daripada biasa.

Contoh ‘showing”:
Aku mengamati-amati Irfan yang berdiri di hadapanku. Aku hampir saja tidak mengenalinya. Dia memakai kopiah putih seperti yang dipakai kumpulan nasyid Raihan, berserta baju Melayu teluk belanga berwarna coklat. Aku tidak pernah melihat Irfan berpakaian seperti itu. Selalunya dia memakai kemeja T berlengan pendek dan berseluar jeans. Jika dia tidak memanggilku, pastilah aku tidak dapat mengecam bahawa lelaki itu ialah Irfan Ikmal.

Dalam menulis karya Islami, pendekatan yang sama juga wajar digunakan terutama untuk mengelakkan unsur ‘preaching’ atau berkhutbah. Dalam drama atau filem, ruang untuk ‘showing’ lebih luas. Namun, dalam luasnya ruang, masih ada batas, seperti luasnya lautan yang dibatasi oleh pantai dan daratan, lalu menghasilkan keseimbangan dan keindahan. Cabaran bagi karyawan Islami adalah menggunakan daya kreatif untuk mencipta cerita dan menggambarkannya dalam ruang yang luas tetapi masih ada batas itu.

Ini yang membezakan penulisan novel dan skrip drama atau filem. Ada ‘showing’ dalam novel yang tidak boleh sewenangnya digambarkan dalam drama dan filem. Kemesraan suami isteri di bilik tidur mudah digambarkan dalam novel, tetapi tidak boleh sewenangnya digambarkan secara visual dalam drama dan filem. Cabaran bagi karyawan Islam adalah menggambarkan kemesraan itu melalui babak lain yang signifikan tetapi ‘shariah compliant’.

Hal ini antara perkara yang harus diambil kira apabila mengadaptasi novel ke drama atau filem. Tidak semua ‘showing’ dalam novel sesuai untuk digambarkan dalam medum visual. Mungkin ada ‘showing’ yang sesuai dipindahkan saja kepada ‘telling’ apabila divisualkan.

Di tangan karyawan Islam, medium visual harus ditangani dengan lebih kreatif supaya benar-benar berkesan untuk mengajak khalayak kepada Islam, kepada Allah dan Rasul, dan membuat perubahan yang selari dengan Islam. Isi dan bentuk (content and substance) harus diseimbangkan, supaya apa yang hendak disampaikan tidak bercanggah dengan cara menyampaikannya.

Sikap berhati-hati dan selektif perlu ada, supaya natijahnya baik dan diredhai.


Monday, November 9, 2009

BENGKEL PENULISAN NOVEL REMAJA ISLAMI

Butiran bengkel:
Tarikh: 26 Disember 2009 (Sabtu)
Masa: 9 pagi hingga 4 petang
Tempat: Galeri Ilmu Sdn Bhd (Bilik Mesyuarat, Tingkat 1)
Penyertaan: Terbuka (penulis dan calon penulis)
Bayaran: RM10
Daftar melalui sms/hubungi: 013-7656245 (Nasri)

Lima sesi bengkel:
1. Cabaran Melahirkan Novel Remaja Islami
2. Langkah Demi Langkah
3. Sepuluh Halangan Dalam Menulis (dan bagaimana mengatasinya)
4. Proses Berkarya: Pengalaman Penulis Novel
5. Menerapkan Nilai Islam Dalam Karya


TULIS TEKS SETERUSNYA DI SINI

Friday, November 6, 2009

Dorongan Niat Dalam Menulis

Apabila hendak menulis, penting bagi penulis agar memulakan proses berkarya dengan niat yang murni. Atau, memperelokkan niat sebelum mula menulis. Biarlah niat mengarang itu dikaitkan dengan tujuan mendapat keredhaan Allah atau menjadikannya sebagai ibadah di sisi Allah. Niatnya kerana Allah.

Ini perkara asas. Setiap sesuatu itu dinilai oleh Allah atas niat. Natijahnya juga bergantung pada niat. Kita akan mendapat apa yang kita niatkan. Apabila yang diniatkan adalah keredhaan Allah, kita akan mendapatnya. Apabila yang diniatkan semata-mata ganjaran dunia, kita juga akan mendapatnya, dengan izin Allah.

