BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, April 14, 2010

Menulis Buku Kisah Benar

Buku kisah benar (true story book) adalah antara genre penulisan yang menarik untuk dihasilkan. Apabila menulis buku kisah benar, penulis mempunyai banyak ruang untuk meruntun emosi pembaca. Ia boleh membuat pembaca terbawa-bawa dengan perasaan sedih, terharu, hiba, marah, gembira, insaf dan sebagainya. Ini salah satu kelebihan buku kisah benar.

Buku kisah benar juga mampu memberi motivasi dan inspirasi kepada pembaca. Impak motivasi dan inspirasi daripada buku kisah benar mungkin lebih kuat daripada sesetengah buku motivasi biasa. Minda, jiwa dan emosi pembaca dirangsang melalui episod demi episod kisah yang dipaparkan. Ibrah atau pengajaran daripada kisah benar itu mudah melekat di minda dan jiwa, kerana ia bukan lagi berbentuk saranan tetapi berbentuk amali.

Contoh buku-buku kisah benar tempatan adalah Arqam: Tersungkur Di Pintu Syurga dan Maunah: Kebenaran Yang Sebenar oleh Zabidi Mohamed, Air Mata Ibu (Soo Cham) yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan judul A Mother's Tear, Seteguh Tekad (Dr. Sidek Baba), Travelog Haji: Sempadan Iman dan Travelog Dakwah, (Prof. Mohd Kamil), Travelog Seorang Da'i (Abdul Rahman Mohamed) dan Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah (Hasan Suyut).

Menulis buku kisah benar memerlukan kemahiran tersendiri. Buku seperti ini menuntut penulis bermain dengan emosi dan sedikit imaginasi, tetapi dalam masa yang sama cermat dengan fakta dan maklumat.

Menulis buku kisah benar yang berkaitan dengan pengalaman sendiri adalah satu kelebihan. Apabila Saudara Hasan Suyut diminta menulis perjalanan hidup beliau dan isterinya membesarkan seorang anak istimewa dari saat anak itu dilahirkan hingga si anak berumur lapan tahun, beliau mengambil masa tiga bulan untuk menulisnya.

Dalam tempoh tiga bulan itu, beliau mengingat semula perjalanan hidup mereka sekeluarga selama lapan tahun sejak kelahiran anak istimewanya Atiq Wazif - insiden yang berlaku sepanjang tempoh itu, dialog-dialog yang diucapkan, orang-orang yang muncul dalam hidup mereka dan fakta-fakta yang berkaitan. Isterinya Cikgu Dora banyak membantu beliau mengingat semula fakta-fakta.

Menulis kisah benar melibatkan perjalanan hidup orang lain memerlukan siri temubual dengan orang yang kisahnya hendak ditulis. Katalah kita hendak menulis kisah perjalanan hidup seorang isteri yang menempuh kehidupan getir apabila suaminya diserang strok hingga terlantar. Si isteri membawa suaminya mencuba pelbagai kaedah rawatan sehingga akhirnya si suami beransur pulih. Daripada terlantar di katil, kini sudah boleh berjalan. Daripada tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap seperti biasa.

Pilihan terbaik adalah si isteri sendiri yang menulis kisahnya. Tetapi si isteri tidak mampu dan tidak berkelapangan menulis, maka dia memerlukan seorang penulis untuk menuliskan kisahnya. Kita namakan si isteri dalam kisah ini sebagai Puan A. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh penulis kisah benar seperti ini:

1. Dapatkan persetujuan Puan A untuk membenarkan kisahnya dibukukan.

2. Bincangkan pembahagian royalti yang akan diterima daripada penerbit. Misalnya, royalti akan dibahagi dua dengan kadar 70 peratus untuk penulis, 30 peratus untuk Puan A.

3. Bincangkan isi buku dan rangkakan pecahan bab. Misalnya, bab pertama dimulakan dengan babak Puan A berbincang-bincang dengan suaminya tentang rancangan untuk pergi bercuti bersama anak-anak sebelum si suami diserang strok. Bab kedua menceritakan detik demi detik pada hari si suami kena strok, dari menjelang Subuh dan kesibukan awal pagi ketika anak-anak hendak ke sekolah hinggalah saat diserang strok.

Bagaimanapun, pecahan bab ini tidaklah muktamad. Ia hanya untuk memudahkan Puan A bercerita. Susun pecahan bab ini mengikut kronologi. Tetapi akhirnya nanti, mungkin bab-bab perlu disusun semula. Susunan secara kronologi hanya untuk memudahkan lagi Puan A bercerita kerana beliau dapat memfokuskan ceritanya pada satu-satu insiden mengikut urutan ia berlaku.

4. Rancang kerangka masa untuk mengadakan sesi temubual dan menyiapkan kerja menulis. Misalnya, tiga bulan.

5. Adakan siri temubual dengan Puan A dan juga dengan suaminya. Seperti juga dalam mana-mana temubual, terlebih dahulu penulis mesti mengenali responden. Kenali Puan A dan suaminya lebih dekat. Ketahui latar belakang suami isteri ini, nama dan umur anak-anak mereka, kerjaya mereka dan sebagainya. Perkara-perkara dapat membantu penulis memahami apa yang diceritakan dalam temubual dan juga membantu penulis untuk mencelah dengan pertanyaan. Misalnya, penulis dapat bertanya apa yang Ismail (contoh nama anak Puan A) cakap pada ibunya waktu mengetahui ayahnya diserang strok.

Dalam temubual, Puan A akan bercerita, disokong oleh suaminya. Penulis akan bertanya itu ini untuk memastikan aliran cerita kemas dan jelas, melibatkan apa yang berlaku, dialog, latar tempat dan latar suasananya. Dengan sokongan imaginasinya, penulis akan dapat membayangkan atau memvisualkan apa yang sebenarnya berlaku. Penulis juga akan tahu di mana dia patut mencelah untuk bertanya lanjut supaya cerita menjadi lebih jelas dan lengkap faktanya.

6. Rakaman temubual itu dicatat dan ditulis semula. Selepas ditulis, berikan salinannya kepada Puan A untuk beliau semak dan buat tambahan yang perlu. Penulis juga perlu cadangkan tambahan yang diperlukan. Misalnya, masukkan dialog anak-anak dengan Puan A atau dialog sesama sendiri pada hari ayah mereka diserang strok.

7. Dalam sesi-sesi temubual, biarkan Puan A bercerita tanpa mengikut urutan. Walaupun begitu, pada satu-satu sesi fokuskan pada satu-satu babak dalam kehidupannya yang Puan A rasa lebih senang untuk diceritakan. Jika isi buku yang dirancang mengandungi 14 bab misalnya, biarkan Puan A meluahkan isi cerita untuk mana-mana bab tanpa mengikut urutan.

8. Fakta dan maklumat tambahan boleh ditanyakan saja melalui panggilan telefon, sms atau e-mel. Fakta tentang penyakit strok boleh dicari dengan bantuan Google dan sumber lain, untuk menguatkan cerita.

9. Setelah keseluruhan kerja menulis dapat disiapkan mengikut tempoh yang dirancang, penulis dan Puan A serta suaminya perlu menyemak semula tulisan itu. Pastikan tidak ada perkara yang tertinggal atau terlepas pandang. Anak-anak Puan A yang sudah besar juga boleh dilibatkan dalam kerja menyemak. Mungkin ada fakta yang si anak ingat tetapi Puan A terlupa memasukkannya dalam cerita itu.

10. Pastikan ada nilai positif yang pembaca dapat kongsi dengan membaca kisah benar itu. Misalnya, pastikan kisah itu menyerlahkan nilai pengorbanan, ketaatan, kesetiaan dan ketabahan seorang isteri, serta pergantungan hati suami isteri ini dengan Allah.

Buku kisah benar yang ditulis dengan sepenuh jiwa dan teliti akan ada tempat di hati pembaca. Walaupun kisahnya biasa-biasa dan melibatkan orang biasa-biasa juga, ia mungkin memaparkan sifat-sifat luar biasa yang akan mengocak emosi dan memberi bekas di hati pembaca.

4 comments:

MARSLI N.O said...

Salam Sdr Zakaria: Saya tertarik dengan catatan Sdr yang ini "Walaupun kisahnya biasa-biasa dan melibatkan orang biasa-biasa juga, ia mungkin memaparkan sifat-sifat luar biasa yang akan mengocak emosi dan memberi bekas di hati pembaca."

Justeru numpang tanya. Kok bisa kisah biasa dari orang biasa seperti saya, untuk pertimbangan?

Zakaria said...

Walaikumsalam Sdr Marsli.

Sdr ada kisah yang nak dikongsi? Sudah tentu boleh dipertimbangkan. Mungkin ada ibrah pada kisah itu yang baik untuk santapan rohani pembaca. Hantarkan saja proposalnya.

Iskandar said...

Assalamualaikum Tuan Zakaria: Saya sudah membaca buku tulisan Tuan Hassan Suyut.

Bergenang air mata membaca kisah luar biasa bagaimana sebuah keluarga sanggup berkorban merantau jauh ke negeri orang semata-mata untuk memberi yang terbaik bagi anak/adik mereka.

Zakaria said...

Waalaikumussalam Tuan Iskandar,
Memang, siapa pun yang membaca buku itu (Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah) pasti akan terkesan dan tersentuh emosinya. Beliau benar-benar menulis 'dari hati'.