BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, July 11, 2011

Kita Diuji Dengan Apa Yang Kita Tulis

Semalam pertama kali saya mengendalikan bengkel penulisan buku motivasi Islami. Dalam satu sesi ketika menerangkan mengenai motivator sebagai murabbi (pendidik), saya menyenaraikan lima perkara. Salah satu daripadanya, "Penulis diuji dengan apa yang ditulisnya."

Spontan seorang peserta, penulis yang telah menghasilkan tiga novel bersama Galeri Ilmu, merespons. Dia bertanya kenapa saya menulis begitu, kerana ia selari dengan apa yang dia sendiri alami. Sewaktu dia menulis mengenai satu perkara baik, dia terasa Allah mengujinya. Seolah-olah Allah menegurnya secara langsung, sebagaimana yang Allah firmankan, "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (As-Saf: 2-3)

Kebetulan dua hari sebelumnya saya berkongsi perkara itu dengan sifu saya, Sdr Pahrol Mohamad Juoi. Seperti biasa, lokasinya ialah sebuah restoran di sekitar Lembah Klang. Kami solat Asar di masjid dan kemudian menuju ke restoran berdekatan untuk minum petang sambil berbincang.

Satu ketika Sdr Pahrol tertanya-tanya kenapa setiap kali dia menulis mengenai satu-satu kebaikan, Allah mengujinya dengan perkara baik yang ditulisnya itu. Misalnya, apabila dia menyarankan satu-satu perkara baik melalui tulisan, terasa Allah semacam uji dia sama ada dia sendiri mampu buat perkara itu atau tidak.

Akhirnya dia menemui satu kesimpulan. "Apabila kita mengingatkan orang lain melalui tulisan kita, Allah mengingatkan kita balik."

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan peserta bengkel saya, agar menulis perkara baik yang kita sudah buat, sedang buat atau akan buat. Sekurang-kurangnya walaupun kita belum mampu buat, kita ada cita-cita untuk melakukannya.

Memang kita perlu bimbang kalau-kalau firman Allah di atas terkena pada diri kita. Sebab itu, seorang yang berasa dirinya ada bakat menulis, patut mengembangkan bakatnya dan melatih kemahiran menulisnya bersama niat dan tujuan yang jelas. Kerana, bersama bakat dan kemahiran yang Allah berikan itu ada tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunaikan.

3 comments:

Jamilah Mohd Norddin said...

Assalamualaikum, ustaz..

Setuju dengan kenyataan ini. Allah akan menguji dengan apa yang kita tulis... dan juga apa yang kita cakapkan.

ahmadyani said...

Maksudnya penulis mesti buat kemudian tulis atau tulis kemudian buat.

Zakaria said...

Waalaikumussalam.

Lahaulawala quwwata illabillah. Tiada daya upaya kita melainkan dengan pertolongan Allah jua.

Sama ada kita menulis apa yang sudah dibuat atau akan dibuat, selalunya memang Allah uji. Sebaik-baiknya buat dulu, kemudian tulis, seperti dicontohkan oleh Rasulullah SAW.