BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, July 13, 2011

Belajar Menulis Semalaman?

Saya tertanya-tanya, apakah ada buku yang mampu mengajar seseorang menjadi penulis dengan cepat. Misalnya, dengan mengikuti panduan daripada buku itu, seseorang dapat menjadi penulis dalam masa semalaman. Menjadi penulis 'segera'.

Memang ada teknik menulis yang dinamakan Sistem FAST, satu kaedah menulis pantas selaju berfikir. Melalui Writing FAST: How to Write Anything with Lightning Speed, Jeff Bollow mengajar kaedah sebagaimana yang diceritakan oleh tajuk buku itu sendiri - menulis apa saja sepantas kilat. FAST adalah singkatan kepada empat tahap penulisan.

Walaupun ada kaedah yang mengajar seseorang menulis dengan pantas, saya percaya tidak ada kaedah untuk melahirkan penulis segera. Untuk menulis secara konsisten dan menghasilkan tulisan-tulisan yang diterbitkan, ia memerlukan bakat dan kemahiran. Tidak ada jalan pintas untuk menjadi mahir menulis melainkan melalui latihan. Novelis bestseller Dean Wesley Smith mengungkapkan begini:

... the more you write, the better your skills become. With each story, each novel, you are telling better and better stories.

It’s called “practice” but again, no writer likes to think about that evil word.

Beliau bercakap dalam konteks novel, tetapi situasinya sama untuk semua jenis kerja menulis.

Oleh itu, untuk menjadi penulis, seseorang perlu banyak menulis. Untuk dapat menulis dengan pantas, kaedahnya boleh dipelajari tetapi ia masih memerlukan latihan. Dengarnya seperti klise tetapi tidak ada perkataan yang lebih sesuai daripada itu. Berlatih menulis. Memang mustahil untuk mahir menulis semalaman.

Dalam istilah agama, amalan yang dilakukan secara berterusan dipanggil amalan istiqamah. Allah menyukai amalan yang sedikit tetapi berterusan. Kalaulah kerja menulis diniatkan sebagai kerja baik 'kerana' Allah, maka berlatih menulis secara istiqamah adalah kerja yang terpuji di sisi-Nya.

Allah bukan menilai sejauh mana impak tulisan itu kepada pembaca tetapi Allah menilai proses menulis itu sendiri. Misalnya, Allah bukan menilai sejauh mana tulisan kita mampu memberi hidayah atau kesedaran kepada pembaca kerana itu kerja Allah. Allah menilai usaha kita menulis untuk memberi kesedaran dan membawa pembaca kepada-Nya.

4 comments:

ahmadyani said...

Buku hanya penunjuk jalan. Tindakan penulis yang istiqamah dalam menulis sahaja yang menjadikan dia hebat dalam menulis.

kay aniza said...

singgah untuk membaca dan memproleh ilmu. Terima kasih!Teruskan menulis tuan.

Anonymous said...

Alhamdulillah. Saya sangat bersetuju dengan tulisan tuan terutama perenggan yang terakhir. Ianya memberikan semangat untuk saya terus menulis, Insya-Allah.-Nor Hayati Sapii

Zakaria said...

Alhamdulillah. Kita tidak tahu sejauh mana impak tulisan kita, tetapi kita yakin, dengan 'satu ayat' yang kita sampaikan itu, Allah mungkin menjadikan ia sebab untuk seseorang mendapat hidayah.