BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, May 10, 2010

Perjalanan Seorang Editor

Editor atau penyunting mesti cuba menguasai ilmu penulisan sedalam yang mungkin. Apabila dia hendak menangani manuskrip novel misalnya, dia mesti telah menguasai asas-asas ilmu penulisan novel. Saya semakin merasai pentingnya perkara ini selepas menghadiri bengkel penulisan novel yang dikendalikan oleh Puan Maria Kajiwa semalam (Ahad).

Ya, pada hari Sabtu saya mengendalikan bengkel asas penulisan novel Islami di Galeri Ilmu. Hari itu saya menjadi pembimbing. Keesokannya, setelah dipelawa oleh seorang rakan penulis, Tuan Zayu Hisham (Cikgu Wan) yang juga merupakan penulis bimbingan saya, saya meletakkan diri saya sebagai pelajar dan menghadiri bengkel penulisan novel Puan Maria.

Setakat ini, dalam tempoh dua tahun, saya sudah menghadiri beberapa bengkel penulisan fiksyen yang dikendalikan oleh nama-nama besar dalam penulisan cerpen dan novel tanah air. Saya berbengkel bersama Bonda Zaharah Nawawi, Dr. Mawar Shafie, Tuan Faisal Tehrani, Puan Nisah Haron dan yang terakhir bersama Puan Maria Kajiwa.

Saya juga mengikuti bengkel Teknik Surah Yusuf, bengkel adaptasi dan bengkel penulisan fiksyen sejarah dengan Puan Ainon Mohd, sifu PTS yang merupakan mentor penulis yang sangat saya kagumi. Malah saya juga mengikuti bengkel penulisan skrip drama selama empat hari yang dikendalikan oleh rakan penulis, Tuan Zabidi Mohamed.

Dalam setiap bengkel itu saya mendapat pencerahan demi pencerahan. Saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada perjalanan (journey) saya sebagai seorang editor dan penulis. Laluan yang Allah lorongkan untuk saya bagi menambah ilmu penulisan.

Sebagai editor yang diamanahkan memantau tugas-tugas kepengarangan dan pembinaan judul buku terutama novel, saya juga mengambil tanggungjawab membimbing calon-calon penulis. Pengalaman selama 20 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan banyak membantu, tetapi masih banyak yang saya perlu tahu. Dunia penulisan kaya dengan pelbagai corak penulisan, juga kaya dengan genre dan subgenre.

Untuk menerajui misi melahirkan novel-novel Islami yang bermutu, saya perlu tahu asas-asas ilmu penulisan novel. Saya perlu menguasai teori-teori penulisan novel daripada penulis-penulis berpengalaman. Dari situ saya akan lebih bersedia untuk menilai manuskrip-manuskrip novel yang sampai ke meja saya. Saya masih belajar dan akan terus belajar. Setakat apa yang saya sudah tahu dan faham, itulah yang saya sampaikan dalam bengkel-bengkel saya. Itulah yang saya kongsi dengan calon-calon penulis novel Islami yang saya bimbing. Itulah bahan modul bengkel saya.

Dalam masa yang sama, saya perlu mengambah kefahaman, pengamalan dan penghayatan Islam saya. Saya juga perlu menambah kefahaman dalam soal-soal dakwah dan tarbiah supaya saya lebih bersedia untuk membezakan karya-karya yang 'dos' nilai Islamnya tinggi atau rendah, atau karya yang tidak ada sama sekali nilai Islam di dalamnya. Juga dalam membezakan karya yang pendekatan dakwahnya berhikmah dan yang kurang berhikmah.

Salah satu perkara yang saya pelajari daripada Puan Ainon Mohd adalah pendekatan proaktif dalam mendapatkan manuskrip-manuskrip yang baik. Caranya adalah dengan mengadakan bengkel-bengkel penulisan. Itulah yang dibuat oleh Puan Ainon sendiri di PTS.

Memang bukan semua editor perlu membimbing penulis melalui bengkel. Tetapi setiap editor perlu sekurang-kurangnya memahami teori penulisan yang paling asas, supaya dia lebih berkeyakinan untuk menangani sesebuah tulisan atau manuskrip.

Tanpa ilmu penulisan ini, editor tidak akan mampu berperanan sebagai 'gatekeeper' untuk menyaring karya-karya yang masuk. Maka tidak ada jaminan bahawa hanya karya-karya yang berkualiti saja yang diterbitkan. Perkara ini tentu menyedihkan dan ia akan jadi lebih menyedihkan apabila berlaku pada karya Islami, kerana apa saja yang dikaitkan dengan Islam biarlah sinonim dengan kualiti. Salah satu hikmah dalam berdakwah adalah menyampaikan dakwah melalui pendekatan yang disenangi oleh khalayak. Karya berkualiti disenangi oleh pembaca.

No comments: