BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, July 21, 2009

Kita Berkuasa!

Setiap orang adalah pemimpin (ketua) dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinannya. Sebagai ketua, setiap orang memiliki ‘kuasa’ dan boleh membuat keputusan atas bidang kuasanya. Cuma, besar atau kecil, sedikit atau banyak kuasa yang dimiliki itu.

Apabila seseorang memandu kereta, dia memiliki kuasa ke atas kereta yang dipandunya. Malah dia kadang-kadang memiliki kuasa sama ada mahu memberi laluan atau tidak kepada kenderaan lain yang hendak keluar atau masuk ke satu simpang di depan laluannya. Dia juga berkuasa sama ada mahu memberi ruang atau tidak kepada kenderaan lain untuk memotong keretanya. Dia juga berkuasa sama ada mahu memberhentikan kenderaannya atau tidak untuk memberi laluan kepada pejalan kaki yang hendak melintas jalan, dengan itu mempengaruhi kenderaan lain di belakangnya untuk turut berhenti.

Penulis juga memiliki ‘kuasa’, terutama apabila sudah mendapat jaminan karyanya akan diterbitkan. Dia berkuasa untuk mengisi dan mencorak tulisannya dengan isi dan corak yang akan memberi manfaat kepada pembaca dan tidak bertentangan dengan dasar penerbit. Penulis harus menggunakan kuasa ini dengan sebaik-baiknya, sebagaimana seorang editor harus memanfaatkan kuasanya dengan cara yang terbaik dalam menerima atau menolak karya atau tulisan yang sampai di mejanya.

Apabila ada kuasa, ada pula tanggungjawab dan amanah yang harus ditunaikan. Allah akan bertanya tentang tanggungjawab dan amanah ini nanti.

Oleh itu, setiap orang yang bergelar penulis harus sedar akan ‘kuasa’ di hujung penanya yang mampu mengubah manusia, dengan mengubah pemikiran dan hati. Ulama-ulama dan ahli-ahli hikmah sudah menggunakan kuasa ini. Mereka menjadi penyambung lidah Rasul, mendidik manusia dengan lisanul hal (perbuatan) dan lisanul maqal (kata-kata). Tokoh-tokoh pejuang Islam dan pendukung gerakan tajdid juga menggunakan kuasa ini untuk mencairkan hati yang keras dan membetulkan pemikiran yang bejat, hingga ummah berubah.

Di antara punca rosaknya masyarakat hari ini adalah runtuhnya kepimpinan dalam institusi keluarga. Gejala sosial di kalangan remaja adalah salah satu simptomnya. Maka penulis-penulis dan calon-calon penulis harus menggembleng pena untuk membantu meneguhkan kepimpinan institusi keluarga ini.

‘Kuasa’ di hujung pena memang tidak sama, bergantung pada kemampuan penulis. Malah ia bergantung juga pada kekuatan penerbit yang menyalurkan tulisan-tulisan penulis. Tetapi kuasa itu benar ada, sama ada sedikit atau besar kesannya. Ia wajar digunakan dengan sebaik-baiknya, kerana ia akan ditanya.

Setiap orang daripada kita yang bergelar penulis berkuasa. Maka setiap orang daripada kita bertanggungjawab atas ‘kuasa’ itu.
Gambar hiasan: Almarhum Hassan Al-Banna (atas) dan Almarhum Fathi Yakan.

3 comments:

Acinetobaxter said...

salam ustaz...saya tak terfikir pun mengenai kuasa seperti ini kerana sememangnya saya selalu menganggap diri ini tak berkuasa sama sekali. Malah, kalau di beri kuasa sekalipun, saya akan bersungguh menolak lantaran pengalaman dan pengajaran yg saya terima mengenai kuasa satu ketika dulu adalah buruk kerana diri saya yg tak cukup kuat untuk memegangnya. Hanya kuasa rumahtangga dan kebapaan sahaja yg berani saya pegang, itu pun dengan berhati-hati. Kalau macam ni, berbahaya jugalah bidang penulisan ini.

abuyon said...

Salam ustaz. Ya, setuju benar saya artikel ini. Bukankah orang tua-tua pernah berkata, mata pena lebih tajam dari mata pedang.

Tajamnya mata pena boleh menjatuhkan seseorang, bahkan sebuah kerajaan.

WZWY said...

Memberi renungan dan kesedaran kepada penulis atau pun sesiapa saja tentang kuasa yang ada pada mereka. Pergunakanlah kuasa yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t itu dengan sebaik-baiknya dan disertai niat tulus ikhlas.