"Waktu bila Pak Latip menulis?" tanya saya dalam kesempatan bersembang singkat dengan penulis novel sejarah nombor satu Malaysia, Abdul Latip Talib pada PBAKL yang lalu. Beliau mesra dengan panggilan Pak Latip.
Kalau saya tidak silap, 30 judul novel sejarah beliau sudah diterbitkan. Kebanyakannya adalah novel sejarah Islam.
Seperti kebanyakan penulis prolifik yang lain, Pak Latip tentulah mempunyai jadual masa menulis yang khusus. Tentulah beliau sudah serasi dengan jadual itu hingga membolehkan beliau konsisten menghasilkan manuskrip demi manuskrip.
Menurut Pak Latip, beliau biasanya bangkit pukul 4.00 pagi untuk menulis.
"Untuk mula menulis awal pagi, tentu Pak Latip tidur pun awal," saya menelah.
"Biasanya sebelum pukul dua belas saya sudah tidur. Kalau tidur lewat, tak dapat bangun pukul empat. Mungkin pukul lima baru bangun," ujar Pak Latip.
Beliau akan menulis hingga masuknya waktu subuh. Selepas solat Subuh, beliau akan menyambung kerja menulis selagi idea terus mengalir.
Sebelum mula mengarang novel sejarahnya, sudah tentulah beliau akan membuat penyelidikan kerana kesemua novelnya bermain dengan fakta.
Memilih waktu dinihari dan selepas subuh untuk menulis adalah disiplin yang juga menjadi amalan beberapa rakan penulis yang lain.
2 comments:
Cari waktu yang idea mengalir dengan lancar kemudian konsisten dengan waktu itu untuk menulis
Assalamualaikum.Alhamdulillah dan terima kasih kerana banyak ilmu yang saya pelajari dari artikel tuan ini..saya bukanlah seorang penulis pro tapi memang minat dengan menulis dan mmembaca.
Post a Comment