BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, December 1, 2008

Ayat-ayat Yang Mengalir Di Bawah Sedar

Apabila seseorang penulis mahu menulis dalam satu-satu genre penulisan, penulis itu mesti membaca banyak buku dalam genre tersebut. Gaya atau ragam bahasa yang digunakan dalam penulisan itu akan mempengaruhinya sewaktu proses menulis. Hal ini ada penjelasannya dalam teori psikolinguistik atau psikologi bahasa. Psikolinguistik adalah kajian ke atas faktor-faktor psikologi dan neurobiologi yang membolehkan manusia memperolehi, menggunakan dan memahami bahasa.
Mengikut teori psikolinguistik, bahasa yang didengar atau dibaca akan terakam dalam pemikiran bawah sedar seseorang. Apabila seseorang itu banyak membaca novel, laras atau ragam bahasa novel akan terakam dalam pemikiran bawah sedarnya. Dengan itu, apabila dia menulis novel, ayat-ayat novel akan mudah mengalir di hujung penanya.

Begitu juga apabila seseorang itu banyak membaca buku motivasi atau buku inspirasi maka dia akan mudah menulis menggunakan ayat-ayat motivasi/inspirasi.

Maka untuk menjadi novelis yang baik, penulis mesti banyak membaca novel. Untuk menjadi penulis buku pembangunan diri yang baik, penulis mesti banyak membaca buku pembangunan diri. Untuk menjadi penulis biografi yang baik, penulis mesti membaca buku-buku biografi. Begitulah juga dengan genre-genre penulisan yang lain.

Oleh itu, saranan supaya penulis banyak membaca bukanlah semata-mata kerana membaca dapat menambah pengetahuan. Ia juga disebabkan membaca dapat membantu penulis menguasai dan menggunakan gaya bahasa yang sesuai dengan genre penulisan yang diterokainya.

Apakah ada calon-calon novelis yang tidak rajin membaca novel?

Apakah ada calon-calon penulis buku motivasi atau buku inspirasi yang tidak rajin membaca buku-buku dalam kategori itu?

Apakah ada calon-calon penulis buku bisnes yang tidak rajin membaca buku-buku bisnes?

Apakah ada calon-calon penulis buku seni taman yang tidak rajin membaca buku jenis itu?
Jika ada, nyatalah calon penulis itu belum betul-betul bersedia untuk menulis dalam satu-satu genre penulisan. Dia belum melengkapkan dirinya dengan salah satu ramuan untuk dimuatkan di dalam tulisannya. Ramuan itu adalah variasi atau ragam bahasa dalam genre yang hendak ditekuninya.

2 comments:

Hilal Asyraf said...

benar. Sebenarnya bila banyak membaca, kita akan mendapat banyak idea.

Pemikiran itu sebenarnya memerlukan sumber. Ia tidak datang secara sendiri tanpa mengalir dari mana-mana. Jika kita banyak membaca, maka kita hakikatnya telah membina sumber.

Bila kita perlukan idea, maka kita cuma perlu berfikir sebentar, malah kadangkala kita tidak berfikir pun, letakkan sahaja jemari ke atas keyboard, maka sumber itu akan membuka pintunya, lalu mengalirlah idea-idea ke dalam pemikiran kita.

ini apa yang saya rasa lah

Zakaria said...

Ya saya sangat setuju, pemikiran memerlukan sumber yang boleh diperolehi daripada aktiviti membaca. Oleh itu, membaca adalah salah satu tugas penulis. Penulis akan lesu penanya apabila sudah kurang membaca.