BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, November 15, 2011

Wadah Bernama Q&A

18 Jun 2011
Sekitar pukul empat pagi, saya bersama dua sahabat, Ustaz Zul Ramli dan Hj Wan Mohd Azmin (Pengarah Penerbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd), pulang meredah aspal sepi lebuh Raya Damansara-Puchong menuju pejabat Galeri Ilmu di Kota Damansara. Satu misi telah terlaksana. Allah mengizinkan berlangsungnya pertemuan dinihari dengan sekumpulan ilmuan di Putra Height, Puchong.

Sebulan sebelumnya, Ustaz Zul Ramli dilantik oleh Galeri Ilmu sebagai Konsultan dan selaku Editor Eksekutif majalah Q&A, majalah terbaharu yang sedang diusahakan penerbitannya. Beliau ialah penulis kepada dua buku motivasi bersama Galeri Ilmu yang telah memberi impak yang besar kepada pembaca, U-Turn Ke Jalan Lurus dan R&R Di Lebuh Raya Kehidupan.
Pertemuan dengan kumpulan ilmuwan di Putra Height diatur pukul tiga pagi selepas mereka sama-sama menghadiri majlis pengajian ilmu hadis di sebuah premis berhampiran. Untuk pertemuan ini, kami sendiri duduk dalam majlis ilmu itu sejak pukul 11 malam; sama-sama menadah ilmu.

Para ilmuwan itu adalah pendakwah dan pensyarah bidang pengajian Islam di beberapa IPT. Seorang daripadanya ketua jabatan dan seorang lagi dekan fakulti. Dengan status itu, mereka masih memilih untuk belajar secara bertalaqi dengan tuan guru yang tiada kelayakan akademik yang tinggi dan bukan bergelar ‘doktor’ seperti sebahagian besar daripada mereka, tetapi alim dalam ilmu hadis.

Dengan mereka inilah kami duduk bertukar pandangan dan meluahkan hasrat melahirkan satu wadah ilmu, tarbiah dan motivasi untuk panduan umat yang kami namakan Q&A. Mereka menyambut baik penerbitaan Q&A sebagai wadah menyalur jawapan bagi persoalan kehidupan berlandaskan Quran dan as-Sunnah; dikuatkan pandangan ulama muktabar lagi amilin. Mereka sokong dengan doa, dengan buah fikiran dan bersedia menyumbang tulisan. Terasa dimudahkan oleh Allah apabila berkongsi pandangan dengan orang-orang yang punyai jalan fikiran dan gelombang rasa yang sama.

Pertemuan itu membuka laluan kepada beberapa pertemuan dengan para ustaz, ustazah, pendakwah, perunding motivasi dan cendekiawan Islam; mengajak mereka menumpahkan ilmu dan menitipkan tarbiah serta motivasi ke dalam Q&A setiap bulan.

22 Jun 2011
“Sudah lama kita tunggu majalah seperti ini,” ungkap Ustaz Raja Ahmad Mukhlis dalam salah satu pertemuan itu. Beliau adalah pendakwah dan penulis di belakang jomfaham.blogspot.com, blog rujukan buat mereka yang mencari jawapan kepada banyak persoalan agama berlandaskan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Sokongan dan dukungan daripada figur yang dikenali ramai seperti Ustaz Mohd Kazim Elias, Ustaz Azhar Idrus, Prof. Dr. Muhaya dan lain-lain, mencantikkan lagi perjalanan untuk ‘Merungkai Persoalan, Membetulkan Amalan’ – moto Q&A.

Walaupun Ustaz Zul Ramli hanya dapat meluangkan masa sekali atau dua kali seminggu bersama tim majalah Q&A, beliau telah membantu merangka konsep dan halatuju yang jelas untuk majalah ini. Malah nama majalah ini sendiri dan pendekatan soal jawab yang digunakannya, adalah ilham daripada Ustaz Zul Ramli. Oleh itu, tidak sukar untuk meyakinkan calon-calon kolumnis mengenai visi, misi, pendekatan dan nilai yang mahu kami terapkan dalam Q&A kerana ia sudah jelas di atas kertas.

