BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, February 25, 2009

Apabila Penulis Kehilangan Momentum

Memang sukar apabila kita kehilangan momentum. Bayangkan seorang pemain sukan yang sudah meninggalkan gelanggang buat beberapa minggu, malah beberapa bulan, lalu hendak turun semula ke gelanggang. Perlu ada beberapa sesi ‘warm up’, baru boleh mendapat momentum semula.

Menulis juga begitu. Apabila kita meninggalkan satu-satu projek – penulisan buku, novel atau skrip – buat beberapa minggu, kita akan berasa kehilangan momentum untuk menyambung kerja menulis.

Ini adalah pengalaman benar beberapa orang penulis yang menulis dengan Galeri Ilmu.

“Saya sebenarnya kehilangan momentum. Keletihan...tetapi mahu digagahkan juga untuk SIKIT sahaja lagi bahagian yang berbaki,” beritahu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis buku Aku Terima Nikahnya yang bakal muncul dengan buku terbarunya dalam siri Travelog Tarbiah.

Dua orang novelis Galeri Ilmu juga menghadapi cabaran yang sama. Seorang daripadanya kehilangan momentum selepas berehat kerana melahirkan cahayamata. Seorang lagi pelajar IPT, yang menghadapi cabaran dengan komitmen dalam program dakwah dan tuntutan pengajian.

Apakah ada cara untuk mengatasi cabaran kehilangan momentum ini?

Saya masih mencari-cari jawapannya.

Apabila penulis sudah meninggalkan satu-satu projek penulisan untuk sekian lama, susah untuk menyambung projek yang sama dalam ‘mood’ yang dulu. Semacam sudah kehabisan stamina untuk memfokus pada projek itu. Tetapi ini tidak bermakna pena sudah tumpul. Seperti Ustaz Hasrizal, beliau cuma keletihan untuk menyambung projek yang tergendala walaupun sudah hampir sampai ke penghujung, namun beliau masih tetap produktif menulis di blognya.

Buat masa ini, saya cuma terfikir satu cara yang boleh dicuba untuk mengatasi cabaran kehilangan momentum menulis: Lapangkan masa untuk membaca dan meneliti semula tulisan-tulisan yang sudah berjaya disiapkan. Jika ia berupa novel yang terdiri daripada 20 bab tetapi terhenti di bab ke-15 maka penulis perlu membaca semula dari bab awal hingga bab 15.

Baca dan hayati semula perjalanan cerita. Hayati semula watak-watak. Mungkin dengan ‘warm up’ cara ini, penulis akan memperolehi semula sentuhan yang dulu, sebelum meninggalkan projek itu. Mungkin akan timbul rangsangan baru untuk menyempurnakan kerja menulis novel itu.

Wallahu a’lam.

3 comments:

Anonymous said...

Salam Sdr,
Bagaimana pula dgn penulis yg baru kali pertama nak berjinak2 dgn penulisan, tetapi tidak pasti dgn gaya bahasa sesuai yg harus diterapkan?

Anonymous said...

Wkmsalam Sdr Tok Canang,
Gaya bahasa ini disesuaikan dengan 'pentas' dan audien. Maksudnya, kalau menulis untuk pojok (kolum) dalam majalah misalnya, ikut gaya bahasa pojok (macam pojok Kemudi Hati dalam Anis). Ikut kesesuaian.
Menulis tesis tentu tak sama gaya bahasanya dengan menulis buku.
Yang penting bagi saya, bahasa itu mesti mudah. Ayatnya mudah, istilah yang digunakan pun mudah. Banyakkan guna kata kerja (eg. memandu) berbanding kata nama (eg. pemanduan). Biasanya dalam tesis, orang suka guna kata nama. Ia jadi berat.
Wallahu a'lam

Hasrizal Abdul Jamil said...

Assalamualaikum Ustaz.

Terima kasih atas dedikasi entri ini. Saya benar-benar kehilangan momentum untuk melangsaikan Travelog Tarbiah itu, bermula dari kesibukan urusan pindah rumah, semua buku terpenjara di dalam kotak dan bertukar laptop. 3 faktor itu sangat mengganggu. Walaupun saya terus menulis di blog, namun dapat dikesan kemerosotan kualitinya, sekurang-kurangnya di mata penulis sendiri yang kehilangan 'rasa' dalam penulisan.

Baru seminggu dua ini saya bertatih untuk bangkit semua. Dan rasa-rasanya seperti mahu mengajukan manuskrip buku sambungan Aku Terima Nikahnya yang sudah memiliki 40 bab untuk disunting.

Masih ada ruang?