BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, November 5, 2008

Apa Yang Hendak Ditulis? (KEMAS KINI)

“Sekiranya saya berminat menulis untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu, bentuk penulisan bagaimanakah yang sesuai?” soal seorang pengunjung blog ini, yang juga konsisten menulis di dalam blog miliknya.

“Masih buntu mencari genre penulisan yang benar-benar dapat membantu diri dan manusia lain untuk mencari jalan kepada Pencipta. Minta pandangan dan komen saudara,” luah pula sahabat lama yang pernah aktif menulis dan kini mencari-cari bentuk penulisan yang benar-benar serasi untuk dia tekuni.

Secara mudah, apa yang menjadi persoalannya di sini adalah: Apa yang hendak ditulis?


Sewaktu saya giat menulis untuk majalah, persoalan ini tidak begitu sukar dijawab. Saya hanya menulis tentang subjek yang memang menjadi halatuju dan skop tumpuan majalah berkenaan. Subjek itu dekat dengan diri saya iaitu tentang hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Bagaimanapun, apabila memasuki dunia buku, situasinya berbeza. Saya sendiri masih mencari-cari jawapan kepada persoalan memilih subjek yang hendak ditulis. Alhamdulillah, pencarian saya tidak lama. Allah pertemukan saya dengan jawapannya dan inilah yang hendak saya kongsi.

Sebelum itu, saya ingin mengimbau pengalaman sewaktu hendak meneroka alam blog ini. Saya tercari-cari sebab yang kuat mengapa saya harus mempunyai blog sendiri. Saya cuba memikir-mikirkan dan merangka-rangka tujuan sebenar saya hendak terjun ke dunia blog. Lama juga saya terawang-awang mencari dan cuba memurnikan niat. Apa yang sebenarnya hendak saya sampaikan melalui blog?

Alhamdulillah, akhirnya niat dan tujuan itu tersingkap jua. Syukur kepada Allah yang telah menemukan saya dengan tujuan yang jelas dalam membangunkan dan mengisi blog ini. Saya mahu jadikan blog ini tempat untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman dalam bidang media, khususnya media yang membawa pendekatan Islam. Saya sudah ceburi bidang ini agak lama dan tentulah ada orang lain di luar sana yang mungkin mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu dan pengalaman ini dengan izin Allah.

Saya rasa setiap penulis harus mempunyai tujuan yang jelas mengapa dia hendak menjadi penulis. Penulis juga harus mempunyai tujuan yang jelas mengapa dia hendak menulis tentang sesuatu, tidak kira sama ada dia hendak menulis artikel, skrip atau manuskrip buku.

Di tempat yang lebih tinggi daripada segala-galanya adalah niat untuk mendapatkan keredhaan Allah. Niat kerana Allah ini adalah niat yang sebenar-benar murni dan bersih. Apabila niatnya bersih dan tujuannya jelas, mudah-mudahan penulis tidak akan mudah goyah. Bukan saja tidak goyah dengan prinsip tetapi juga tidak mudah goyah dengan hal-hal yang menghalang aktiviti menulis.

Berbalik kepada persoalan memilih subjek yang hendak ditulis, saya mendapat jawapannya apabila bertemu dengan Tuan Fauzul Naim Ishak (gambar) beberapa hari lalu. Saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghadiri satu bengkel penulisan selama tiga hari. Tidak sangka pula Tuan Fauzul Naim yang mengendalikan bengkel itu dari awal sampai akhir.

Latar belakang beliau adalah dalam bidang kejuruteraan tetapi ditakdirkan yang beliau lebih berjaya menjuruterai dan mementori penulis sepanjang lapan tahun menceburi dunia penerbitan buku. Di bawah bimbingan beliau selaku editor dan pengurus penerbitan, lahir ramai penulis termasuk penulis-penulis ‘bestseller’.

