BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, November 23, 2009

Kritikan Sosial vs Karya Dakwah

Banyak sudah lahirnya karya fiksyen yang membawa pendekatan kritikan sosial, termasuk yang dilabel sebagai karya Islami atau bergenre dakwah. Karyawan melihat kebobrokan dalam masyarakat lalu mengambil sikap menegur melalui karyanya. Oleh kerana sifatnya menegur atau mengkritik sesuatu yang buruk, karya yang dihasilkan tidak dapat lari daripada memaparkan keburukan-keburukan itu.

Kepada pihak yang dikritik, ia menimbulkan kesan pelbagai – pedih, terkejut, malah melenting. Ini tidak menghairankan, kerana dalam pendekatan kritikan, pihak yang dikritik diasak dan dituding satu persatu kesalahan dan keburukannya.

Lain halnya dengan pendekatan dakwah dan tarbiah. Pendekatan dakwah dan tarbiah lebih lunak. Pihak yang didakwahi diajak kepada kebaikan, diberi panduan, malah ditunjukkan model. Caranya walaupun lunak, impaknya besar kepada hati dan fikiran. Pendekatan ini lebih banyak memaparkan kebaikan berbanding keburukan. Ia bukan pendekatan mengasak dan menuding kesalahan, tetapi mengajak berfikir, menjernihkan minda, memaparkan perkara-perkara baik (makruf), menunjukkan alternatif yang baik, dan melembutkan hati.

Filem Perempuan Berkalung Sorban (PBS) adalah contoh karya yang membawa pendekatan kritikan sosial. Saya sempat menontonnya dalam bengkel penulisan skrip drama Islami yang dikendalikan oleh Encik Zabidi Mohamed (penerima anugerah Penulis Skrip Drama Islam TV Terbaik AMIN 2008 untuk drama Ihsan). PBS dipertontonkan kepada peserta bengkelnya sebagai bahan kajian.

Memang sukar membicarakan sebuah karya kritikan sosial dari aspek gagasan dakwah dan tarbiah (pendidikan Islam). PBS memang bukan sebuah filem dakwah atau filem Islami walaupun memilih latar cerita pondok pengajian (pesantren) dan memaparkan kehidupan keluarga kiai. PBS tidak lain hanyalah sebuah filem yang mengkritik pendekatan ekstrim pesantren, golongan kiai dan bawaan kitab kuning. Malah turut mengkritik pandangan yang dianggap ‘salah’ dalam menafsir kedudukan wanita dalam Islam.

Untuk dilihat sebagai karya Islami, filem harus dilihat dari dua aspek – isi dan bentuknya. Content and substance. Isi dan cara menyampaikannya harus selari. Perlu ada keseimbangan (tawazun) dalam mengadun kedua-duanya. Jika isinya dakwah, bentuknya membawa elemen dakwah juga. Di tangan karyawan filem yang membawa misi dakwah, wadah filem sesuai ditonton oleh semua golongan, tua dan muda, Muslim dan non Muslim, kerana ia memberi impak positif. Babak-babak di dalamnya menyenangkan untuk ditonton. Tidak ada babak yang dilabel ‘untuk tontonan dewasa saja’.

Impak positif kepada khalayak (mad’u) adalah matlamat yang hendak dicapai dalam dakwah. Beberapa babak dalam PBS tidak sesuai untuk tontonan, terutama untuk kanak-kanak, kerana pendekatan ‘showing’ dalam novel dipindahkan kepada ‘showing’ dalam medium visual tanpa tapisan. Khususnya paparan babak ranjang. Dalam novel, ia masih ‘showing’ yang dapat diterima, walaupun dosnya perlu juga dikawal. Tetapi dalam filem, ‘showing’ yang tidak selektif ini mencacatkan isi dan bentuk.

