BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, March 19, 2010

Pesta Buku Terbesar Bermula Hari Ini


Hari ini, 19 Mac 2010, pesta buku terbesar di Malaysia iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC, bermula.

Mulai 10 pagi hari ini, buat kali ketiganya Galeri Ilmu Sdn. Bhd. menemui khalayak pembaca secara langsung di pesta buku yang bakal berlangsung selama 10 hari (berakhir Ahad, 28 Mac).

Penampilan pertama Galeri Ilmu di PBAKL pada 2008 menyuntik semangat baru kepada seluruh tenaga kerja syarikat ini apabila bahan-bahan bacaan berunsur Islam yang Galeri Ilmu terbitkan mendapat sambutan menggalakkan. Sambutan yang tambah memberangsangkan dapat dilihat di PBAKL 2009 walaupun penulis-penulis Galeri Ilmu bukan nama besar dalam dunia penulisan tanah air dan ekonomi sedang gawat.

Kali ini Galeri Ilmu tampil dengan sajian lebih banyak judul baru. Salah satu sektor yang Galeri Ilmu ceburi secara serius adalah penerbitan novel-novel Islami. Dalam masa setahun ini, Galeri Ilmu menampilkan 12 novel iaitu empat novel dewasa dan selebihnya novel remaja serta awal remaja. Ini menjadikan kesemuanya 20 novel diterbitkan dalam masa dua tahun.

Alhamdulillah, khalayak sudah mula mengenali Galeri Ilmu sebagai penerbit novel-novel Islami. Maklum balas yang diterima daripada para pembaca novel-novel Galeri Ilmu tidak mengecewakan.

Sesungguhnya para pembacalah yang akan menilai, manakala di pihak kami, kami berusaha memenuhi hasrat untuk melahirkan novel-novel Islami yang sedap dibaca, menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul atau disebut sebagai Bahasa Melayu Tinggi, istimewa penampilannya dan berkesan nilai didikannya.

Jumpa anda di booth Galeri Ilmu, insya-Allah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Galeri Ilmu mendapat tapak booth di ruang legar (satu aras dengan pentas).

Oh ya, jangan lupa dapatkan buku saya, Secubit Halwa Penawar Jiwa: 100 Kisah Kehidupan. Saya jangka, pada 24 atau 25hb, buku saya akan mula dijual. Buku setebal 332 halaman ini berharga RM20.

Saya juga bekerjasama dengan sasterawan Haji Ali Haji Ahmad (Nora) menghasilkan buku Di Tengah Kota: Memoir Sasterawan Nora, yang diberi kata pengantar oleh Pahrol Mohd Juoi, manakala saya sendiri menulis nota-nota pinggir. Buku ini juga dijual dengan harga RM20. Baca coretan Pahrol dalam Memori Untuk Kakek di genta-rasa.com.

5 comments:

ازلينا ااحمد‬‎ said...

Terima Kasih

Peminat Hilal Sabah said...

salamu'alaikum tuan,

kenapa buku Hilal Asyraf keluar sangat lewat?

Saya rasa sangat kecewa apabila sampai pada hari Ahad, tetapi Novel Sinergi masih belum keluar.

Saya duduk di Sabah. Rasa perjalanan saya ke Semenanjung tempoh hari sangat sia-sia.

Hilal juga menyatakan kelukaannya pada orang seperti saya di websitenya.

harap pihak encik dapat lebih bertanggungjawab selepas ini.

Zakaria said...

Waalaikum salam Peminat Hilal Sabah,

Mohon maaf atas kelewatan keluarnya novel Sinergi yang menyusahkan tuan. Tuan datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan Sinergi, maka tentulah tuan rasa perjalanan itu sia-sia kerana gagal mendapatkannya.

Semoga Allah tetap menilai perjalanan tuan itu sebagai ibadah. Dan moga-moga tuan akan dapat memiliki Sinergi selepas ini secara online. Sinergi sudah siap dicetak dan tiba di booth Galeri Ilmu petang semalam.

kakti said...

Asm,

Bukan saja buku saudara Hilal tetapi juga buku Ustaz Hasrizal.
Satu buku ada dihari pertama Murabbi Cinta tetapi buku kedua Secangkir Teh baru ada di GI pada hari Ahad pagi. Ini belum termasuk buku baru Ustaz Pahrol yang tidak diketahui bila ada di GI sedangkan banner ada diwar warkan buku-buku terbaru keluaran GI.
Harap pihak GI lebih berhari-hati bila memaklumkan pada orangramai buku-buku baru dipasaran tetapi bukunya masih tiada di gerai GI.
Sikap ini memang mengecewakan para pengunjung yang berkehendakkan buku-buku tersebut kerana ianya seolah-olah hanya gimmick untuk melakukan buku-buku lain di GI dan bukannya buku-buku yang baru diterbitkan.

Zakaria said...

Waalaikum salam Norhayati,

Baik, terima kasih atas komen dan pandangan, juga kerana mengikuti perkembangan Galeri Ilmu. Komen-komen itu akan diambil sebagai bahan muhasabah, insya-Allah.