BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, September 1, 2009

Kerja Menulis vs Kerja Pasca Menulis

Ketika melangkah keluar dari Masjid Putra Nilai sebaik-baik saja selesai mengendalikan Bengkel Penulisan Islam pada Sabtu lalu, seorang peserta bengkel menghampiri saya dan rakan editor, Sdr Nasri Nasir. Siswi jurusan undang-undang itu bertanyakan satu perkara yang ada kaitan dengan gejala kebuntuan yang dialami oleh penulis (writer’s block).
Siswi ini mengadu sukar untuk menyelesaikan penulisannya kerana sangat berhati-hati dalam menyusun ayat. Dia mahu memastikan ayat yang ditulisnya kemas dan betul. Masalah ini menyebabkan dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan tugasan.

Nasihat saya kepadanya, “Sewaktu sedang menulis, jangan betulkan apa-apa. Tulis dulu hingga selesai, kemudian baru edit tulisan itu.”

Sesetengah penulis terlalu memikirkan kesempurnaan. Tetapi dalam proses menulis, hal itulah yang mesti dielakkan. Proses menulis yang semula jadi adalah menulis tanpa membetulkan apa-apa. Apabila kita menulis dalam keadaan terlalu berhati-hati dan sibuk membetulkan ayat atau memperkemaskan olahan, proses semula jadi menulis akan terganggu.

Penulis harus membezakan proses menulis dan proses pasca menulis. Menyemak dan membetulkan tulisan adalah kerja di peringkat pasca menulis. Sekiranya kerja menyemak dan membetulkan tulisan dibuat di peringkat menulis itu sendiri, maka berlakulah writer’s block.

Saya tidak pasti sama ada di kalangan kira-kira 50 peserta bengkel sehari yang saya kendalikan bersama Sdr Nasri itu, ada yang menghadapi masalah yang sama. Jika ada, saya harap mereka membaca entri ini.

Ketika sedang menulis, penulis harus menyibukkan diri dengan pengaliran idea dari mata pena (baca: komputer). Apabila terasa seperti hendak membetulkan ayat atau mengubah olahan, biarkan saja perasaan itu. Teruskan saja proses menulis. Nanti akan sampai masanya untuk membetulkan itu dan membetulkan ini, iaitu apabila sudah selesai menulis.

5 comments:

mZm said...

Ya betul. lebih susah menulis kalau sudah menjadi editor. Semua dirasakan serba tak sedap. Macam mana nak siap kerja ni...

Zayu Hisham said...

lumrah pada setiap insan bergelar penulis.Panduan diberikan oleh Pak Ya cukup berguna. TQ

abuyon said...

salam En. Zakaria,

Adakah kerja editor boleh membantutkan ilham seorang penulis

Zakaria said...

Terima kasih atas respons mZm, Zayu Hisham dan abuyon.

Sdr abuyon, kedudukan editor dan penulis seperti auditor dan akauntan. Auditor sibuk mengaudit akaun, lalu dia sendiri tidak buat kerja perakaunan. Tapi sebenarnya, jika pandai mengurus idea dan masa, editor masih mampu juga menulis.

Isma said...

Dulu pun saya pernah menghadapinya kerana terlalu ingin sempurna.Hampir sehari masih di pendahuluan.