24 Julai 2011
Pertemuan saya dan Hj Wan Azmin dengan Ustaz Azhar Idrus berlangsung sewaktu beliau turun ke ibu kota untuk memenuhi undangan ceramah dan outing dengan sekumpulan peminat fotografi – follower blog beliau, digitalmukmin.com. Turut serta dalam pertemuan di hotel d’Palma, Ampang itu adalah Pok Man, pembantu setia Ustaz Azhar dan juga model dalam banyak rakaman foto berestetika tinggi dalam digitalmukmin.com. Encik Wan Hazrie, perantara kami dengan Ustaz Azhar yang menjayakan pertemuan ini, juga ada sama.

5 Ogos 2011
Tim editorial Q&A berkunjung ke pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Sohibus Samahah Datuk Hj Wan Zahidi menyambut baik hasrat kami melahirkan Q&A dan membekalkan kami dengan input-input yang sangat berguna. Beliau juga bersetuju menulis dalam majalah ini.

18 Ogos 2011
Hati kami berbunga apabila Habib Hassan Al-Attas, Imam Besar Masjid Ba’alawi, Singapura menerima baik kunjungan Ketua Pengarang Kumpulan, Hj Abu Hassan Morad, dan Pengarah Reka Bentuk, Hj Badrul Hisham. Habib Hassan menitipkan pesan yang sangat berhemah agar Q&A menggunakan pendekatan lunak untuk menyampaikan ilmu dan kefahaman Islam berlandaskan prinsip Ahli Sunnah wal-Jamaah.


Sept 2011
Puan Hjh Jalilah Abdullah, yang melepaskan tanggungjawab sebagai Editor ANIS selepas diamanahkan tugas baharu selaku Editor Q&A, mengadakan pertemuan dengan Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz di Manjoi, Perak. Alhamdulillah, selain sudi mengisi ruangan dalam Q&A, Yang Berbahagia Ustaz dan isteri beliau meluangkan waktu untuk sesi temubual majalah ANIS.

28 Okt 2011
Kami berbesar hati apabila beberapa kolumnis Q&A sudi bersilaturrahim ke Galeri Ilmu. Antaranya Ustaz Muhadir Hj Joll, penulis buku Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama: Inilah Jawapannya, buku setebal 915 halaman yang amat bererti bagi pembaca yang mencari-cari penjelasan dan penyelesaian kepada banyak persoalan khilafiyah.

30 Okt. 2011
Ustaz Zul Ramli mengisi slot bual bicara Q&A sempena Ekspo Buku Islam di KL Sentral akhir Oktober. Sdr Nasri Nasir, Pengurus Kanan Promosi di Galeri Ilmu, selaku moderator.

2 Nov. 2011
Kami berbesar hati apabila Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, respondan temubual kolum Jalan Tengah, menerima kedatangan tim Q&A di kediaman beliau di Nilai untuk sesi fotografi. Demikian juga barisan kolumnis lain yang sangat komited. Alhamdulillah, bersama putaran roda Q&A ini, ramai yang sudi sama-sama menggerakkannya demi sebuah misi – meluruskan fikiran, menjernihkan hati.

3 Nov. 2011
Editor Q&A Puan Hajah Jalilah, yang mendapat Puan Noraina sebagai pembantu yang baik, memanfaatkan pengalaman menerajui majalah Anis untuk memudah cara pengisian Q&A. Beliau bercerita mengenai Q&A sewaktu berada di konti Radio IKIMfm bersama Cik Nur Suriati dan DJ Yati.

10 Nov. 2011
Syukur kepada Allah, kerja-kerja peringkat akhir penerbitan majalah Q&A berjaya diselesaikan tengah hari ini. Sdr Fauzi Abd Hamid, Sdr Azmideka dan Sdr Mislan - para artis reka bentuk dan reka letak yang terlibat dalam Q&A - melepaskan hujung jari daripada papan kekunci komputer masing-masing selepas salinan PDF majalah ini dibawa ke kilang oleh Sdr Yusof Kamal untuk dicetak. Semua yang terlibat menarik nafas lega. Banyak tenaga, masa dan fikiran ditumpukan untuk kerja-kerja melahirkan ‘anak sulung’ (keluaran pertama) Q&A sejak beberapa bulan kebelakangan. Maklumlah anak sulung ... tumpuan padanya lebih sikit. ‘Sakit’ melahirkannya juga lebih. Strategi pemasaran yang unik dan agresif di pihak Iqramall, anak syarikat Galeri Ilmu yang dilantik sebagai pengedar eksklusif Q&A, membantu memacu majalah ini lahir lebih awal daripada yang dijangka. Q&A mungkin lahir 'tidak cukup bulan' tetapi insya-Allah tampil sebagai 'bayi' yang sempurna sifat.

