Anak perempuan saya yang berusia 17 tahun dan belajar di sebuah sekolah menengah yang menggabungkan pengajian tahfiz dan akademik, meluahkan, “Nadia suka baca buku motivasi tetapi Nadia tidak suka baca novel yang banyak ayat motivasi.”
Dia berkata lagi, “Nadia suka dialog novel VT kerana dialognya tak ‘skema’ walaupun ayat dialognya menggunakan bahasa yang kemas. Tazkirahnya pendek-pendek tapi maksudnya mendalam.”
VT adalah salah sebuah novel yang saya bawa pulang untuk mengisi jadual pembacaan anak-anak pada musim cuti sekolah ini.
Anak remaja saya itu menambah, “Nadia tak suka novel X (dia menyebut judul sebuah novel Islami yang turut saya bawa pulang), tazkirahnya panjang-panjang.”
Tidak sukar untuk mengesan citarasa anak-anak remaja dalam membaca novel. Walaupun kita tidak sepenuhnya harus menyuakan apa yang mereka mahu berbanding dengan apa yang mereka perlukan, kita juga harus cuba memahami citarasa mereka dalam usaha kita memberikan apa yang mereka perlukan itu. Untuk menyuruh remaja membaca novel Islami, kita harus juga mengkaji trend di kalangan mereka.
Oleh kerana remaja lebih berminat membaca novel berbanding membaca buku motivasi, novel adalah salah satu medium yang sesuai digunakan untuk mendakwahi dan mendidik mereka. Sebagai alternatif kepada novel-novel yang tidak sesuai untuk remaja Muslim, kita harus menyuakan novel-novel Islami yang sesuai untuk mereka baca.
Bagaimanapun, kita tidak boleh memaksa seseorang menyukai sesuatu yang dia tidak suka. Kita tidak boleh menarik minat seseorang kepada sesuatu yang dia tidak minat, melainkan dengan meniti di atas apa yang dia minat. Oleh itu, melahirkan lebih banyak novel Islami untuk bacaan remaja saja tidak cukup. Kita harus melahirkan novel Islami yang mereka suka baca.
Novel-novel bagaimana yang remaja suka baca? Tidak susah untuk menjawabnya. Dapatkan saja novel-novel remaja yang laris di pasaran. Itulah novel-novel yang remaja suka baca.
Remaja membaca novel untuk menghayati cerita. Mereka tidak suka membaca novel apabila mereka sedar novel itu akan mengajar-ajar mereka. Mereka suka mengambil nilai didikan daripada novel yang mereka baca itu secara santai. Secara yang tidak dipaksa-paksa. Apabila mereka menemui ayat-ayat ‘mengajar’ dalam novel, mereka akan cepat menolak.
Ini soal citarasa. Kita tidak dapat menafikan citarasa. Memahami trend dan citarasa mad’u (orang yang didakwahi) ini termasuk dalam kaedah dakwah itu sendiri.
1 comment:
Assalamualaikum tuan,
sudah lama kita tak bersua.Menyentuh novel VT ini ulasan saya http://tanya-ustaz.blogspot.com/2009/05/ulasan-novel-vt-gelanggang-ibadah.html
Boleh tuan 'mengulas' apa yang saya telah ulas berkenaan novel VT...jika tuan berkelapangan ^_^
Post a Comment