BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, July 6, 2009

Kemahiran Menyampaikan Isi

Kemahiran menulis adalah kemahiran menyampaikan isi. Ada sesuatu yang penulis ingin sampaikan, luahkan atau kongsi dengan orang lain, lalu ditulisnya ‘sesuatu’ itu. Apabila sesebuah tulisan hanya berupa mainan kata-kata tanpa isi yang jelas, tulisan itu akan kehilangan isi.

Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Isi adalah ‘roh’ atau nyawa tulisan. Oleh itu, sangat penting bagi penulis untuk memikirkan isi sebelum memikirkan bentuk atau gaya tulisan. Apakah yang mahu disampaikan, diluahkan atau dikongsinya?

Apabila kita hendak menulis cerpen atau novel, apakah yang mahu kita sampaikan? Adakah sekadar cerita atau ada isi yang lebih bermakna?

Nilai isi akan menentukan kuat atau lemahnya nyawa tulisan. Apabila isinya bernilai tinggi, tulisan akan lebih bernyawa atau lebih bertenaga. Lebih besar impaknya kepada pembaca, insya-Allah.

Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

Oleh itu, apabila seseorang itu mahu serius menulis, dia mesti serius juga melengkapkan dirinya dengan ilmu dan hikmah. Apabila ilmu dan hikmah bercambah, bercambahlah juga bahan untuk dijadikan nyawa kepada tulisan. Menulis karya fiksyen juga memerlukan ilmu dan hikmah, supaya karya itu kaya dengan isi dan ada nyawa.

Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam cerpen atau novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan.

Perspektif penulis tentunya dipengaruhi oleh tahap pencapaian ilmu dan hikmahnya. Novel-novel atau cerpen Allahyarham Hamka terus ‘evergreen’ dan memberi impak yang besar kepada pembaca kerana karya-karya itu kaya dengan ilmu dan hikmah.

6 comments:

Acinetobaxter said...

salam ustaz...tepat sekali isi ustaz itu...saya juga ingin mengasah kemahiran untuk menyampaikan isi dengan tepat, jelas dan berhikmah...masih teringat2 kisah Poniem dan Leman dalam 'merantau ke Deli'

WZWY said...

perkongsian yang cukup mengesankan. terima kasih. dalam apa juga karya, isi memainkan peranan penting. apa mesej, panduan dan sebagainya.adakah isi ini memerlukan penulis tersebut banyak membuat kajian dan membaca bahan ilmiah yang lain? bagi saya ia suatu perkara yang WAJIB.

Zakaria said...

Wkmslm,
Tuan Acinetobaxter, teruskan berkarya tuan, jangan berhenti. Tuan kaya pengalaman, tentunya banyak mencungkil hikmah kehidupan.

Cikgu Ilhamwan, teruskan gilap potensi diri untuk buat yang terbaik dalam dunia penulisan Islami.

Anonymous said...

Peringatan yang sangat berguna. Terima kasih. Saya masih lagi bertatih dalam penulisan.
Pihak tuan ada tidak buat bengkel penulisan? Kalau ada saya amat berminat.

Zakaria said...

Semoga ada manfaatnya, Tuan Tintataghyir (Ustaz Asyraf). Bengkel penulisan umum setakat ini belum kita buat, Ustaz. Yang ada, bengkel penulisan novel Islami. GISB sangat mengalu-alukan ustaz-ustaz untuk menulis buku/novel. Boleh Ustaz tinggalkan alamat e-mel atau no. telefon untuk kami hubungi? Atau, sudi kiranya Ustaz layangkan e-mel ke alamat ini: zakaria@galeriilmu.com.my.

Ник Мавадах Ник Дин said...

insyaAllah.. ia peringatan yang amat berguna. Saya skrg ini cuba menambah baik mutu tulisan saya. terima kasih En Zakaria.

p/s: jemputlah ke blog saya lagi. Harap hasil nasihat En Zakaria sebelum ini benar-benar berkesan pada saya. ^^

-mawaddah@rus.