11 Nov. 2011
Majlis prapelancaran majalah Q&A diadakan di Galeri Ilmu. Majlis dibuka pukul 2.30 petang (selepas solat Jumaat) dengan bacaan surah Yasin dan tahlil. Hj Abu Hassan yang baru pulang dari memimpin misi penggambaran drama bersiri Dingin Lavenda (untuk siaran TV3) di Melbourne beberapa hari sebelumnya, mengetepikan kelelahan dan mengorbankan masa rehat bersama keluarganya di Kedah, untuk turut meraikan tetamu dan menjayakan majlis.

Majlis dibuat secara sederhana di surau Galeri Ilmu yang sempit namun mudah-mudahan dilapangkan oleh Allah dengan rahmat-Nya. Ustaz Hj Shukri Ali, Pegawai Agama Istana Terengganu, ialah kolumnis Q&A yang pertama tiba di Galeri Ilmu tengah hari ini. Oleh itu, beliau dilantik menjadi ‘ketua kelas’ untuk berucap mewakili barisan kolumnis. Kolumnis lain yang turut hadir ialah:

Ustaz Azhar Idrus (kolumnis ruangan soal jawab Celak Mata), Hj Nik Roskiman (Halaqah Tasawuf), Hj Wan Abdul Halim (Halaqah Faraid), Ustaz Muhadir (Halaqah Suluhan Ibadah dan Paradigma), Ustaz Amal (Indahnya Syurga dan Awas Neraka Di Hadapan), Ustaz Raja Ahmad Mukhlis (Halaqah Tauhid dan Fiqhul Hayah), Ustaz Rujhan (Terapi Hati dan Asma’ul Husna), Ustaz Ahmad Lutfi (Disiplin Ilmu), Ustaz Anwar (Nota Terakhir), Tuan Zabidi Mohamed (Celik Undang-undang), Tuan Akbar Ali (Potensi Diri), Ustaz Zawawi Zakaria (Relaksasi) dan Tuan Fahrur Rozi (Halal Haram). Ustaz Hj Shukri sendiri mengisi ruangan Halaqah Munakat. Kolumnis dalaman (kakitangan Galeri Ilmu) yang hadir: Hjh Aliyah Sijari (Bicara Buku), Zuraimi Ismail (Kamus Sahabat), Ustaz Shahrul Zaman (Rahsia Amal) dan saya sendiri (Di Balik Tabir).

Keseluruhannya, Q&A disokong oleh lebih 40 orang kolumnis. Ustaz Amal dan anakanda Ajwad mengisi slot penghujung majlis dengan dendangan nasyid dan selawat. Ustaz Azhar hanya bersama kami kira-kira setengah jam kerana beliau perlu berehat untuk mengisi program lain selepas Asar, namun beliau sempat kami bawa melawat pejabat. Hj Nik Roskiman, Pengarah Radio IKIMfm, juga bergegas pulang ke pejabatnya seusai majlis.


En. Mahir Saidi, Pengarah Urusan Iqramall, memberi sedikit taklimat mengenai visi, misi dan sistem pemasaran Iqramall. Sahabat-sahabat di Layar Consult Sdn Bhd, syarikat bersekutu Galeri Ilmu, menayangkan video promo Q&A dan Iqramall.

Terima kasih kepada sahabat dari majalah i, Sdr Ahmad Yani Abd Manaf, dan Intan dari akhbar Harakah yang sudi datang.



13 Nov. 2011
Bagaikan tidak sabar menantikan kelahiran keluaran sulung Q&A, maka saya bersama Hj Abu Hassan dan Hj Wan Azmin melawat ke kilang cetak, Ultimate Print di Shah Alam. Di sinilah juga majalah ANIS dan ASUH dicetak setiap bulan. Sdr Yusof, pegawai Galeri Ilmu yang berurusan dengan pencetak, sudah ada di sana ketika kami sampai kira-kira pukul 10 pagi.

