BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, December 4, 2008

Kreativiti Mengalir Di Bawah Tekanan

Menjelang pukul 11.30 pagi pada akhir bulan lalu, rakan-rakan di Galeri Ilmu sudah mula berkumpul di tingkat bawah bangunan pejabat Astana Karya untuk meraikan tiga orang rakan yang akan berangkat ke Tanah Suci. Mereka akan melaksanakan tugas sambil menunaikan ibadah haji.

Melihat pintu bilik Pengarah Urusan masih terbuka, saya menjenguk ke dalam. Tuan Hj. Abu Hassan Morad yang akan turut berangkat, masih duduk menaip.

“Cikgu sedang buat artikel ni,” beritahu beliau sambil senyum.

“Artikel apa, cikgu (panggilan mesra di kalangan kakitangan)?” Saya sengaja bertanya walaupun saya sudah dapat mengagak jawapannya.

“Artikel untuk Anis,” balas Hj. Abu Hassan. Hah, beberapa minit lagi hendak berangkat, beliau masih menaip artikel untuk ruangan tetapnya dalam majalah Anis!

Saya kemudian naik ke Jabatan Buku di tingkat 2 Astana Karya. Apabila saya turun semula di tingkat 1 dan menjenguk ke bilik Hj. Abu Hassan, beliau sudah tiada di bilik. Sejurus kemudian saya lihat beliau keluar dari bilik air di surau dan mengambil wuduk. Selepas beliau solat Dhuha dan solat musafir, saya bertanya, “Artikel dah okey, cikgu?”


“Dah, cikgu sudah beri kepada Shimah,” katanya dalam nada lega.

Bagi seorang penulis, kadang-kadang kreativiti lebih mudah mengalir apabila menulis dalam situasi yang agak tertekan. Bahkan boleh dikatakan semua orang yang bekerja dalam bidang yang menggunakan kreativiti mengalami hal yang sama.

Apabila tertekan dengan ‘deadline’, kadang-kadang idea mengalir lebih laju. Dua hari lepas, kotak e-mel saya dimasuki satu e-mel daripada Ustaz Zamri Zainal Abidin yang sudah pun berada di Tanah Suci, juga kerana tuntutan tugas sambil buat haji. Beliau bertolak empat hari sebelumnya. Beliau mengirimkan artikel untuk ruangan tetapnya dalam Anis. Beliau tidak sempat menyiapkannya sewaktu sibuk bersiap-siap untuk bertolak. Saya sangkakan beliau tentu tidak ada masa langsung untuk menulisnya di Tanah Suci. Maklumlah sibuk dengan tugasan baru. Rupa-rupanya kreativiti beliau mengalir di sana. Lebih-lebih lagi di tempat yang berkat.

Saya faham ada segelintir penulis yang tidak suka dihambat oleh ‘deadline’. Tetapi percayalah, ‘deadline’ ini kadang-kadang sangat membantu dalam proses menulis. Oleh kerana penulis sudah disediakan sasaran tarikh untuk menyiapkan tulisannya, maka sibuk bagaimanapun dia akan cuba mengurus masa untuk menulis.

Bekerja dengan hambatan ‘deadline’ juga meletakkan penulis dalam kedudukan memegang janji. Apabila dia bersetuju dengan ‘deadline’ yang diberi oleh editor, bermakna dia sudah berjanji untuk memenuhinya. Dorongan untuk memenuhi janji ini memberi rangsangan yang kuat untuk menulis dan menyiapkan tulisannya dalam tempoh yang dipersetujui.

Ini pengalaman Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis buku laris Aku Terima Nikahnya:

“… sungguh luar biasa, disebabkan oleh tekanan yang sengaja saya ledakkan kepada diri, hampir 15 artikel baru berjaya disempurnakan dalam tempoh seminggu. Idea datang mencurah-curah dan segalanya dipulangkan sebagai pujian kepada Allah… Dengan bantuan ‘matlamat’ yang spesifik, saya berjaya untuk fokus.”

Beliau berkata, pengajaran yang beliau perolehi adalah, pentingnya seorang penulis untuk belajar bersahabat dengan tekanan.


3 comments:

Hilal Asyraf said...

tekanan...
kalau saya, tekanan menyebabkan pemikiran saya tersekat. Kalau macam deadline tu, pada saya ia adalah matlamat.

" AKu kena siapkan kerja ini sebelum itu".

Maka menjadi matlamat saya menyiapkannya sebelum itu. Lalu saya segera menyusun jadual dan sebagainya.

tapi saya juga percaya, biasanya, bila manusia ini merasakan dia telah kehausan, dia telah mencapai dinding kekuatannya, dia telah menyentuh limitasinya, maka sebenarnya dia akan melihat bahawa, kekuatan baru akan hadir dan memberikannya tolakan untuk melangkah lebih jauh.

Itulah tekanan yang akan membuatkannya melompat dengan lebih tinggi, bersama kudratnya di garis limitasi diri.

Hakikatnya, tekanan itu sendiri akan mendekatkan diri kita kepada ALLAH, secara tidak langsung kita akan bergantung harap kepadaNya lebih, lalu DIA akan menurunkan pertolonganNya. Tidak hairanlah biasanya kreativiti manusia mencurah-curah ketika itu.

Anonymous said...

Ya, manusia apabila berada dalam situasi 'powerlessness', dia akan bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Ini bagi manusia yang ada rasa bertuhan. Waktu itu dia berserah pada Allah, lalu berbuat ikut naluri sambil hati kecilnya mengharap Allah bantu.

ummu ijlal said...

assalamualaikum..
tak tahu bagaimana nak hubungi en. zakaria. saya cuba emel banyak kali tapi tak dapat2. Inbox dah overload agaknya

cuma nak nyatakan perkembangan diri. Alhamdulillah saya dah selamat melahirkan mujahidah ketiga 2 minggu lepas (www.wan-am.blogspot.com). selepas seminggu, baby ditahan di wad kerana kuning. saya pula terkena jangkitan virus pada mata kanan. Mata putih bengkak teruk sehingga sukar untuk melihat. saya masih mengumpul segenap kekuatan meneruskan penulisan novel sesuci sinar hidayah. Maha Suci Allah yang masih memberi nikmat penglihatan pada mata kiri.

Saya masih di kem terendak Melaka memandangkan kakak adalah pegawai perubatan tentera di sini. dialah yang menjaga saya dan baby selama kami kurang sihat ini. 2 minggu lagi baru pulang ke KL jika keadaan beransur pulih. saya akan terus ke pejabat GI untuk hantar manuskrip yang telah bercetak memandangkan file terlalu besar untuk diemel.

sekian, maaf kerana terpaksa melangkaui dateline ke-2.

faqirah ilallah
arash halim