Adaptasi novel ke filem perlu mengambil kira soal bentuk. Kedua-duanya wadah yang berbeza bentuk. Apabila satu-satu babak negatif dalam medium teks (novel) dipindahkan kepada medium visual (filem), timbul pertimbangan sama ada babak itu wajar dipaparkan (pendekatan ‘showing’) atau diberitahu saja (pendekatan ‘telling’) kepada khalayak.

Isi adalah intipati kepada keseluruhan halatuju karya. Dalam karya Islami atau karya dakwah, isi ini harus dilihat pada nilai yang mahu ditanam kepada penonton. Ia tidak lari daripada empat nilai yang menjadi platform: nilai tauhid, nilai syariat, nilai adab, dan nilai akhlak. Dan cara memaparkannya juga harus betul, sesuai dengan nilai yang mahu disuntik.

Dalam PBS, ada nilai-nilai murni Islam yang cuba diselitkan, tetapi nilai-nilai buruk juga sangat dominan dan sangat ketara. Nilai-nilai buruk dalam karya akan menjadi santapan pemikiran bawah sedar dan memberi kesan negatif pada hati (hati adalah sasaran utama dakwah).

Ada babak dan dialog yang memaparkan kekeliruan tauhid dan pelanggaran syariat, yang tidak diberi penjelasan atau dibetulkan. Mengambil kira bahawa filem ini bakal ditonton oleh khalayak yang luas, termasuk para ‘dummy’ Islam, babak dan dialog ini boleh memberi impak negatif yang kekal. Babak Khadori bersunyi-sunyi dengan isteri orang (Annisa) adalah satu pelanggaran syariat oleh mantan santri dan lulusan agama. Pasangan kekasih itu bukan hanya melanggar peraturan pesantren dan peraturan kiai, malah melakukan pelanggaran syariat. Annisa sampai ke tahap meluahkan tekanan perasaannya bersuamikan lelaki zalim, dengan mengajak Khadori berzina. Akibat pelanggaran itu, mereka tertangkap khalwat, malah dituduh berzina.

Akibat itu boleh ditafsir sebagai balasan kepada pelanggaran itu – bahawa apabila lelaki dan perempuan bukan mahrim berduaan, ada makhluk ketiga yang akan menghasut kepada kejahatan, lalu wajarlah pelakunya dihukum – tetapi tidak semua khalayak dapat membaca tafsiran ‘subtext’ (tersirat) ini. Babak itu akan dilihat secara polos sebagai membenarkan berduaan, kerana dua pelakunya terdidik dengan agama dan semestinya faham agama. Tidak adanya babak dan dialog yang secara jelas membetulkan kesilapan watak-watak itu, adalah satu bahaya kepada khalayak dari kalangan 'dummy' Islam.

Satu dialog yang membawa unsur menyimpang lebih berkesan dibetulkan dengan dialog juga. Apabila Annisa dalam babak-babak awal filem ini berkata, “Islam tidak adil pada perempuan”, perlu ada satu dialog lain di hujung cerita yang membetulkan kekeliruan itu. Membetulkan kekeliruan pada dialog dengan menggunakan visual semata-mata tidak memadai.

Saya melihat pendekatan kritikan sebagai jalan akhir selepas pendekatan dakwah dan tarbiah dalam mengubah manusia. Kritikan mampu membuat orang berfikir, tetapi kelemahan kritikan adalah apabila tidak ada contoh baik yang diketengahkan sebagai bandingan. Dalam filem ini, yang dikritik adalah institusi pesantren, golongan kiai dan kitab kuning. Kitab kuning yang menjadi pegangan para kiai digambarkan membawa nilai kolot dan anti sosial, seperti meminggirkan wanita dan menyokong autokrasi lelaki. Tidak ada contoh-contoh baik pesantren yang dibesarkan, sekali gus menjadikan institusi pesantren ‘kecil’ di mata penonton.

