BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, July 8, 2011

Bakat, Minat dan Kesungguhan

Selalu saya tekankan dalam bengkel-bengkel saya bahawa seseorang itu tidak akan tahu dia ada bakat menulis atau tidak selagi dia belum menghasilkan tulisan - artikel, cerpen, novel atau buku. Hanya setelah tulisannya siap dan dia kongsikan tulisan itu dengan orang lain, barulah dia akan mendapat keyakinan diri dan menerima maklum balas berhubung dengan bakat penulisannya.

Bakat (talent) kadang-kadang hanya disedari oleh empunya diri pada lewat usia. Namun, ramai yang mula menyedarinya pada awal usia remaja lagi dan mempunyai masa yang panjang mengembangkan bakat itu. Semua bergantung pada sama ada bakat itu dilahirkan dan digilap atau tidak.

Enid Blyton hanya mula produktif menulis novel kanak-kanak dan remaja pada awal usia 40-an. Sebelum itu beliau menulis novel dewasa tetapi tidak menjadi. Bermakna, beliau hanya menyedari bakatnya menulis novel remaja dan kanak-kanak pada usia agak lewat, tetapi beliau gunakan baki usia untuk menulis sebanyak mungkin novel.

Dengan bakat, seseorang itu cepat belajar dan kuasai satu-satu kemahiran. Tinggi, sederhana atau rendah bakatnya menentukan cepat atau lambat dia menguasai bidang kemahiran itu.

Dengan hanya bakat menulis, penulis mampu mengolah tulisan dengan baik dan menggunakan bahasa yang tersusun. Bagaimanapun, penulis memerlukan bakat lain untuk menulis karya-karya fiksyen umpamanya. Misalnya, untuk menulis novel, penulis memerlukan bakat bercerita. Untuk menulis novel kanak-kanak atau novel remaja, penulis memerlukan bakat untuk bercerita kepada kanak-kanak dan remaja.

Penulis yang mempunyai bakat yang cukup tinggi mampu menulis dengan baik dalam semua genre. Bagaimanapun, dengan bakat menulis yang biasa-biasa saja pun, seseorang itu boleh menulis dengan baik apabila dia memfokus pada satu-satu genre penulisan. Dia hanya perlu kepada tiga perkara: tujuan yang jelas, minat yang mendalam dan kesungguhan.

5 comments:

ahmadyani said...

Sekali pun hanya mengenal bakat di usia lewat atau di awal usia, jangan disia-siakan. Tiada istilah lewat untuk berbuat sesuatu.

♥ Nur Hazlina Binti Mohd Fisol ♥ said...

Bersemangat membaca tulisan ini :) terima kasih...

SARIPAH BAKAR said...

berkira-kira mahu kembali menulis - novel kedua tentang anak saya, tapi masih tak tahu bagaimana mahu mulakan...

Zakaria said...

Ya, tiada istilah lewat selagi nyawa belum sampai di halkum.

Alhamdulillah, moga bermanfaat.

Puan Saripah, mungkin kerana sudah lama terhenti momentum, lalu terasa susah untuk dapat momentum semula. Namun, dengan izin Allah, tiada yang mustahil. Puan sudah 'pecahkan tembok' dengan menghasilkan novel pertama, sepatutnya lebih mudah untuk menghasilkan yang kedua dan seterusnya. Moga Allah bantu.

Anonymous said...

Dari sekolah lagi saya suka mengarang dan setiap kali siap,saya akan bukukan sendiri kisah itu degn cara saya sendiri. Berpuluh yang saya ada ketika saya telah cecah 15 tahun dan saya masih suka membacanya semula. Pada umur saya sekarang, 35 tahun, setelah sekian lama, saya rasa saya patut menulis dan terbitkan sebuah novel. Diilhamkan dari pengalaman ibu saya sendiri, sudah tentu plot dan sekuel cerita sgt indah dan lain dari yang biasa.