Apabila penulis menghantar proposal atau manuskrip bukunya kepada penerbit, dia tentulah berhasrat agar karyanya itu dinilai oleh editor sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Atau sama ada penerbit berminat atau tidak untuk menerbitkannya. Maka hasrat ini hendaklah dijelaskan dengan terang dan jelas melalui surat iringan (cover letter).
Sekiranya proposal itu dikirim melalui e-mel, maka e-mel itu sendiri berfungsi sebagai surat iringan. Ia harus mengandungi hasrat penulis supaya karyanya dinilai. Disebutkan judul karya itu dan genrenya (misalnya novel remaja Islami). Jika penulis baru pertama kali berhubung dengan penerbit berkenaan, dia perlu memperkenalkan diri terlebih dahulu sebelum memperkenalkan karyanya untuk dinilai. Dia juga perlu menyertakan nombor telefon untuk dihubungi jika keadaan memerlukan.
Semua maklumat ini akan memudahkan kerja editor yang ‘inbox’ e-melnya sentiasa dijengah bermacam-macam proposal dan manuskrip. Walaupun maklumat itu mungkin sudah dimuatkan di dalam proposal, editor akan terkesan dengan mukadimah yang dinyatakan di dalam e-mel.
Malah surat iringan (walaupun sekadar surat elektronik) seperti ini akan mudah menarik perhatian editor, berbanding dengan e-mel kosong atau e-mel yang terlalu ringkas yang hanya mengandungi ‘attachment’ karya tanpa pengenalan diri penulis.
Mungkin ini kelemahan surat elektronik – ia kadang-kadang menghilangkan formaliti. Oleh kerana ia bukan surat fizikal, kadang-kadang tatacara surat-menyurat seperti tidak terpakai apabila berutus e-mel. Tidak ada taaruf dan basa-basi komunikasi … cuma ada kata-kata singkat untuk memberitahu.
3 comments:
Salam...
Terima kasih atas teguran ini. Sebenarnya saya masih belum berpuas hati ketika menghantar emel tersebut, masih dalam keadaan 50-50, entah macam mana dah 'ter' hantar. Kalau boleh saya hendak hantar yang lain. Kalau belum dinilailah... Saya minta maaf atas ke'ter'lalaian ini.
Salam rindu dari negeri selatan,
Tuan Zakaria,
Maaf kata, masalah surat elektronik itu satu hal. Tetapi, masalah yang besar ialah sense atau sensitiviti penulis/pengirimnya juga.
Penulisnya jarang membaca berulang-kali sebelum menekan butang 'SEND', menggunakan bahasa 'murahan' (maaf!) sedangkan dia sendiri sedar penerima emailnya adalah editor novel yang meletakkan syarat Bahasa Melayu Tinggi sebagai pra-syarat utama. Aneh, bukan?
Aha, ini semua berdasarkan pengalaman peribadi sendiri. Dan sekarang tengah belajar untuk lebih 'bersantun' menulis kepada semua, terutama kepada tokoh bahasa, seperti Tuan Zakaria ..:)
Teruslah berjuang memandaikan bangsa!
IlhamHamdani,
Canberra, Australia
Post a Comment