BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, December 16, 2008

Cerewet Dengan Fakta

Sewaktu saya bertugas di Bernama, ada seorang penyunting kanan melakukan kesilapan menyunting berita yang dianggap besar. Beliau ‘membetulkan’ ejaan jenama satu produk jamu dari negara jiran yang disyaki bermasalah oleh pihak berkuasa. Beliau terkeliru dengan satu jenama lain yang sebutannya hampir sama, cuma dibezakan oleh satu huruf. Beliau mengubah ejaan jenama itu, lalu ia merujuk kepada jenama satu produk lain yang tidak ada kena-mengena dengan kes yang diberitakan itu.

Kesilapan fakta begini boleh menjejaskan reputasi satu-satu pihak. Malah turut menjejaskan reputasi badan media yang mengeluarkan berita itu.

Seorang penulis bahan berbentuk kewartawanan khususnya, mesti mengambil serius dalam soal fakta. Fakta mesti lengkap, benar dan tepat. Ini soal asas dalam kewartawanan.

Selain wartawan dan penulis, penyunting juga mesti mengambil serius soal ini kerana jika pemberita menulis fakta yang silap, penyunting dapat membetulkannya. Jika penyunting pun terlepas pandang kesilapan fakta pada bahan yang disuntingnya, dia turut bersalah kerana ‘merestui’ kesilapan itu. Malah, lebih buruk lagi, penyunting ‘membetulkan’ fakta yang sudah betul.

Wartawan adalah golongan yang disuruh cerewet dengan fakta. Baik waktu menulis, mengumpul bahan atau menemubual responden.

Ada pengamal media Barat memberi takrif ‘berita’ sebagai “history shot on the wings.” Berita adalah sesuatu yang dalam proses untuk menjadi sejarah. Ini bermakna, berita dan sejarah sama-sama mementingkan fakta.

Cerewet dengan fakta boleh membantu kita menulis (dan mengedit) dengan baik dalam apa bidang penulisan pun. Sebab itu selain bekas wartawan, ramai juga bekas peguam (terutama di Barat) yang berjaya membina nama sebagai penulis. Antara rahsianya, mereka terbiasa untuk cerewet dengan fakta dan mahir mencungkil dan menggunakan fakta untuk menyampaikan sesuatu maksud!

Buku-buku kisah benar (true account) dan biografi adalah antara karya yang meletakkan fakta sebagai asas penting. Buku sejarah sudah semestinya banyak bermain dengan fakta, termasuk buku sejarah kontemporari. Jangan anggap novel juga tidak mementingkan fakta.

Wartawan media Islam harus lebih berhati-hati dengan fakta. Ini peringatan untuk diri saya juga sebenarnya. Saya juga pernah melakukan khilaf dalam soal fakta ini. Jika tidak, masakan saya ditegur kerana silap mengeja Astana Karya sebagai Astaka Karya, serta mengeja ‘coach’ sebagai ‘couch’ dalam entri sebelum ini. Mujurlah saya mempunyai editor tidak rasmi yang membantu saya membetulkan kesilapan saya itu. Siapa lagi kalau bukan anda yang membaca blog ini. (Ini satu sebab yang kuat mengapa setiap penulis mesti percaya kepada editor.)

2 comments:

Anonymous said...

fakta yang lengkap memang penting. Sebab itulah kita perlu menulis dengan berhati-hati. Perlu ada bahan rujuk, dan perlu bertanya kepada orang yang arif

Itu baru silap tulis nama jenama. Kalau kesilapan menulis hadith atau al-quran, lagi besar musibahnya.

Anonymous said...

Ya, memang benar, tulisan boleh bawa musibah jika berlaku kesilapan dalam menulis hadis dan ayat al-Quran. Kesilapan dalam menulis fakta dan maklumat sejarah juga boleh mengundang kekeliruan. Terima kasih Sdr Hilal, saya akan melanjutkan tulisan tentang kelelitian menulis fakta (dan maklumat) ini, insya-Allah.