BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, May 4, 2010

Perkara-perkara Yang Menguatkan Olahan Cerita

Beberapa manuskrip novel Islami yang bagus sampai ke meja saya dari semasa ke semasa. Kebanyakannya karya penulis baru. Beberapa orang daripada mereka pernah menghadiri bengkel dan kursus penulisan, termasuk bengkel saya. Seorang dua adalah mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP. Manakala sebahagian lagi belum pernah mengikuti mana-mana bengkel penulisan.

Ada manuskrip yang betul-betul bagus kerana penulisnya telah menguasai kemahiran menulis dan kemahiran bercerita dengan baik, ditambah dengan kefahaman Islam yang baik yang berjaya diterapkan dalam karya masing-masing. Pada karya mereka, saya dan rakan editor menemui kekuatan-kekuatan yang seharusnya dimiliki oleh sesebuah novel Islami. Saya kongsikan di sini supaya dapat mengimbangi pendedahan tentang kesilapan-kesilapan lazim dalam olahan cerita yang saya post sebelum ini.

Di antara kekuatan-kekuatan itu adalah:

1. Mesej Islam yang jelas dan mengesankan. Perkara ini memberi mata yang tinggi kepada nilai isi (content value) karya itu. Ia menjadi karya yang bukan saja sedap dibaca tetapi juga berbaloi dibaca.

2. Maklumat berharga. Suntikan maklumat diletakkan kena pada tempatnya. Ini juga menjadikan karya itu terasa berbaloi dibaca. Ada nilai tarbiah dan ada maklumat berguna. Di sini kelebihan bagi penulis yang mempunyai ilmu bantu.

3. Mempunyai watak tarbawi. Ada watak-watak yang boleh dijadikan ikutan. Watak contoh yang membawa Islam pada dirinya.

4. Dialognya berisi. Inspiring. Di samping ada cerita, ada sesuatu yang cuba disampaikan melalui dialog.

5. Bab pertama memikat dan mengikat pembaca. Sudah ada 'clue' cerita atau bayangan konflik. Dengan kata lain, bab pertama cepat masuk kepada cerita, tidak meleret-leret.

6. Ada kelainan. Sama ada kelainan jalan cerita, atau keunikan watak atau latar tempat.

7. Watak-wataknya 'hidup' atau mengesankan. Pembaca dapat merasakan watak itu benar-benar wujud, cerminan daripada watak realiti yang dipindahkan dengan begitu baik kepada watak fiksyen.

8. Novel itu mengikat pembaca dari bab ke bab, malah dari halaman ke halaman (page turner). Kekuatan ini datang daripada elemen 'cliff hanger' di hujung bab, elemen 'hook' di awal bab, elemen tidak dijangka (unpredictable) dan konflik yang sambung-menyambung - graf konflik sentiasa menaik hinggalah mencapai klimaks sebelum akhir cerita.

9. Gaya olahannya padat, tidak meleret-leret. Penulis tidak memasukkan apa-apa yang tidak relevan dengan pergerakan cerita. Misalnya, dialog-dialognya relevan dengan cerita.

10. Disokong oleh subplot. Ada cerita dalam cerita. Subplot dan main plot akhirnya bertemu di hujung cerita.

11. Bahasa yang komunikatif. Ayat-ayatnya adalah ayat-ayat cerita, bukan ayat-ayat artikel. Penulis pandai memilih diksi dan membina ayat yang sesuai untuk menyampaikan cerita dengan jelas dan berkesan.

12. Ada klimaks cerita. Akhiran cerita memuaskan hati pembaca.

Semua kekuatan ini menjadikan sesebuah karya Islami itu berbaloi dibaca, sedap dibaca, puas dibaca dan mengesankan suntikan tarbiahnya.


4 comments:

A. Muziru Idham said...

Salam tuan. Selain Siti Munirah A. Rashid, siapa lagi ya mantan MPR yang menghantar karyanya ke Galeri Ilmu?

jamilah said...

Assalamualaikum, ustaz..

Mohon kongsikan pengisian ustaz di blog saya, boleh? Sangat berguna..

Zakaria said...

Waalaikumussalam.

Sdr A.Muziru Idham:
Selain Siti Munirah A.Rashid, dua orang mantan MPR yang telah menerbitkan novel mereka bersama Galeri Ilmu ialah Ummu Hani Abu Hassan dan Sayidah Mu'izzah Kamarul Syukri.

Sdr Jamilah:
Silakan, moga ada manfaat yang berterusan.

A. Muziru Idham said...

Oh, terima kasih ya atas makluman. Saja bertanya. Mana tahu ada batch MPR 09 yang lain turut menyumbang karya ke Galeri Ilmu. Walauapapun, terima kasih atas makluman tersebut.^_^