Niat dan cara kita melaksanakan apa yang diniatkan itu sama penting. Hanya apabila penulis memurnikan niat, kemudian melahirkan karya yang sesuai dengan apa yang diniatkan, barulah karya yang dihasilkan akan benar-benar menjadi aset atau harta yang kekal. Misalnya, meniatkan kerja menulis untuk mencari keredhaan Allah, kemudian menulis perkara makruf yang memberi manfaat kepada umat, mengajak umat kepada membesarkan Allah dan syariat-Nya, serta menampakkan indahnya agama Allah dalam karya.

Selagi karya itu terus memberi manfaat kepada pembaca (menambah ilmu, merangsang untuk buat baik, menyubur rasa kasih kepada Allah dan sebagainya), ia akan mengalirkan pahala untuk penulisnya walaupun selepas dia meninggal dunia. Manakala apabila bukunya diterbitkan oleh penerbit yang berorientasikan perniagaan, dia juga akan mendapat ganjaran dalam bentuk honorarium atau royalti. Royalti pula boleh diwariskan apabila penulis sudah meninggal dunia. Oleh itu, duit royalti akan terus diperolehi selagi karya itu terus dijual walaupun penulisnya sudah tidak ada.

Tidak salah bagi penulis mengharapkan ganjaran daripada usahanya menulis. Penerbit sendiri sebagai organisasi perniagaan, mengharapkan keuntungan daripada buku-buku yang diterbitkan. Maka wajarlah keuntungan itu dikongsi dengan penulis.

Bagaimanapun, apabila seseorang itu menulis semata-mata kerana wang atau nama, tanpa berusaha menjadikan karyanya itu sebagai saluran mendidik dan merawat umat, atau saluran berkongsi perkara-perkara makruf yang diredhai, dia hanya akan memperolehi apa yang diniatkannya itu. Tidak ada apa-apa lagi yang dia dapat melainkan ganjaran wang atau sekadar dikenali ramai sebagai penulis.

Menulis dengan mendapat ganjaran wang sudah menjadi entiti perniagaan pada hari ini. Namun, menulis untuk wang bukan sunnah para ulama silam, sebagaimana juga mengajar dan berceramah untuk wang bukan sunnah ulama-ulama ul-amilin.

Ulama dulu mengarang kitab untuk menyampaikan ilmu, memandaikan dan mendidik umat. Mereka menulis dengan jiwa yang benar-benar merdeka kerana tidak ada langsung niat untuk mendapatkan ganjaran wang. Yang diharapkan hanya ganjaran daripada Allah. Apabila mereka meninggal dunia, kitab-kitab mereka menjadi legasi yang ditinggalkan untuk generasi kemudian. Selepas puluhan dan ratusan tahun, kitab-kitab mereka terus dijadikan rujukan. Banyak penerbit menerbitkan semula karya-karya itu. Maka legasi para ulama itu terus bersambung dan pahala jariah untuk mereka terus mengalir, insya-Allah. Penerbit juga akan mendapat saham menyebarkan ilmu yang bermanfaat apabila diniatkan untuk keredhaan Allah.

Pada hari ini, keadaannya berbeza. Kebanyakan penerbit adalah organisasi perniagaan yang berorientasikan untung walaupun mempunyai misi memenuhi tuntutan fardu kifayah. Tidak wajar bagi penerbit untuk menerbitkan manuskrip tanpa membayar apa-apa kepada penulisnya, kerana daripada manuskrip itulah penerbit mendapat untung. Atas dasar itu, penerbit menjanjikan wang kepada penulis.

Dalam keadaan ini, sukar bagi penulis untuk benar-benar merdeka jiwanya apabila menulis. Memurnikan dan memelihara niat dalam menulis menjadi satu cabaran bagi penulis.

Dalam keadaan kita dijanjikan wang atas perkara makruf yang kita buat, wajarlah kita berusaha memurniakan niat dalam melakukannya. Dalam keadaan penulis dijanjikan honorarium atau royalti bagi menghasilkan manuskrip bukunya, wajarlah penulis berusaha memurnikan niat dalam menulis. Supaya bukan semata-mata wang yang dia dapat, tetapi perkara yang lebih murni yang diniatkannya itu.

