BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, November 27, 2008

Pentingkah Bakat?

Menulis memang memerlukan bakat. Apabila ada bakat, selalunya lahirlah minat. Dari situ barulah timbul dorongan untuk mengasah bakat yang sedia ada itu. Barulah seseorang itu akan mula menulis.

Aktiviti menulis adalah aktiviti mengasah bakat yang sedia ada itu. Semakin diasah bakat menulis itu, semakin bercambah minat untuk menulis dan terus menulis.

Bagaimanapun, selalu juga bakat itu terpendam. Empunya diri sendiri tidak sedar dia ada bakat. Ada banyak juga kes seseorang itu menjadi penulis secara ‘kebetulan’. Walaupun nampak macam kebetulan, kadang-kadang itulah cara Allah mengatur takdir seorang penulis. Mula-mula timbul dorongan atau rangsangan untuk menulis selepas satu-satu insiden atau situasi. Dia pun bertindak melayan dorongan atau rangsangan itu, lalu mula menulis. Ramai yang ada pengalaman ini.

Seorang rakan penulis dulunya hanya menjadi pembantu kepada seorang penulis. Kerjanya membantu menaip dan menyusun bab-bab untuk manuskrip buku penulis tadi. Akhirnya dia sendiri terdorong untuk menulis. Apabila sudah menulis, dia rasa dia ada bakat menulis. Orang-orang yang rapat dengannya memberi maklum balas yang baik kepada tulisannya. Mereka suka membaca tulisannya. Hal inilah yang menambah lagi minat untuk dia terus menulis.

Bakat (talent) tadi akhirnya bertukar menjadi kemahiran (skill). Lama-kelamaan, selepas diasah terus-menerus, kemahiran menulis bertambah tajam. Apabila si penulis duduk menulis, ‘cair’ sahaja tulisannya mengalir. Mudah sahaja dia mengarang ayat.

Namun, ‘cair’ tulisan itu juga banyak bergantung pada idea. Idea adalah bahan mentah untuk menulis. Idea pula tidak semuanya datang begitu saja. Idea juga perlu diusahakan. Malah dalam banyak keadaan, idea juga perlu disokong. Idea perlu disokong untuk berkembang dan bercambah. Ini memerlukan ramas otak (brainstorming). Idea juga perlu disokong dengan fakta dan maklumat. Ini memerlukan penyelidikan.

Apabila tidak ada sokongan ramas otak dan penyelidikan, penulis mungkin masih mampu menulis dengan ‘cair’ tetapi tulisannya akan tandus. Nilai isi (content value) tulisannya kurang kerana idea yang dimuatkan di dalam tulisnya tidak berkembang, tidak bercambah serta tidak disokong dengan fakta dan maklumat.

Apabila dinisbahkan bakat dengan usaha ikhtiar untuk mengasah dan mengembangkannya menjadi kemahiran, maka tinggallah bakat itu menjadi sekitar 20 peratus saja. Manakala 80 peratus lagi terletak pada usaha mengasah dan mengembangkannya. Barulah seseorang itu dapat menjadi penulis yang baik berbekalkan bakat yang dia ada.

Razzi Armansur berkata, “Bukan semua orang boleh menjadi penulis -- sama dengan bukan semua orang boleh menjadi doktor, guru, penjenayah dan lain-lain lagi.”

4 comments:

Hilal Asyraf said...

saya ada pandangan tersendiri mengenai menulis ini. Hari itu ada orang bertanya, maka saya jawab dalam post saya yang bertajuk 'Menulis, bakat atau latihan'.

Jadi kalau encik lapang, bolehlah baca post itu di blog saya ya.

Saya nak lihat pandangan encik.

Semoga encik dirahmati ALLAH.

~Hilal Asyraf datang singgah~

Zakaria said...

Subhanallah, sdr menukilkannya dengan baik. Sdr memang berbakat dan sudah menguasai 'skill' penulisan pada usia muda ini, malah faham bahawa penulisan adalah alat untuk sampaikan sesuatu. 'Sesuatu' itulah yang menjadikan hasil tulisan kita berisi. Moga Allah terus memberkati tulisan sdr. Seorang yang memang berbakat dalam sesuatu bidang, dia mudah 'menjadi' dalam bidang itu. Dan Allah mengurniakan bakat yang berbeza kepada setiap orang.

saifulmujahidah said...

assalamualaikum...

kadang2 saya rasa saya tiada bakat, tapi ada minat, macam mana tu??

Zakaria said...

Waalaikumsalam,
Minat kepada perkara baik atau yang boleh membawa kepada makrufat harus disuburkan, termasuk minat kepada penulisan ini. Mungkin minat itu sendiri lahir kerana ada secebis bakat dalam diri.

Sesetengah orang 'highly talented' dalam satu-satu bidang, sesetengah orang sekadar secebis bakat. Manfaatkanlah bakat yang secebis itu untuk makrufat. Saya rasa bakat yang secebis pun akan menyinar jika kita rajin belajar. Misalnya, belajar cara penulis lain mulakan tulisan, cara bina ayat, cara dia menarik orang minat pada tuisannya, cara memilih perkataan yang sesuai, tentang perkara2 kecil spt ejaan, tanda bacaan dsb.

Insya-Allah, kemahiran akan berkembang apabila rajin belajar dan berlatih. Berlatih saja tidak cukup jika tidak belajar tentang teknik.

Ah, panjang pula komen balas saya. Mungkin perlu tulis entri lanjutan.