BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, June 9, 2009

Tempoh Berehat Untuk Mencari Tempo Menulis

Dr. Nazhatul Muna sedang duduk di sisi komputer riba dan sebuah buku ketika kami menziarahinya di Wad Obstetrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Lucu juga mengenangkan bagaimana petugas di kaunter depan wad itu menyangka kami mencari doktor bertugas apabila kami bertanya tentang Dr. Muna untuk mengetahui lokasi katilnya.

Selalunya Dr. Muna bertugas di Jabatan Kecemasan, hospital yang sama. Tetapi sejak sebelas hari lalu, beliau duduk di wad sebagai pesakit. Kedudukan uri bayi di dalam kandungannya bermasalah, lalu Dr. Muna ditahan di wad untuk menunggu waktu bersalin yang dijangka pada 20 Julai depan. Satu tempoh yang lama. Malah cukup lama bagi seorang yang biasa aktif.

“Sedang kemaskini blog?” tegur rakan editor Puan Suraiya.

Dr. Muna, isteri Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, tersenyum. Apabila duduk di wad, tanpa tekanan tugas dan ‘gangguan’ anak-anak, dia terfikir untuk banyak menulis. Tetapi suasana di wad rupanya tidak begitu membantu. Lalu dia lebih banyak mengisi masa dengan membaca.

Saya tidak pelik, kerana kadang-kadang penulis perlu berehat daripada menulis untuk memberi ruang kepada aktiviti membaca, merenung, memerhati, bermuhasabah dan berfikir. Semua itu adalah sebahagian daripada proses menulis. Pada hari ketiga beliau ditahan di wad, Dr. Muna menulis di dalam blognya: “Terlalu banyak perkara untuk saya muhasabah. Ini mungkin suatu permulaan bagi satu perjalanan yang lebih panjang.”

Saya jadi teringat kepada kata-kata sasterawan Marsli N.O.: “Bagi saya peribadi, jika sedang tidak berasa terlalu tergoda untuk menulis, lebih baik saya melakukan sesuatu untuk meraikan bahagian lain di dalam diri saya. Melakukan sesuatu yang sama sekali lain yang dapat meredakan rasa tegang dan gelisah di dalam diri saya.“Saya tidak menjadi terlalu gelisah kerana sedang tidak menulis kerana bagi saya, saya berasa saya sebenarnya masih tetap berada di dalam porses untuk menuliskan sesuatu sebenarnya.“Saya katakan begitu kerana ketika saya sedang bersantai-santai atau melakukan sesuatu yang lain itu, saya sedar di dalam kepala saya sesekali saya juga sedang berfikir mengenai sesuatu yang terasa mengganggu hati dan perasaan seni saya.”

Tuan Marsli menulis lagi di dalam blognya: “… menulis itu bagi saya adalah suatu proses yang panjang. Proses itu tidak bermula ketika saya sedang menghadap papan kekunci, tetapi ianya sebenarnya bermula tatkala hati dan perasaan saya tersentuh oleh sesuatu, sama ada peristiwa yang saya lihat, dengar, baca atau alami sendiri. Ketika saya sedang bersanta-santai dan melakukan sesuatu yang lain yang tiada kena-mengena dengan menulis, otak saya sebenarnya ikut dan sedang aktif berfikir juga mengenai sesuatu yang nanti boleh saya kembangkan menjadi sebuah tulisan yang utuh.”

Saya juga teringat pengalaman novelis ‘bestseller’ Habiburrahman El-Shirazy ketika beliau terlantar sakit kaki di rumah dan tidak produktif selama berbulan-bulan. Kalau tidak silap saya, waktu itu beliau belum begitu lama pulang ke Indonesia setelah menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Dalam tempoh berbulan-bulan menanggung sakit kaki akibat kemalangan itu, minda dan jiwanya bergolak tetapi tidak ada apa-apa yang ditumpahkannya di atas kertas. Rupa-rupanya dalam diam, dalam tempoh itu, tanpa beliau sendiri sedari, beliau memeram cerita untuk novel fenomenanya, Ayat-ayat Cinta. Beberapa bulan kemudian, beliau tiba-tiba dirangsang semangat menulis yang luar biasa. Berbekalkan komputer lamanya yang dibawa pulang dari Kaherah, beliau mula tenggelam dalam mood berkarya.

Begitu ‘tenggelam’nya beliau dalam dunia fiksyen itu, hingga ibunya sendiri risau. Apa sudah jadi dengan anak terunanya? Rutinnya setiap hari mendadak berubah. Siang malam mengetik papan kekunci, hanya berhenti untuk makan dan solat. Bicaranya hanya yang perlu-perlu saja. Setelah berbulan-bulan dalam proses memeram idea cerita, Ustaz Habiburrahman menyiapkan novel sulungnya itu dalam tempoh sebulan lebih.

Begitulah yang anehnya tentang proses berkarya. Kadang-kadang seseorang penulis itu mendapati dirinya hanya disibukkan dengan aktiviti membaca, berfikir dan merenung tetapi tidak juga mula tergerak untuk menulis. Apabila dia sudah betul-betul menemui tempo menulis, barulah dia akan serius menulis, malah mungkin ‘tenggelam’ dalam keasyikan menulis.

Walaupun Dr. Muna baru sekadar menulis di blog, dari gaya penulisannya, saya fikir beliau ada bakat. Dan beliau juga mempunyai aset yang berharga untuk ditumpahkan ke dalam tulisan – pengalaman hidup yang unik dan kefahaman Islam yang baik. Mungkin tempoh beliau duduk di wad ini adalah tempoh beliau menyiapkan diri untuk lebih serius menulis, sekurang-kurangnya selepas beliau melahirkan cahaya mata keempatnya dan habis berpantang.

3 comments:

Acinetobaxter said...

Benar sangat itu...dan saya juga seperti itu meskipun saya bukanlah novelis ulung. Hanya apabila saya tersangkut dengan strategy computer games, buku yang menarik dan drama bersiri DVD, maka saya terlupa langsung untuk menulis.

future phenomenon said...

salam...tumpang lalu..siapa minat konspirasi, sejarah nusantara yg hilang atau perbincangan sufi, boleh la ke www.nusanaga.blogspot.com

selain tu boleh eratkan tali persaudaraan...nilah zamannya untuk bangkitkan sesuatu...

wassalam

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Catatan ini menguja dan menginspirasikan. Saya akan lebih tekun dan fokus. Terima kasih utk sebuah anekdot yg membangkitkan semangat.

RMN - www.celikhuruf.blogspot.com