Memang bukan mudah.

Wednesday, November 4, 2009

Mencipta Watak Yang Hidup

Saya belum berpengalaman menulis novel tetapi saya mempunyai sedikit pengalaman mencipta watak untuk karya fiksyen iaitu untuk cerpen dan skrip sitcom. Dalam fiksyen, watak yang dicipta mestilah ‘hidup’. Walaupun hanya watak rekaan, ia mesti diberi ‘nyawa’ supaya kewujudannya meyakinkan pembaca (atau penonton). Hal ini antara perkara yang saya tekankan sewaktu mengendalikan Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami baru-baru ini.

Mencipta watak rekaan yang ‘hidup’ tidaklah begitu susah sebenarnya. Formulanya mudah saja–ambil watak sebenar dalam dunia realiti dan tukar kepada watak fiksyen dengan sedikit ubah suai pada karektor dan latar belakangnya. Maknanya, tidak perlu sangat mereka-reka watak. Ramai penulis novel yang menggunakan formula mudah ini. Malah, novelis Ummu Hani Abu Hassan menggunakan nama sebenar untuk watak-watak dalam beberapa buah novelnya. Begitu juga Hilal Asyraf untuk novelnya VT.

VT mengambil watak 12 pemain bola tampar MATRI yang sebenar, lalu dipindahkan kepada watak-watak fiksyen. Sifat-sifat fizikal watak itu sama seperti watak sebenar tetapi latar belakang dan masalah watak diubah.

Salah satu unsur yang dapat memberi ‘nyawa’ kepada watak adalah dengan memberi kelainan tersendiri kepada satu-satu watak. Satu watak tidak sama stailnya dengan watak lain. Hilal Asyraf berkata penulis perlu meletakkan kelainan tersendiri dalam setiap watak kerana dalam kehidupan sebenar, tidak mudah untuk menemui dua manusia yang sama stailnya. Dengan menjadikan setiap watak ada kelainan, watak-watak akan nampak dinamik.

Satu cara untuk memasukkan watak yang ‘hidup’ ke dalam karya adalah dengan mendokumentasikan watak-watak yang dicipta supaya mudah dirujuk dan supaya penulis tidak terkeliru atau terlupa dengan sifat atau latar belakang watak-watak ciptaannya. Faisal Tehrani menyarankan agar penulis menyediakan buku nota watak sebagai bahan rujukan. Hilal Asyraf menyediakan ‘kertas watak’ – dicatatkan setiap watak untuk novelnya pada helaian kertas yang berbeza. Abu Hassan Morad menyediakan kertas vanila dan menampalkan pada kertas vanila itu guntingan foto watak-watak realiti yang mewakili watak-watak dalam novelnya. Kertas vanila itu dilekatkan di dinding bilik kerjanya.

Amat penting bagi novelis untuk mencipta watak yang ‘hidup’ kerana watak begini akan menghidupkan cerita. “Wataklah yang menggerakkan cerita dan sebab akibat (casualties). Sebaik-baik watak sudah dicipta, sebaik itulah cerita dicipta,” kata Faisal Tehrani dalam satu bengkelnya yang saya hadiri.

Maklum Balas Kepada Sinopsis Novel

Ini contoh e-mel saya kepada seorang calon novelis yang menghantar sinopsis novelnya untuk dinilai. Calon novelis ini adalah peserta Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami yang diadakan Sabtu lepas. Selepas berkongsi penilaian dengan rakan editor Puan Suraiya Pauzi, saya memberi maklum balas berikut:

1. Secara keseluruhan, jalan cerita novel ini ada kelainan dan mampu menarik pembaca remaja jika dapat ditangani dengan baik di peringkat menulisnya nanti, insya-Allah. "Persembahan yang baik akan menghidupkan jalan cerita AMPLMB," komen Puan Suraiya.

2. Watak-watak dan konflik sudah konkrit, tinggal lagi penulis perlu kreatif untuk menghidupkan watak-watak ini. Mesti kenal betul dengan watak-watak, terutama watak utama Siti Nur Farah. Beri 'trademark' pada watak ini, juga watak-watak lain, seperti cara bercakap, warna pakaian kegemaran dsb.

