BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, June 7, 2011

Mencipta Tugasan

Pengalaman berkhidmat sebagai wartawan di agensi berita (BERNAMA) satu ketika dulu, melatih saya berkejar dengan masa dan membudayakan cara bekerja proaktif dalam menulis rencana bercorak kewartawanan. Oleh kerana BERNAMA membekalkan berita kepada akhbar harian, cara bekerja wartawan di agensi berita ini sama dengan cara bekerja wartawan di surat khabar atau di unit berita mana-mana stesen tv atau radio. Berita mesti disiapkan pada hari yang sama ia diperolehi.

Apabila saya berhijrah ke penerbitan majalah, saya menggalakkan wartawan majalah bekerja seperti wartawan surat khabar harian atau wartawan agensi berita bekerja. Pulang daripada tugasan, jangan tunggu beberapa hari baru hendak mula menulis berita, rencana berita atau rencana berdasarkan interviu. Tulis terus pada hari yang sama. Kalaupun tidak dapat disiapkan pada hari semua bahan selesai dikumpul atau diperolehi, ia mesti mula ditulis pada hari itu juga. Hanya apabila memerlukan lebih masa untuk disiapkan, barulah kerja ditangguh untuk disambung dan diselesaikan pada hari berikutnya.

Saya teringat bagaimana sewaktu di agensi berita, kami dilatih mengutamakan siapnya berita daripada makan. Selalunya apabila pulang daripada tugasan pada sebelah tengah hari, kami akan duduk menyiapkan berita terlebih dahulu sebelum pergi makan. Cuma apabila waktu Zuhur sudah masuk, kami akan ke surau dahulu. Namun, antara makan dan menyiapkan berita, keutamaan adalah pada menyiapkan berita dahulu. Siap sahaja berita ditulis, editor akan menyuntingnya dan berita itu akan di'lepaskan' (released) kepada pelanggan.

Wartawan majalah juga perlu mengamalkan budaya kerja begini. Bagi seorang wartawan yang produktif, dia akan berusaha menyiapkan tugasan mengikut kemampuan sebenar, bukan mengikut banyaknya masa yang ada. Dia juga perlu ada sasaran berapa banyak berita atau rencana berita yang mampu disiapkannya setiap bulan. Ini akan mendorongnya agar proaktif, bukan bersikap pasif atau menunggu. Wartawan produktif mencari sendiri dan mencipta tugasan, bukan sekadar menunggu tugasan daripada editor.

Apabila 'sense of urgency' seorang wartawan akhbar harian dapat dijadikan budaya kerja wartawan majalah bulanan, editor akan mempunyai 'bank artikel' yang sentiasa ditambah 'kredit'. Tugas editor dan keseluruhan tenaga editorial akan menjadi lebih mudah.

No comments: