BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, November 24, 2008

“Bacalah karya-karya Kang Abik!”

“Saya sangat menyarankan calon-calon novelis Galeri Ilmu membaca karya-karya Kang Abik,” beritahu saya kepada novelis Ummu Hani Abu Hassan. Ummu Hani pernah bertemu Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy, penulis novel Ayat-ayat Cinta) dan turut mengikuti bengkel penulisan novel yang dikendalikan oleh Kang Abik minggu lalu.

Ummu Hani baru menyiapkan manuskrip sebuah novel remaja (novel ketiganya) untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Kami berbincang tentang novelnya itu di meja saya.

“Salah satu yang menguatkan novel-novel Kang Abik sebagai wadah Islami, dia menampilkan watak-watak soleh dan solehah yang pembaca boleh salin pada diri mereka. Dalam novel Kak Ummu (panggilan mesra saya kepada Ummu Hani), watak ini ada pada diri Kak Eka,” kata saya. Eka Norviyanti adalah salah satu watak penting dalam novel Ummu Hani itu. Watak wanita muda yang solehah, bijaksana dan berwajah cantik yang berasal dari Indonesia.
Di dalam novel-novel Kang Abik yang sempat saya baca (Ayat-Ayat Cinta dan dwilogi Ketika Cinta Bertasbih), watak-watak protagonisnya mampu membahagiakan dan membanggakan pembaca. Watak-watak itu menjadi watak yang pembaca suka untuk salin pada diri mereka. Watak soleh dan solehah itu dipertemukan pula dengan banyak watak lain yang juga mempunyai ciri-ciri kesolehan.

Kang Abik juga memaparkan watak-watak rosak akhlak yang beliau 'bantu' untuk menggapai cahaya hidayah. Yang ditugaskan ‘membantu’ watak rosak akhlak itu untuk kembali ke jalan yang lurus adalah watak-watak soleh dan solehah tadi.

Cara Kang Abik mengetengahkan watak rosak akhlak itu adalah secara yang bijaksana. Beliau lebih banyak memaparkan natijah atau akibat daripada kerosakan akhlak itu, bukan memaparkan perilaku-perilaku rosak akhlak tersebut. Oleh itu, perilaku rosak akhlak tidak dominan dalam novel beliau. Yang dominan adalah perilaku soleh, tabiat soleh dan tutur kata soleh yang mengesankan pembaca. Mirip dengan pendekatan yang digunakan dalam karya-karya Buya Hamka.

Pemaparan watak-watak dengan pendekatan begini selalu saya tekankan kepada calon-calon novelis yang saya bimbing. Apabila membaca novel-novel Kang Abik, saya rasa sangat terbantu kerana saya ada model yang boleh ditiru oleh calon-calon novelis itu. Sebab itulah saya menyarankan kepada mereka agar membaca karya-karya Kang Abik.

Saya kerap juga membaca novel-novel Melayu sendiri, yang ditulis oleh karyawan Muslim, yang tidak peka dengan sensitiviti pembaca Muslim dalam memaparkan perilaku-perilaku negatif watak-wataknya. Watak-watak yang tidak boleh dijadikan contoh dari sudut agama dan akhlak, diangkat menjadi watak utama dan dominan. Perilaku-perilaku dan tutur kata yang tidak sesuai, dimuatkan begitu saja tanpa ditapis. Yang dititikberatkan hanya menampilkan perilaku dan tutur kata yang relevan dengan plot serta perkembangan watak. Yang dipentingkan hanya memindahkan realiti seadanya ke dalam fiksyen tanpa bersikap selektif. Yang ditekankan hanya untuk menjadikan cerita sedap dibaca dan ada elemen dramatik.

Penulis karya Islami harus mampu mencorak pembacanya dengan nilai-nilai Islam. Salah satu pendekatan yang boleh digunakan adalah dengan menampilkan watak-watak yang membawa idealisme penulis sendiri. Melalui watak-watak ciptaan yang soleh dan solehah ini, penulis mampu membangunkan keperibadian pembaca dan memaparkan keindahan Islam kepada mereka.

Saya tidak hairan dengan penonjolan watak-watak ‘baik’ yang kaki maksiat (minum arak, bersekedudukan dan sebagainya) di dalam sebahagian novel (atau filem) Barat. Dengan siapa para penulis itu banyak bergaul dan berinteraksi, itulah yang tumpah di dalam karya mereka. Diri mereka (penulis) adalah apa yang mereka tulis. Jika penulis biasa bergaul dengan orang yang kaki perempuan, apalagi jika penulis sendiri kaki perempuan, watak begitu akan mudah terbentuk di dalam karyanya.

Bagaimanapun, karyawan Muslim harus mampu mengetengahkan watak-watak ideal versi Islam yang membawa fungsi serampang dua mata. Selain untuk menggerakkan dan menghidupkan cerita, watak-watak itu harus menunjukkan contoh kehidupan, perilaku dan tutur kata yang baik menurut ukuran Islam. Watak yang para pembaca terangsang untuk menyalin kesolehannya pada diri mereka secara di bawah sedar.

Oleh itu, dengan siapa penulis banyak bergaul, itulah yang akan mengayakan ramuan di dalam karyanya. Apabila banyak bergaul dengan orang yang mempunyai banyak ciri kesolehan, perilaku-perilaku soleh lebih mudah diserapkan ke dalam karya melalui watak-watak yang direka. Watak-watak rekaan itu dan perilaku mereka akan ‘hidup’, tidak terasa dibuat-buat. Penulis tidak hanya mengkhayalkan perilaku-perilaku soleh itu tetapi memindahkan apa yang biasa dilihatnya dalam kehidupan seharian.

Novel Islami harus dapat menimbulkan kesan bahawa masih ramai orang baik-baik di dunia ini!


2 comments:

SMM said...

Salam,
tetapi kalau watak itu terlalu sempurna, sudahlah solehah, cantik, bijaksana, rajin, berbudi tinggi pula, ada juga menimbulkan perasaan 'too good to be true', kurang meyakinkan.. rasanya perlu ada sedikit kekurangan, supaya pembaca juga dapat 'relate' kepada watak itu. Sekadar pendapat peribadi seorang pembaca.

Anonymous said...

Wkmslm, terima kasih atas komen. Ya saya memang menjangkakan ada yang akan beri ulasan begini. Saya juga begitu dulu. Dan Kang Abik sendiri pernah ditanya soalan begitu. Beliau malah mengatakan watak Fahri dalam Ayat2 Cinta itu belum cukup 'sempurna'. Selepas baca novel2 Kang Abik dan menemui watak yang 'too good to be true' itu, saya rasa tidak salah watak begitu ditonjolkan asalkan tidak 'artificial' hingga menimbulkan kesan kurang meyakinkan. Ini memerlukan sedikit anjakan, kerana kita sudah terbiasa dengan watak-watak baik yang kurang baik atau watak baik yang kebaikannya 'artificial'.
Namun tidak pula salah untuk memakaikan sedikit kekurangan pada watak itu asalkan juga tidak 'artificial'. Bergantung pada kreativiti dan sejauh mana penulis kenal pada watak rekaannya.