PBS diadaptasi dari novel dengan judul yang sama karya Abida El Khalieqy. PBS adalah novel kedua Abida yang mengkritik pesantren dan kepimpinan kiai, sekali gus membawa tema feminis dan mengkritik dominasi lelaki, selepas novelnya Geni Jora. Cuma kali ini, kritikannya lebih keras. Penulisnya menyatakan sayang kepada institusi pesantren – seperti diluahkan dalam satu wawancara – tetapi mengkritiknya hingga rebah.

Niatnya murni, namun kerana beliau memilih pendekatan kritikan, bukan pendekatan dakwah, filem ini menimbulkan kemarahan golongan agama terutama para pendukung pesantren dan pejuang pelestarian kitab kuning.

Pendekatan kritikan mampu membawa khalayak menjauhi keburukan, tetapi kurang berkesan membawa khalayak mendekati kebaikan. Dalam PBS, tidak banyak – kalaupun ada – contoh baik yang diketengahkan sebagai alternatif kepada keburukan yang dinisbahkan kepada gaya kepimpinan autokrat ala pesantren. Ia lebih memaparkan sisi negatif pada institusi pesantren. Khalayak dibawa menolak keburukan pesantren, tidak dibawa menerima kebaikannya.

Dalam filem atau drama, benda mati adalah juga karakter. Dalam PBS, pesantren adalah karakter yang menggerakkan cerita. Apabila yang dipaparkan lebih kepada kudis-kudisnya, karakter pesantren itu jatuh ke tahap antagonis yang hina.

Saya sudah melihat kritikan halus kepada institusi pesantren ini lewat novel trilogi Makrifat Cinta garapan Taufiqurrahman Al-Azizy. Melalui PBS, kritikan ini diluahkan dalam nada yang hampir sama, cuma dengan isi yang berbeza.

Mungkinkah akan lahir sebuah karya yang mampu mengangkat semula institusi pesantren sambil membetulkan kepincangan yang ada dengan cara yang lebih berhikmah? Karya yang mampu memberi karakter protagonis kepada pesantren.

4 comments:

al-misk said...
This comment has been removed by the author.
al-misk said...

Assalamualaikum wbt..
apabila melihat tajuk filem 'perempuan berkalung sorban' di beberapa buah entry saya jd nak tahu ttg kisahnya..

dan apa yg saudara zakaria ulas memang tepat.. ia sebuah karya yg mengkritik..

kemudian.. beberapa babak yg xsesuai utk tontonan umum ditunjukkan tanpa bertapis.. memang benarlah ye'showing' dalam novel tidak sama dan tidak perlu diterjemahkan dalam 'filem'... saya melihat perkara tersebut hanya perlukan 'telling' sahaja seperti yg saudara sebutkn.. itu aspek negatif yg saya nampak boleh memberi impak kpd penonton.

terima kasih atas ulasan..
wallahu a'alam

Unknown said...

Jom sertai komuniti paksi.net!

PERSAUDARAAN KOMUNITI SISWA

Dengan penampilan yang lebih anggun dan ceria

- artikel tarbiyah, cerpen dll
- muat turun ebook, mp3, buletin ar-risalah
- dengar radio online (IKIM dan Nasyid fm)
- forum
- submit link blog anda
- tonton koleksi video menarik
- dapatkan kartun, wallpapers dll
- hantar karya anda (kartun, wallpaper, artikel)
- tinggalkan testimoni anda

Jom bersama membina generasi baru. Semoga usaha ini barakah.

http://paksi.net

muhammad fakhruddin said...

Assalamualaikum Tuan,
pertama kita akui bahawa terdapat adegan yang kurang sesuai ditonton dalam PBS.Begitu juga dengan beberapa statement dan perlakuan yang bercanggah dengan syariat atau aqidah.

Namun,sikap melulu meletakkan label tertentu pada filem ini bukanlah sesuatu yang rasional pada saya.

Sebuah karya,biasa menghidang berlapis makna.Terkadang yang cepat ditangkap pembaca/ penontonnya hanya 1-2 lapis.

Ya,ia karya mengkritik tetapi saya fikir belum dapat membina.