Beberapa minggu sebelum masuk bulan Ramadan tahun lalu, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB) berpindah ke bangunan sendiri di Seksyen 8, Kota Damansara. Talian internet belum ada, yang ada cuma talian telefon. Saya belum menggunakan broadband waktu itu, maka saya akan kerap turun dari tingkat tiga bangunan Astana Karya untuk berjalan ke kafe siber di blok berhampiran. Membuka dan membalas e-mel. Membaca proposal daripada penulis dan menge-melkan maklum balas.
Saya membayangkan, bagaimana agaknya bagi seorang pengarang yang bukan saja tidak mempunyai capaian internet, malah tidak memiliki komputer. Kemudian saya teringat, ada seorang rakan penulis yang sering menghantar artikel untuk majalah satu ketika dulu dengan hanya menulis tangan di atas kertas kajang. Walaupun kami mensyaratkan penulis hanya menyumbang tulisan yang siap bertaip, dia terkecuali.
Saya pernah terbaca, Ernest Hemingway menulis novela klasiknya The Old Man and The Sea dengan menggunakan pensel. Ramai lagikah penulis yang menulis tangan karya-karya mereka? Saya membuat carian di internet, rupanya ramai juga. Bukan kerana mereka tidak mampu untuk membeli mesin taip atau sekarang komputer, tetapi kerana mereka lebih selesa mengarang dengan tulisan tangan.
Berikut adalah sebahagian nama penulis ‘bestseller’ luar negara yang memilih berkarya dengan tulisan tangan:
- Jeffry Archer (Kane and Abel, Not a Penny More, Not a Penny Less)
- Clive Barker (The Thief of Always, Abarat)
- Jeff Abbott (Panic, Fear, Collision)
- Donna Tartt (The Secret History, The Little Friend)
- Neal Stephenson (Snow Crash, Quicksilver, Anathem)
Saya tidak pasti apa rahsianya mereka lebih selesa mengarang dengan menggunakan pensel atau pen. Ulama-ulama silam yang meninggalkan kepada kita kitab-kitab besar, termasuk ulama-ulama Nusantara abad ke-20 dan ke-19, memang mengarang kitab dengan tulisan tangan.
Saya rasa memang ada rahsia di sebalik keselesaan mengarang menggunakan pensel atau pen ini, berbanding mengetik papan kekunci. Kalau tidak, masakan Stephen King pun mencuba mengarang menggunakan tulisan tangan untuk novelnya Dreamcatcher.
Saya teringat pengalaman seorang penulis ‘bestseller’ Barat (saya lupa namanya) yang pada satu ketika menandatangani autograf novelnya tanpa henti selama lebih tiga jam. Ada seseorang bertanya, tidakkah dia berasa lenguh tangan? Penulis itu menjawab, “Tidak, saya sudah biasa mengarang novel berjam-jam dengan menulis tangan.”
Mahu mencuba?
3 comments:
Salam Encik Zakaria Sungib: Saya datang membaca. Baru ketemu blog ini. Maaf kerana agak lambat datang berziarah.
Marsli N.O
ya lah en zakaria.. saya juga rasa ada hikmahnya. nak juga cuba. tapi ada ke editor yang mahu mengeditnya? :)
Wkmsalam,
Kepada Sdr Marsli N.O., terima kasih datang menjenguk dan meninggalkan jejak. Saya juga baru pulang dari ziarah ke blog saudara.
Kepada Mas Zuraini, selamat mencuba. Tapi untuk hantar kepada editor, taiplah dulu ya. Naskhah bertulis tangan itu cuma untuk draf saja.
Post a Comment