BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, March 10, 2009

Hajah Rohani dan Dunia Penulisan

Pada akhir tahun 2001, saya bertamu di pejabat Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir di Ampang untuk melamar beliau menulis di dalam Anis.

Hajah sangat senang hati dengan tawaran itu. Memang beliau suka untuk menyumbang kepakarannya dalam bidang kewangan Islam kepada seramai mungkin umat Islam.

Waktu itu Hajah belum biasa menulis. Oleh itu, di peringkat awal, saya menyediakan soalan-soalan untuk Hajah jawab. Jawapan-jawapan beliau itu saya olah menjadi artikel. Tulisan pertama beliau muncul dalam majalah Anis keluaran Januari 2002 dengan tajuk Berbelanja Lepas Raya. Antara lain beliau menulis:

“Surirumah yang sepenuh masa di rumah boleh membantu meringankan tanggungjawab suami menyara keluarga dengan menambah wang masuk. Ini bergantung pada kreativiti, minat dan kepandaian yang dimiliki.”

Selepas artikel pertama itu, Hajah sudah menemui sentuhannya dalam menulis. Saya hanya perlu memberikan beliau cadangan-cadangan topik setiap bulan. Beliau akan menyiapkan artikel untuk ruangan Tip RM dalam majalah Anis itu mengikut jadual. Dan selepas beberapa lama, pena beliau semakin tajam. Beliau sudah boleh menulis secara bebas mengenai pelbagai isu kewangan keluarga yang sesuai untuk pembaca Anis.

Kini sudah tujuh tahun Hajah Rohani bersama majalah Anis. Ruangannya terus diminati. Bukan saja kerana Hajah memang pakar dalam bidang perancangan kewangan keluarga berlandaskan Islam, tetapi juga kerana beliau menulis dengan gaya bahasa yang santai dan begitu bersahaja. Gaya tulisannya ‘mesra pembaca’. Kakak-kakak dan mak cik-mak cik mudah faham. Saranan-saranannya praktikal. Konsep-konsep kewangan yang sukar pun beliau mampu jelaskan dalam bahasa yang senang difahami.

Hajah Rohani muncul dengan buku pertamanya Cukup Wang Hati Tenang pada 2005. Kini beliau tampil dengan buku keduanya, Ke Mana Wang Anda? terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Buku kali ini lebih khusus membicarakan pengurusan kewangan keluarga, termasuk tip-tip menambah pendapatan dan melabur untuk masa depan keluarga. Buku ini memang sesuai sangat untuk para pembaca Anis yang sebahagian besarnya adalah surirumah.

Hajah Rohani adalah contoh penulis yang menulis dalam bidang yang beliau benar-benar minati dan kuasai. Beliau menulis tentang sesuatu yang dekat dengan dunianya sendiri. Beliau adalah juga contoh penulis yang mampu merendahkan tahap bahasa dalam tulisannya untuk memudahkan pembaca faham apa yang beliau sampaikan. Ini menjadikan tulisannya berkesan.

Hajah Rohani dan dunia kewangan Islam bukanlah asing. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perakaunan) dari Universiti Sydney, Australia ini mempunyai pengetahuan luas dalam pengurusan kewangan Islam. Beliau banyak membentangkan kertas kerja seminar, forum dan persidangan di dalam dan luar negara. Beliau juga banyak mengendalikan bengkel dan program latihan kewangan serta menjadi panel dalam program bual bicara di radio dan televisyen. Pernah juga beliau berbicara tentang kewangan Islam dalam wawancara di Radio BBC London.

Sekarang beliau ialah Pengerusi Eksekutif dan Ketua Perunding di Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., firma pengurusan kewangan Islam yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

No comments: