BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, March 12, 2009

VT dan Ayat-ayat Cinta


Hilal Asyraf. Satu nama baru dalam dunia penulisan tanah air. Namun, nama ini bukan asing di kalangan komuniti alam siber. Hilal Asyraf (foto) adalah pemilik laman web LangitIlahi.Com, wadah baru yang menggantikan blog langitillahi.blogspot.com yang sudah menerima lebih 60,000 hit. Sekarang beliau menuntut di Tahun Pertama dalam bidang Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jodan.

Saya kenal Hilal melalui alam siber sejak Oktober 2008. Kebetulan kami sama-sama orang Johor. Kebelakangan ini kami kerap berbalas e-mel kerana Galeri Ilmu Sdn. Bhd. bakal menerbitkan buku dan novel beliau – buku motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita dan novel VT.

Novel VT adalah novel paling tebal yang saya terima setakat ini untuk kami terbitkan. Melihat pada kekuatan garapan dan nilai Islami pada novel ini, saya membawa usul supaya novel ini diangkat menjadi ‘lead product’ GISB untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. GISB menempah empat gerai untuk pesta buku tersebut.

Saya memberi penghormatan kepada bekas pensyarah saya, Dr. Amida Abdulhamid untuk menyemak manuskrip novel ini. Dr. Amida yang saya panggil Kak Anis, memberi ulasan awal selepas menyemak separuh bahagian VT dengan berkata, “Subjek luar biasa dan sentuhan Islami yang berkesan.”

Kak Anis juga berbisik kepada saya bahawa novel ini boleh bersaing dengan Ayat-ayat Cinta! Katanya, sentuhan Islami novel ini “tidak hanya di permukaan tetapi mendalam”. Ini ditambah dengan gaya penceritaan Hilal yang bijak. Walaupun tanpa watak perempuan, seperti kebanyakan novel remaja lain, Kak Anis seronok membacanya “sampai tak tidur malam”.

Untuk mengenali Hilal Asyraf lebih dekat sebagai penulis novel Islami, saya telah menemubual beliau melalui e-mel pada hari ini. Saya kongsikan temubual itu di sini:


ZAKARIA: Bila dan apa yang mendorong saudara mula menulis terutama fiksyen?

HILAL ASYRAF: Saya mula terdorong untuk menulis semenjak tingkatan empat. Ketika itu, senior saya bernama Ali Irfan mula rajin menulis makalah untuk santapan rohani kami di sekolah. Semangat saya tambah membara untuk menjadi penulis, apabila saya membaca karya-karya Faisal Tehrani. Saya minat rekaan ceritanya yang sebenarnya adalah fantasi, tetapi nampak macam realiti. Akhirnya, dengan hajat hendak menyampaikan ISLAM dalam perimeter yang lebih luas, saya terjun ke medan penulisan ini.

Bagaimana saudara menajamkan pena untuk menulis? Pernah ikut mana-mana bengkel atau kursus penulisan? Atau ada dapat bimbingan dari sesiapa tentang teknik, prinsip dan kaedah menulis?

Saya sebenarnya masih merasakan penulisan saya ini tumpul. Tetapi dari segi menambah pengalaman, saya akui saya membaca karya-karya orang lain untuk itu. Saya membaca beberapa buku Faisal Tehrani, juga membaca novel karangan Hlovate dan Ramlee Awang Murshid. Bengkel atau kursus? Saya berhajat, tetapi saya tidak pernah mendapat peluang mengikutinya.

Berkenaan bimbingan, saya pernah bertemu dua mata dengan Puan Hajah Maskiah Masrom, penulis Johor. Dia banyak mengajar saya bagaimana hendak menjadi seorang novelis yang realistik dan baik ketika perjumpaan itu. Saya juga menyertai GKLN (Grup Karyawan Luar Negara) untuk menambah ilmu. Tetapi sebenarnya, yang banyak membimbing ini tidak lain dan tidak bukan adalah ajaran-ajaran guru bahasa Msaya di MATRI, yakni Datin Halimaton binti Hussein, atau mesra dengan gelaran Ummi.

Apa idealisme yang saudara bawa dalam penulisan saudara dan apa misi saudara melalui VT?

Idealisme? Saya berusaha membawa ISLAM kepada masyarakat, dengan menyatakan bahawa sistem hidup ini masih relevan dalam kehidupan insan. Saya hendak manusia merasakan bahawa, sistem ISLAM inilah yang relevan dalam apa jua hal. Misi saya melalui VT adalah, saya inginkan pembaca melihat bahawa ISLAM itu indah jika diamalkan, dan yang mengamalkannya sentiasa bahagia walau berhadapan kesusahan. Pokoknya, saya hendakkan pembaca saya, dan juga diri saya sendiri, tersentuh dengan ISLAM.

Novel VT menjadi harapan saya untuk mengangkat sukan sebagai ibadah, dan mengajak manusia untuk melihat sukan sebagai salah satu wasilah dakwah dan tarbiah. Novel ini juga akan mengajak manusia untuk tawazun, dan mempelajari mengutamakan apa yang utama. Novel ini juga menyelami perasaan pelajar-pelajar yang bermasalah di sekolah.

Untuk menulis VT dan novel lain, selalunya bagaimana persediaan atau penyelidikan yang saudara buat?

Biasanya, apabila saya mempunyai idea untuk membuat satu cerita, maka saya akan membaca terlebih dahulu bahan-bahan yang berkenaan cerita yang hendak saya bawa itu di internet. Saya akan cari bahan-bahan yang berkaitan dan menyalinnya (copy and paste) di dalam komputer saya untuk rujukan. Oleh kerana di Jordan ini tiada bahan rujukan Melayu, maka internet menjadi tempat saya mencari ilmu. Untuk pengisian diniah, selain berbekalkan ilmu yang dituntut di MATRI dahulu, saya sentiasa memberi perhatian kepada setiap ajaran pensyarah-pensyarah di Yarmouk, dan jika ada isi yang boleh membantu jalan cerita novel saya, maka saya akan catat dan memasukkannya ke dalam cerita.

Berapa lama ambil masa untuk siapkan VT dan buat 'self-editing'? Adakah perlu beruzlah untuk siapkan novel ini?

VT saya mulakan di penghujung bulan Disember 2008 dan siap pada hujung bulan Januari. Kemudian saya hantarkan kepada syarikat GISB (Galeri Ilmu Sdn. Bhd.) dan menunggu komen dari Encik Zakaria. Selepas mendapat komen, saya meminta masa tiga hari untuk melihat semula, dan merubah apa yang patut. Beruzlah? Tidak juga. Saya bukan jenis boleh berfikir jika lama sangat duduk seorang diri. Saya tetap bercampur dengan sahabat-sahabat. Selalunya, saya atur jadual saya untuk menulis ini agar ada keseimbangan dalam kehidupan saya. Jadi, saya dapat menulis, dan hubungan saya dengan sahabat-sahabat juga tidak terganggu.

Watak-watak dalam VT adalah adaptasi watak sebenar. Boleh cerita sikit tentang perkara ini?

Em... Watak-watak VT memang diadaptasi dari watak-watak yang sebenar. Warden, jurulatih, pemain-pemain, senior-seniornya, pelajar-pelajarnya, guru-gurunya. Cuma watak pemain-pemain lawan bukanlah diadaptasi dari watak sebenar. Sebenarnya, pada tahun 2008, saya dan kumpulan bola tampar MATRI berjaya memenangi kejohanan MSSPs dengan mendapat emas. Itu adalah pertama kali dalam sejarah MATRI, pasukan bola tampar berjaya mendapat emas. Justeru, kehadiran watak-watak adaptasi ini adalah sebagai penghargaan dan kenangan atas segala kesukaran yang dilalui bersama.

Walaupun tanpa watak perempuan, VT mampu menarik minat pembaca perempuan. Malah Dr. Amida Abdulhamid mengatakan novel ini membawa "subjek luar biasa dan sentuhan Islami yang berkesan". Apa yang memungkinkan saudara dapat menggarap VT sedemikian?

Saya menggarap VT dari pengalaman, dan tarbiah yang saya lalui dari MATRI, serta kehidupan dalam fikrah Islami yang dididik oleh guru-guru saya di sana. Berkesan atau tidak berkesan, sebenarnya bukanlah di tangan saya yang menentukannya. Justeru, jika VT ini mendapat sambutan, hakikat sebenar bukanlah kerana bagaimana garapan saya. Faktor sebenarnya adalah kerana pembaca sudah jatuh hati kepada Islam itu sendiri sehingga mereka tidak kisah jika tiada adegan cinta dan jiwang di dalamnya.

Beberapa tahun akan datang, mungkin selepas berumah tangga, apakah saudara akan teroka subjek yang lebih 'dewasa' dalam novel-novel saudara?

Hajat saya, saya akan terus menulis walaupun sudah berumah tangga jika diizinkan Allah, dan saya amat berminat untuk meneroka subjek 'baitul Muslim' yang berkisar berkenaan hubungan suami isteri, dan tarbiah anak-anak dalam rangka pembetukan satu keluarga yang diredhai Allah. Saya fikir, masyarakat perlukan kisah-kisah yang tidak menunjukkan manusia-manusia sempurna, tetapi mewakili kehidupan manusia yang sebenar, yang realitas agar mereka boleh menjadikannya sebagai contoh untuk diterjemah dalam kehidupan insan.

Saya berikan penghargaan tertinggi saya kepada semua yang menyumbang, baik semangat, idea mahupun doa kepada saya, terutama rakan-rakan blogger, sahabat-sabahat, guru-guru, keluarga besar dan ibu bapa saya. Saya akan terus berusaha dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat. Semoga Allah menerima penulisan saya sebagai salah satu dari amal-amal soleh, dan menjadikannya sebagai saham akhirat saya.


14 comments:

sinar_islami said...

Alhamdulillah..

jauh sungguh junior ana ini melangkah..moga sinar buat smua..

moga terus dan terus sampaikan Islam agar deenul haq ini meresapi setiap sanubari insan hatta muslim @ non..

Dr Abdul kadir Audah once said that our journey is journey of the heart~

maka dari sini ana rasa penulis mampu menyentuh hati2 yang berhajat pada Islam, pada ketenangan dan kebenaran: Islam itu indah serba serbi..dalam sukan dalam persahabtan & ect..

teruskn..moga Allah berkati usaha semua

Amin Misran said...

pernah ana rasa ingin bersaing dengan sahabat ana dari kecil ini dalam bidang penulisan bahasa inggeris. tetapi hilal sudah jauh tinggalkan ana 5000 meter ke hadapan.. Tapi ana akan berusaha sampaikan ISLAM dalam penulisan bahsa inggeris...

Nasihat ana untuk hilal...Jaga hati jaga ISLAM....

umaq_eiman said...

syabas ana tak kagum anta tulis novel. tapi cara anta awb soalan sangat menyentuh hati.

Syukran.

hood@sunny said...

Islam itu syumul dan sesuai utk setiap lapisan umur dan masyarakat. Pendekatan penulisan mampu menyampaikan mesej ini, ana yakin.

Menulislah lagi dan lagi, jika dgnnya manusia mendapat petunjuk Allah.

Siti said...

Novel tebal ditulis hanya dalam masa sebulan. Sungguh mengagumkan! Tahniah buat saudara Hilal, dan semoga terus berdakwah melalui penulisan..

senior matri 08 said...

abang seniorku ini mmg seorang yang tekad....
itu yang ana kagum..bukan kerana karyanya,bukan kerana cara dia menjawab wawancara,
tetapi bila dia nak sesuatu tu,
dia tak putus asa untuk mendapatkannya....
semoga Allah bersama beliau....

ummu_ammar said...

Alhamdulillah..
tahniah hilal ashraf..
Moga seorang Hilal Ashraf mampu menjadi ikon novelis Islam yang
istiqamah menyebarkan Islam dalam masyarakat..
Teruskan berlari ke langit Illahi..

syah93 said...

Moga ALLAH sayang saudara Muhammad Hilal Asyraf

LittleCaliph said...

Semoga akhi Hilal Asyraf terus berada dalamm lindungan rahmat dan maghfirahNya.

BROHAMZAH said...

Tahniah dan syabas buat sahabatku HILAL ASYRAF.Teruskan langkah anta..

ibnzakaria said...

Mabruk alaika, Hilal..

Sahabat sejak tadika lagi.. Moga Allah terus bersama kamu demi memperjuangkan ISLAM dalam arena penulisan.

Barakallahufikum

Jamaluddin Yeop Majlis said...

Saya juga peminat tulisan Hilal sejak Disember 2008 melalui langitillahi.blogspot.com. Sudah pasti saya akan membeli buku yang akan dilancarkan di Pesta Buku KL nanti. Tahniah kepada anakandaku Hilal Ashraf. Teruskan menulis. Hilal layak dipanggil bintang bukan setakat bulan..

Zakaria said...

Terima kasih kepada yang memberi respons baik buat karya Hilal Asyraf - sinar islami, Amin Misran, umaq eiman, hood@sunny, siti, senior matri08, ummu ammar, shah93, LittleCaliph, Bro Hamzah, ibnu zakaria dan tidak terkecuali Sdr Yop. Terima kasih atas sokongan kepada wadah Islami GISB.

Bagi yang berkelapangan untuk ke booth no. 81 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 17-26 April ini, jumpa di sana nanti, insya-Allah.

Hilal Asyraf said...

Akhirnya,

baru ana berani menjejak ke sini.

Segan sangat2 sebenarnya.

Ana juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan komen di sini.

Sungguh, terasa amat kebersamaan dengan kalian.

Ana akan usaha kuat lagi, kuat lagi, kuat lagi, dan lebih kuat lagi.

~yang mengharapkan redhaNya...

Hilal Asyraf