BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, March 31, 2010

Nota 'Simple' Yang Mengocak Fikir dan Zikir

“Inilah pertama kali saya menulis buku yang simple seperti ini,” beritahu Pahrol Mohd Juoi mengenai buku terbarunya bersama Galeri Ilmu. Buku beliau yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu sebelum ini, Satu Rasa Dua Hati, setebal 224 halaman. Buku terbarunya, Nota Fikir Untuk Zikir, hanya setebal 184 halaman.


Nota Fikir Untuk Zikir memang sebuah buku yang simple dan santai. Idea menerbitkan buku ini bermula dalam sembang-sembang selepas solat Zuhur di serambi sebuah masjid pada satu tengah hari pada akhir Februari lalu. Beberapa minggu kemudian, Saudara Pahrol mengajukan manuskrip buku ini. Itulah kelebihan penulis ini – aliran mata penanya sederas bicara lidahnya yang spontan berisi.


Izinkan saya memetik sedikit bicara Haji Ann Wan Seng dalam kata pengantar untuk buku Nota Fikir Untuk Zikir:


“Saya telah mengenali penulis buku ini sejak hampir dua puluh tahun yang lalu. Beliau merupakan seorang penulis yang serba boleh dan mampu menulis di dalam pelbagai genre penulisan sama ada yang berbentuk serius ataupun yang santai. Kelebihan yang terdapat pada beliau adalah keupayaan mengolah sesuatu persoalan daripada dimensi yang berbeza dan memberikan persepsi baru terhadap perkara yang digarapnya.


“Di dalam buku ini, kita didendangkan semula dengan pelbagai kisah dan cerita yang pernah kita dengar sewaktu masih kecil dahulu. Kisah-kisah seperti Si Tanggang, Arnab dan Kura-Kura, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya tidaklah asing bagi masyarakat kita. Di dalam kisah-kisah lama ini sebenarnya banyak iktibar dan pengajaran yang dapat diambil. Namun, ramai yang tidak menyedarinya. Kita hanya melihat yang tersurat tetapi jarang sekali menyelami perkara yang tersirat. Melalui buku ini, penulis bukan sekadar mengajak kita mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang dulu tetapi juga melihat nilai-nilai agama, moral dan sosial yang terdapat di dalam setiap kisah itu.


“Apa yang menarik mengenai buku ini adalah setiap paparan itu akan disertai dengan huraian yang agak mendalam sama ada daripada aspek akidah, syariat ataupun akhlak. Sesungguhnya bagi mereka yang membaca Bahagian Pertama buku ini yang mengandungi sepuluh buah cerita dan kisah teladan akan terkesan dengan aspek moral yang dipaparkan. Sekaligus akan menajamkan daya fikir kita supaya memiliki pengamatan yang tajam terhadap setiap pengkisahan yang diwarisi dari masa silam.


“Walaupun sesetengah daripada cerita itu hanya merupakan dongengan dan fantasi semata-mata, ia merupakan manifestasi terhadap akal budi manusia itu sendiri. Ia membuktikan betapa akal yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita semua mampu menerobos dan menjangkau dimensi kehidupan di dunia ini.


“Dalam Bahagian Kedua buku ini, penulis mengajak kita merenungi kejadian di alam ini. Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada alam, haiwan dan tumbuh-tumbuhan bahkan seluruh isinya termasuk kejadian semulajadi seperti pasang surut air laut, gempa bumi, hujan dan sebagainya.


“Penulis menasihatkan kita supaya menjadi seperti lebah yang walaupun ditakuti kerana sengatnya, hidupnya sentiasa mencurahkan bakti tanpa henti-henti. Apa yang lebih menarik di Bahagian Kedua ini, penulis mengajak kita belajar bersyukur daripada buah tembikai. Lebih menarik lagi, penulis berkongsi rahsia dengan kita tentang keajaiban unta yang menjadi binatang tunggangan Nabi. Membaca buku ini akan membawa kita berkenalan dengan lebih rapat dan akrab dengan pokok, cicak, lalang, pisang, kelapa, padi, rumput, langit dan helang. Lebih menakjubkan, kita didedahkan dengan kisah mengenai masa dan perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.


“Bahagian Ketiga buku ini pula memuatkan mutiara-mutiara kata yang berharga yang menggambarkan kebijaksanaan manusia sepanjang zaman. Menurut penulis, kejayaan yang dicapai hari ini mungkin akan menjadi musuh pada kejayaan esok. Oleh itu, kita perlu sentiasa beringat dan jangan lupa dengan bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Maka itu, belajarlah merendahkan diri mengikut resmi padi. Makin tunduk makin berisi atau makin berisi semakin tunduk ke bawah.


“Kata-kata hikmat yang paling power di dalam bahagian ini yang benar-benar meninggalkan kesan ke dalam sanubari saya adalah ‘Jangan pulang sebelum berangkat’. Untuk mengetahui lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan kata-kata itu, eloklah membacanya sendiri. Itulah Pahrol Mohd Juoi yang saya kenal, yang memiliki daya nalar yang tajam tetapi sentuhannya cukup lembut sehingga mampu menusuk kalbu dan mengugah akal untuk melihat kebenaran dan kebesaran Ilahi.”


Haji Ann Wan Seng ialah Setiausaha Agung Kehormat MACMA dan merupakan penulis buku bestseller Rahsia Bisnes Orang Cina.

2 comments:

cikgu k.a said...

Pagi tadi saya telah membeli buku Nota Fikir untuk Zikir.Sebenarnya bukan niat saya untuk mencari apatah lagi membelinya. Cuma apabila terpandang buku tersebut yang berada di rak paling atas dan dari jauh ,saya terasa pernah membaca sesuatu tentang buku tersebut. Alhamdulillah,berbaloi saya membeli buku tersebut. Ada artikel yang pernah saya baca...rupanya dalam majalah Solusi. bahasa simple tapi isinya padat dan meninggalkan kesan yang mendalam. Moga ramai lagi orang akan membacanya.Amin!

Zakaria said...

Moga terus memberi manfaat dan dapat diperpanjangkan apa yang baik daripada buku itu.