3. Latar tempat dan masa biar jelas. Bahasa biar ringkas. Jaga nahu dan ejaan. Banyakkan dialog. Latar masa sewaktu Siti Nur Farah di sekolah rendah cukup sekadar memakan satu bab. Jika dirasakan sesuai, boleh gunakan teknik imbas kembali (flashback). Boleh mulakan cerita dengan Siti Nur Farah sibuk buat persiapan untuk pergi ke asrama, kemudian imbas kembali babak-babak di sekolah rendah. Lebihkan latar masa sewaktu dia di tingkatan 4 dan 5, supaya pelajar tahap SPM pun akan minat baca.

4. Sinopsis ini dikira lulus. Selepas ini, tulis dua bab contoh (mana-mana bab) dan e-melkan kepada saya. Purata panjang setiap bab adalah:
- 8 setengah halaman, bagi manuskrip setebal 180 halaman (double spacing).
- 12 halaman, bagi manuskrip setebal 260 halaman (double spacing).

5. Boleh dimasukkan sendal-sendal ringkas yang terdiri daripada petua/panduan/tip berguna untuk pembaca secara berasingan dari teks cerita, mungkin di akhir atau awal bab.

Misalnya dalam bab tiga boleh dibuatkan ‘check list’ barang-barang yang perlu dibawa ke asrama. Atau boleh juga senarai perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum ke asrama.

Bab lima boleh diselitkan panduan mandi wajib! Atau cara-cara menjaga kebersihan diri sewaktu haid. Atau solat yang perlu diqadha apabila haid.

Bab enam pula boleh dimasukkan cara-cara penampilan diri (petua menghilang jerawat mungkin!?)

Bab 16, boleh dimasukkan tip adab persahabatan.

Ini sekadar contoh. Banyak lagi yang boleh diselitkan secara ringkas.

6. Kami menunggu dua bab contoh novel ini. Boleh TS sediakan dalam waktu terdekat?

Monday, November 2, 2009

Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami

Saya gembira dapat bekerjasama dengan novelis Ummu Hani Abu Hassan dalam berkongsi input-input tentang penulisan novel. Kami berkongsi input-input itu dengan 12 peserta Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami di GISB, Astana Karya kelmarin (Sabtu, 31 Oktober 2009) dari 10 pagi hingga 4 petang.

Saya rasa berbaloi bersengkang mata hingga ke tengah malam di pejabat untuk menyediakan modul bengkel. Ummu Hani hanya mengisi sesi selama sejam tetapi perkongsian beliau amat selari dengan input yang saya kongsi sebelum itu dengan para peserta.

Antara lain, saya membentangkan persediaan serta langkah demi langkah yang perlu dilalui oleh novelis dalam proses berkarya - sebelum, semasa dan selepas menulis. Saya cuba membetulkan tanggapan kebanyakan penulis baru yang menganggap hanya proses 'semasa menulis' itu saja yang penting. Proses 'sebelum' dan 'selepas' tidak dianggap penting dan perlu.

Saya membentangkan hasil kajian saya, manakala Ummu Hani membenarkannya.

Saya juga berkongsi sepuluh halangan yang lazim dihadapi oleh penulis dalam menulis. Sebahagian halangan itu pernah saya hadapi sendiri, manakala selebihnya adalah pengalaman penulis lain termasuk penulis-penulis di bawah bimbingan saya.

Sudah tentu, saya juga menyarankan preskripsi 'ubat' kepada setiap satu daripada halangan-halangan itu - 'ubat' untuk malas, untuk kurang keyakinan, untuk buntu, untuk hilang momentum menulis dan untuk halangan-halangan yang lain.

Peserta-peserta bengkel kali ini terdiri daripada pensyarah IPT, guru, perunding kewangan, pelajar dan surirumah. Seperti biasa, peserta wanita lebih ramai. Dan seperti biasa, impak sebenar bengkel adalah pada sinopsis dan manuskrip yang bakal saya terima daripada para peserta, insya-Allah.