Kami berada di kilang lebih setengah jam dan turut meninjau kerja cetakan majalah ANIS dan ASUH. Naskhah-naskhah sample kedua-dua majalah ini diberikan kepada kami.

Dalam perjalanan pulang, saya menerima panggilan telefon daripada Sdr Pahrol Mohamad Juoi, yang baru selesai mengendalikan bengkel penulisan di IKIM bersama Tuan Fauzul Naim Ishak, Pengurus Besar Editorial PTS. Sdr Pahrol bertanya khabar program prapelancaran Q&A pada hari sebelumnya. Beliau tidak dapat hadir kerana ada program lain, namun kolum beliau Sejenak, mewakili beliau dalam Keluaran Perdana Q&A yang akan mula diedarkan Jumaat, 18 Nov, insya-Allah.

16 Nov. 2011

Akhirnya, dengan izin Allah, Q&A siap dicetak. Sdr Yusof membawa pulang beberapa naskhah awal yang masih 'panas' dari kilang tengah hari ini.

"Allahu akbar!" respons Ustaz Zul Ramli yang sedang berprogram di Langkawi apabila berita ini sampai ke pengetahuan beliau.

Q&A lahir bersama amanah dan tanggungjawab.

"Ya Allah, bantulah kami dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini. Jernihkan hati kami, murnikan niat kami dan teguhkan kami. Kepada-Mu jua kami memohon pertolongan dan kepada-Mu jua kami berserah ..."

9 comments:

Unknown said...

Tahniah Ustaz...

ahmadyani said...

Didoakan Q&A memberi impak yang besar pada masyarakat.

Web Sutera said...

Alhamdulillah. Tahniah untuk tim Galeri Ilmu.

Tuan Haji Zakaria sampai hati tidak menjemput saya masa pelancaran :-)

Zakaria said...

Terima kasih atas sokongan ustaz, ahmadyani dan tuan web sutera.

Tuan Web Sutera, itu baru pra pelancaran di tempat yang kecil. Nanti kami jemput waktu pelancaran di tempat yang lebih besar, insya-Allah. Sekitar pertengahan atau hujung Disember.

Pemburu Impian said...

Assalamualaikum Tuan Zakaria yang baik hati. Di doakan Tuan sihat sejahtera dan senyum sokmo menimang 'baby baru'yang comel lote.Amin

Saya sangat terkesan dengan rentetan, peristiwa 'mengandung' dan melahirkan 'baby baru ini'..

Ternyata,benar-benar Allah mudahkan.
Alhamdulillah.

Saya juga sudah mendaftar sebagai pengedarnya Tuan.Mahu mengambil saham menyebar ilmu yang bermanfaat...juga peluang bisnes.

InsyaAllah, di doakan tumbesarnya lancar, panjang usia dan mencurah-curah rezekinya. Amin.

Salam ceria & inspirasi

Pemburu Impian

Zakaria said...

Waalaikumussalam Tuan Fathuri Sang Pemburu Impian,

Terima kasih atas sokongan dan dukungan. Berkat doa daripada tuan-tuan guru dan sahabat-sahabat, proses 'mengandung' dan 'melahirkan' Q&A dimudahkan oleh Allah.

Bukan tidak ada cabaran dan kekangan, tetapi alhamdulillah, perjalanannya cantik dan mudah-mudahan akan terus molek.

Cabaran seterusnya adalah untuk membuat penambahbaikan dan mengekalkan kekuatan sedia ada.

Teruskan sokongan, tuan. Komen, cadangan dan pandangan sangat dialu-alukan.

Admin said...

Assalamu'alaikum warahmatuLlahi wa barokatuh. Tahniah para asatizah dan team Q & A. Semoga terus maju menyebarkan dan memperteguhkan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama'ah di tanahair !

School Of Tots said...

Tahniah Tuan, didoakan Q&A menjadi hit. Kolumnis pun hebat2 belaka.

Zakaria said...

Dengan doa daripada tuan dan sahabat-sahabat lain, mudah-mudahan Allah memudahkan dan memberkati usaha ini.