BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, June 15, 2011

Dengar dan Kritik Tulisan Sendiri

Kerja menulis adalah luahan kreativiti yang perlu disulam dengan hikmah (kebijaksanaan), dipandu oleh kestabilan jiwa dan kadang kala dijalin emosi. Kadang-kadang mungkin emosi mengatasi kebijaksanaan, menyebabkan apa yang cuba disampaikan melencong daripada maksud sebenar. Kadang-kadang keadaan jiwa yang kurang tenang mempengaruhi olahan isi yang jadi hambar. Kadang-kadang kekurangan bahan menjadikan penulisan meleret-leret. Paling tidak, sebagai manusia biasa, penulis memang tidak terlepas daripada buat silap. Itulah sebabnya penulis perlu memakai kacamata pengkritik dengan menyemak tulisannya.

Memang ada penulis berpengalaman yang tidak mempunyai kebiasaan menyemak tulisannya, tetapi bilangannya hanya segelintir. Kebanyakan penulis akan menyemak dan 'mengkritik' tulisannya yang sudah siap. (Seperti pernah saya sebut sebelum ini, tidak sayugianya penulis melihat kesalahan dalam tulisannya semasa sedang menulis kerana ia akan mengganggu proses menulis.) Apabila penulis selesai menulis dan selepas 'memeram' sebentar tulisannya, dia perlu memakai kacamata pengkritik untuk mencari kesalahan dalam tulisannya.

Salah satu kaedah untuk mudah mengesan kesalahan atau kejanggalan pada tulisan adalah dengan membacanya dengan suara, bukan sekadar membaca dalam hati. Hal ini pun rasanya saya pernah sebut dalam tulisan sebelum ini, tetapi eloklah saya mengulangi dan menekankannya lagi.

Telinga cepat mengesan kesilapan yang tidak dapat dikesan oleh mata atau dengan bacaan dalam hati. Ayat yang janggal, pemilihan perkataan yang kurang tepat, perkataan yang berulang, perkataan yang lewah, dialog yang kurang sesuai, ayat yang mungkin terlalu panjang, ungkapan yang klise ... semua ini lebih mudah dikesan apabila telinga mendengarnya. Ayat-ayat yang indah juga selalunya sedap kedengaran di telinga.

Novelis Leila Gaskin mengungkapnya begini, "Only by reading the stories out loud, can we find and fix the flaws, making our selves better storytellers."

Mungkin bagi ayat tertentu yang kita tidak pasti kesesuaiannya, kita perlu membacanya dengan suara berulang kali. Mungkin selepas membaiki ayat itu, kita perlu pula membaca semula dari awal paragraf untuk mendengar 'bunyi' keseluruhan paragraf itu, terutama jika ia merupakan ayat dialog dalam cerpen, novel atau skrip.

1 comment:

ahmadyani said...

Sebaik-baik pengkritik adalah diri sendiri. Lebih baik mengkritik diri sendiri sebelum orang lain mengkritik.
Tapi cara kritik itu yang kurang diberi penekanan. Tip cara mengkitik yang tuan beri adalah tepat.