BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Sunday, June 10, 2012

Antara Wang, Nama dan Tuhan

Jika kita menulis kerana wang, kita akan mendapatnya - banyak atau sedikit. Jika kita menulis kerana nama (kemegahan), kita juga akan mendapatnya - dikenali ramai atau kurang dikenali. Jika hanya kerana wang dan nama yang mendorong kita menulis, insya-Allah kita akan mendapatnya kerana begitulah aturan sunnatullah. Kita akan mendapat hasil daripada apa yang kita usahakan berdasarkan apa yang kita hajatkan atau niatkan.

Jika kita menulis kerana Allah - semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya - mudah-mudahan itulah yang kita dapat iaitu keredhaan Allah jua. Sukar untuk mengikhlaskan niat menulis semata-mata kerana Allah apabila kita tahu ada ganjaran wang dan nama daripada hasil kerja menulis itu. Bagaimanapun, jangan kerana itu kita berhenti menulis. Jangan kerana itu kita berhenti menyampaikan kebaikan dan kebenaran melalui pena.

Kalau kita tidak menghasilkan karya-karya yang mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran, kepada perkara-perkara yang Allah redha dan Rasulullah senangi, orang-orang yang tidak beriman akan menggunakan pena mereka untuk menghasilkan karya yang merosakkan jiwa dan pemikiran, yang melalaikan, yang mengajak pembaca melawan Tuhan dan peraturan-Nya.

Buku dan majalah akan tetap lahir. Ebook dan komik akan tetap muncul. Jika di belakang penerbitan bahan-bahan bacaan itu bukan kita yang mahu mengajak pembaca membesarkan Tuhan, ia akan didukung oleh orang-orang yang tidak fikir untuk menggunakan ketajaman mata pena untuk "nasihat-menasihati kepada kebaikan dan kesabaran". Penerbitan itu akan didukung oleh orang-orang yang hanya fikir soal wang dan nama.

Tulislah kerana Allah, walaupun di situ ada godaan wang dan nama. Mudah-mudahan Allah campakkan keikhlasan ke dalam hati kita walaupun keikhlasan itu belum penuh atau sempurna.

7 comments:

WZWY said...

Terima kasih atas ingatan tuan sifu.

nurulain said...

terima kasih atas peringatan berguna ini :)

Nurulain ahmad - penulis buku Give & Take antara hamba dan pencipta (PTS)

Zakaria said...

Sama-sama, WZWY dan nurulain.

Peringatan untuk diri sendiri juga.

Kita sering melakukan sesuatu perkara yang di situ ada godaan wang dan nama. Menulis adalah salah satu daripadanya.

Bonda Nor said...

Saya sebak membaca entri ini. Ini satu isu besar yang selalu bergolak dalam jiwa seorang penulis terutama yang baru berjinak2 dgn penulisan. Mahu teruskan atau tidak.. Jika mahu, ia bererti si penulis terpaksa sentiasa bergelut dengan mujahadah memelihara niatnya kerana Allah. Jika berhenti dan memilih jalan mudah..bererti dia kehilangan peluang besar untuk bekalnya bertemu Allah..

MNS said...

Menulislah kerana Allah ,InsyaAllah keredhaan Allah akan datang beserta nama dan wang yang diingini.

ben said...

Sememangnya, segala perbuatan kita perlu berlandaskan dengan keikhlasan, yakni, kerana Allah SWT. Namun sebagai manusia biasa, yang mempunyai banyak kelemahan dan keperluan, agak sukar untuk mencapai matlamat yang murni itu. Mahukan ganjaran wang, pangkat, nama, publisiti, dll., adalah naluri manusa. Wallahualam.

Danial Abdul Rahim said...

Masya Allah, sering kali terlupa akan apakah tujuan sebenar-benarnya menulis.

Selepas membaca artikel ini, Insya Allah saya akan serapkan dari sekarang menulis untuk mendapatkan keredhaan-Nya.

Selalunya saya menulis untuk memberi kebaikan. Adakah ia juga dipanggil dakwah?

Sekadar ingin tahu.

Terima kasih banyak-banyak atas nasihat Tuan ^__^