Beliau mengajak para peserta bengkelnya melakukan ‘self discovery’. Mencari kekuatan diri. Dari situ nanti seseorang itu akan tahu kekuatan sebenarnya dan mengetahui apakah ‘ada buku’ dalam dirinya. Apa subjek penulisan yang sesuai untuknya dan mampukah dia menulis tentang subjek itu. Foto ihsan: B Pro Management & Training

Beliau menyarankan lima langkah penerokaan yang perlu dibuat ke arah penemuan dalam diri. Saya sudah pun mencuba langkah-langkah mudah itu. Saya kongsikan penerokaan saya itu di sini supaya para pembaca blog ini nampak dengan lebih jelas aplikasinya.

Langkah pertama, senaraikan beberapa kesukaan masa lapang.
Saya menyenaraikan beberapa perkara yang saya suka lakukan pada masa lapang:

1. Saya suka bermusafir dan sentiasa bersemangat setiap kali berpeluang untuk berjalan jauh. Sewaktu bersekolah menengah dahulu, saya gemar melakukan ‘hitch-hiking’ (aktiviti yang sekarang sudah pupus) pada musim cuti sekolah.

2. Saya juga suka bercerita dengan menulis surat atau emel yang panjang-panjang. Pernah sewaktu baru mula bekerja di Kuala Lumpur dulu, saya menulis surat berhalaman-halaman kertas kajang kepada arwah emak saya dan kawan baik saya di Johor Bahru. Saya bercerita tentang wajah-wajah Kuala Lumpur dan kehidupan saya di ibu kota. Ada kata-kata kawan baik saya itu yang saya masih ingat. Katanya, “Engkau sangat pandai bercerita.”

3. Saya juga suka membaca buku motivasi, buku agama, novel, buku tentang bisnes dan buku kisah kehidupan. Saya masih ingat sewaktu di tingkatan dua lagi saya sudah melanggan Reader’s Digest kerana majalah ini penuh dengan kisah kehidupan. Dan saya juga suka menonton filem dan dokumentari.

Langkah kedua, senaraikan kemahiran-kemahiran yang dimiliki setelah sekian tahun bekerja.
Saya menyenaraikan beberapa kemahiran iaitu kemahiran mengarang kisah, menyunting, mengambil gambar foto dan menemuramah responden.

Langkah ketiga, kenal pasti ruang atau seksyen buku yang selalu dilawati sewaktu masuk ke mana-mana kedai buku.
Apabila masuk ke kedai buku atau perpustakaan, saya suka ke seksyen buku motivasi, buku tentang bisnes, buku kisah kehidupan dan travelog kerana saya mencari sumber motivasi dari buku-buku ini. Saya juga suka ke seksyen buku agama kerana berminat mendalami agama dan terasa mendapat hidayah dari buku-buku itu. Seterusnya saya suka menjengah ke seksyen novel kerana memang berminat membaca novel, malah bercita-cita menulis novel. Sewaktu di sekolah menengah, saya gemar membaca novel-novel Hamka dan Pramoedya Ananta Toer.

Langkah keempat, kenal pasti beberapa keghairahan yang tidak dapat dipenuhi dalam tempoh lima tahun lalu.
Saya menyenaraikan seperti berikut: Menulis novel, menulis skrip filem, menulis kisah kehidupan dan menjalankan bisnes sendiri.

Langkah kelima, senaraikan lima kebolehan semulajadi dan kemahiran yang ada, kemudian kenal pasti apa yang patut ditulis dengan adanya setiap kebolehan semulajadi dan kemahiran itu.
Dengan langkah ini, kita sudah semakin hampir dengan ‘self discovery’.
Setelah merenung-renung sendirian, saya rasa saya mempunyai kebolehan semulajadi bercerita. Saya juga memiliki kemahiran mengarang cerita. Oleh itu, dengan menggabungkan kebolehan semulajadi dan kemahiran saya itu, saya patut menulis buku tentang kisah-kisah kehidupan dan buku kisah benar (true account story) seperti yang ditulis oleh sahabat saya Hasan Suyut dan Zabidi Mohamed.

Dengan kebolehan bercerita dan kemahiran mengarang cerita juga, saya patut menulis buku biografi ataupun memoir. Dengan kebolehan bercerita dan kemahiran mengarang cerita juga, saya patut menulis novel. Bukankah memang itu yang saya cita-citakan?

Kemudian dengan kebolehan semulajadi bercerita dan kemahiran mengarang cerita, saya juga patut menulis buku travelog. Seterusnya dengan kebolehan semulajadi bercerita dan kemahiran menulis itu sendiri, saya patut menulis buku tentang penulisan dengan pendekatan bercerita.

Penemuan Diri
Setelah mencuba lima langkah tadi dan mencatatkan ‘penemuan’nya di atas kertas, saya telah menemui di mana letaknya kekuatan saya dalam penulisan. Saya dapati yang saya sesuai dan mampu menulis buku tentang kisah kehidupan, riwayat hidup, travelog, fiksyen dan tentang kemahiran menulis itu sendiri.

Setelah menemui kekuatan diri dalam bidang penulisan ini, saya hanya perlu membersihkan niat dan membetulkan tujuan supaya setiap hasil penulisan saya ada nilai di sisi Allah. Dengan itu barulah penulisan saya akan benar-benar bermakna.

Saya ingin mengajak rakan-rakan penulis dan calon-calon penulis untuk mencuba lima langkah ‘self discovery’ ini. Setiap orang mempunyai kekuatan tetapi kekuatan itu akan kekal tersembunyi jika tidak cuba dicungkil. Langkah-langkah yang disarankan di atas adalah antara cara praktikal untuk meneroka dan mencungkil kekuatan diri.

Saya berpeluang berada dalam sesi perkongsian pengalaman bersama Tuan Ahmad Fazli Yusof, pakar motivasi muda dan penulis buku-buku motivasi yang laris. Saya bertanya kepada beliau, “Kenapa tuan memilih untuk menulis subjek pembangunan diri?”

Ketika menjawab soalan itu, beliau mengimbau latar belakang beliau sebagai peguam. Satu ketika beliau menyedari bahawa minat dan kebolehan sebenar beliau adalah dalam bidang pembangunan diri. Dengan kebolehan semulajadi memberi motivasi kepada orang lain dan kemahiran bercakap yang diperolehi sewaktu menjadi peguam, beliau merasakan yang beliau patut menulis buku tentang pembangunan diri.

Beliau tidak sekadar memberitahu dirinya, “Saya mahu menulis buku tahun ini” atau “Okey juga kalau saya menulis buku tahun ini”. Sebaliknya, beliau berkata kepada dirinya, “Saya mesti menulis dan menerbitkan buku tahun ini.” Dengan kata-kata itu bererti beliau sudah memutuskan untuk menulis buku tahun ini juga, bukan sekadar menimbang-nimbangkannya.

“Saya mendapat kepuasan daripada sumbangan untuk pembangunan diri seseorang,” katanya.

Oleh itu, langkah seterusnya setelah membersihkan niat, membetulkan tujuan dan mengenal pasti apa yang hendak ditulis, adalah membuat keputusan untuk menulisnya. Ramai yang hanya menimbang-nimbang untuk menulis, belum benar-benar membuat keputusan untuk menulis.

2 comments:

ady said...

Salam,
Persoalan halatuju dan tujuan menulis memang menjadi kebingungan kepada saya.Saya memang minat menulis sejak di bangku sekolah lagi tetapi minat hanya tinggal minat kerana persoalan tujuan menulis tidak terjawab, tambahan pula selalu tidak yakin dengan mutu penulisan sendiri.Insyaalah kini saya kembali berazam untuk menulis dan menjadi penulis.Harapan saya agar terhasil sekurang-kurangnya sebuah buku sebelum pergi meninggalkan dunia.Semoga diizinkan Allah.

BroHamzah said...

Terima kasih atas Tips2 yang diberikan.Saya akan nantikan tulisan En Zakaria. Boleh jadi SifuGI macam ini.Saya juga ingin menulis buku. Tapi kebanyakan artikel dalam blog saya berbentuk TIPS.Saya meminati sesuatu yang pratikal dan mudah diamalkan dalam kehidupan.Terima kasih.Salam perkenalan dan Salam Ukhuwah buat semua. Blog en akan saya jadikan rujukan untuk menulis.Terima kasih.Syukran.