Esok, Sabtu, saya akan mengendalikan satu bengkel, insya-Allah. Ini sesi bertemu calon-calon penulis kali keempat yang saya kendalikan sejak Jabatan Buku GISB ditubuhkan pada pertengahan 2008. Sesi-sesi yang lepas saya namakan sesi taklimat walaupun saya ada berkongsi tip dan panduan menulis novel, khususnya novel remaja Islami.
Dalam sesi kali ini, saya akan berkongsi elemen-elemen yang perlu ada dalam sebuah novel Islami. Dijangkakan tidak lebih 15 orang yang akan hadir (berdasarkan senarai nama yang mendaftar). Mereka termasuklah penulis yang sudah menghasilkan novel sulung masing-masing untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu.
Dalam sesi-sesi sebelum ini, penyertaan dihadkan kepada 10 orang. Saya mengambil kaedah Puan Ainon dalam melahirkan penulis. Sesi seperti ini adalah kaedah praktikal yang telah dibuat oleh Puan Ainon, maka atas saranan beliau juga, saya meredah liku yang sama. Bukan semua yang datang itu akan benar-benar menulis, tetapi sesi seperti ini memang berjaya melahirkan calon penulis yang akhirnya dapat menghasilkan manuskrip novel yang mencapai standard boleh terbit.
Ada di kalangan yang hadir itu memang sudah mempunyai idea cerita atau sinopsis. Mereka mengambil peluang daripada sesi seperti ini untuk mengajukan idea cerita itu untuk dinilai. Selepas dinilai, mereka berasa lebih yakin untuk mula menulis. Mereka menjadikan maklum balas dan cadangan-cadangan yang diberikan oleh editor sebagai pembakar semangat. Akhirnya, mereka berjaya menyempurnakan kerja menulis novel sulung mereka.
Sesi taklimat dan bengkel mencapai matlamatnya apabila berlaku hubungan saling percaya antara editor dan penulis. Penulis percaya kepada editor dalam mendapatkan bimbingan menulis. Editor percaya kepada kemampuan penulis untuk menulis.
Ikatan saling percaya ini perlu dikekalkan. Ikatan ini akan lebih kukuh apabila penulis dan editor berkongsi misi yang sama. Sama-sama mahu mendapat keredhaan Allah. Sama-sama mahu menjadikan kerja menulis dan kerja membimbing penulis sebagai ibadah.
2 comments:
syukran dan terima kasih atas bengkel dan taklimat yang diberikan... dengan ilmu yang diberikan, insyaallah saya akan menggunakan ilmu dalam bengkel tersebut bagi menyuntik elemen-elemen islam dalam novel...
(baru nak berjinak-jinak)
MUHAMMAD HASIF AZIZAN
Sama-sama Sdr Hasif. Saya sudah kunjungi blog saudara. Alhamdulillah, saudara ada bakat yang boleh dikembangkan. Jika ada proposal atau sinopsis novel yang mahu diterbitkan bersama Galeri Ilmu, silalah ajukan kepada saya.
Post a Comment