Kehilangan momentum. Inilah yang saya alami sejak lebih enam bulan lalu apabila memberi tumpuan yang banyak pada kerja membidankan kelahiran sebuahmajalah baharu, lalu meninggalkan rutin menulis untuk blog.
Sekarang saya 'singgah' semula di sini untuk mengembalikan momentum. Saya tidaklah berhenti menulis ketika meninggalkan ruang blog ini tanpa dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Saya cuma berhenti berblog sepanjang tempoh itu. Hari ini, dengan izin Allah, saya kembali berblog dengan mengharap limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah dalam meniti minggu pertama Rejab.
"Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan."
Beberapa hari lalu, saya dan beberapa orang sahabat mengadakan pertemuan dengan tuan guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, penulis dan penerbit kepada lebih 20 judul kitab. Pertemuan dengan beliau diizinkan Allah berlangsung di Masjid Al-Falah di USJ9 dengan perantaraan Ustaz Muhadir Hj Joll, penulis buku Keajaiban Firasat dan Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama: Inilah Jawapannya.
Kami sama-sama duduk menadah kitab dengan Syeikh Ahmad Fahmi yang mempunyai jadual kuliah di beberapa tempat di Lembah Klang sebelum pulang ke Kedah dan kemudiannya dijadualkan pulang menjengah ke tanah kelahiran beliau di Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Syeikh Ahmad Fahmi mula menerbitkan kitab pertama karangannya pada 1992. Kitab berjudul 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman itu telah diulang cetak beberapa kali, termasuk 'ulang cetak' yang diusahakan secara 'rompak'. Mengenang kitabnya yang dicetak rompak itu, beliau bersikap lapang dada dengan apa yang berlaku. Hanya apa yang membuat beliau terkilan, kitab yang dicetak rompak itu adalah versi awal yang masih terdapat kesalahan yang belum dibaiki. Hanya itu yang membuat beliau terkilan, bukan kerana ia dicetak rompak.
Melalui syarikat penerbitannya sendiri, Khazanah Banjariah, beliau melakukan semua kerja penerbitan bersendirian - menyunting, mereka letak, membaca pruf, mereka bentuk kulit dan berurusan dengan kilang cetak. Dalam tempoh 20 tahun, begitulah cara beliau mengembangkan sumbangan ilmunya, selain daripada mengasaskan beberapa buah madrasah dan mengisi majlis pengajian di merata tempat. Baru akhir-akhir ini beliau dibantu oleh anaknya untuk mengurus terbit kitab.
Alhamdulillah, apabila kami menawarkan kesediaan untuk menerbitkan semula beberapa judul kitab beliau, Syeikh Ahmad Fahmi memandang baik cadangan itu.
Menadah kitab Sairus Salikin di Masjid Al-Falah, USJ9.
Pertemuan kedua dengan Syeikh Ahmad Fahmi keesokannya diatur di Taman Tun Dr Ismail.Turut serta ialah Ustaz Muhadir Hj Joll (tiga dari kiri).
No comments:
Post a Comment