Di Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd., apabila satu-satu proposal novel diluluskan, penulis diberi tempoh sekitar tiga bulan untuk menyiapkan manuskrip lengkap novelnya. Apabila manuskrip siap ditulis, penulis akan diberikan panduan untuk menyemak manuskrip.
Panduan itu menyenaraikan proses berikut, yang saya kongsikan di sini kerana boleh juga dijadikan panduan oleh novelis yang mahu mengajukan terus manuskrip lengkap tanpa mendahulukan proposal:
1. Memeram
-          Apabila siap draf pertama novel, raikan diri sendiri sambil melupa-lupakan dulu karya itu––tinggalkan atau ‘peram’. Mungkin sehari, mungkin dua hari, mungkin juga seminggu atau dua minggu. Tujuannya supaya apabila penulis melihat semula manuskripnya nanti, dia akan melihatnya dengan fikiran yang lebih segar dan perspektif yang baru atau bird’s-eye view. 
2. Menyemak dan Mengedit Secara Makro
-          Selepas diperam, cetak dan baca keseluruhan draf pertama itu. Di tempat-tempat tertentu, baca dengan suara jika boleh, supaya kita dapat mendengar bunyi ayat-ayat yang ditulis, terutamanya bagi ayat dialog. 
-          Sewaktu menyemak secara keseluruhan ini, kita mungkin akan terus membetulkan, memotong atau mencatat di mana-mana bahagian yang perlu ditambah. 
-          Di peringkat ini, kita akan melihat kekuatan atau kelemahan perkara-perkara berikut:
- Tiga bab awal – adakah mampu      menarik minat dan ‘mengikat’ pembaca? Mengikut psikologi orang membaca      buku, jika tiga bab pertama itu menarik, orang akan terus membaca. 
 - Bab pertama – Daripada tiga bab      awal, bab pertama adalah paling kritikal dan paling penting untuk menarik      minat serta ‘mengikat’ pembaca. Pastikan tempo cerita dalam bab pertama itu      cepat. Jika terasa perlahan dan boleh membosankan pembaca, bagaimana      hendak mencepatkan tempo cerita? 
 
Bab pertama ini mestilah sudah menampakkan halatuju cerita, sudah ada bayangan konflik, sudah diperkenalkan watak-watak utamanya, sudah ada sesuatu yang menarik tentang watak atau yang berlaku pada watak yang pembaca tidak sabar-sabar hendak tahu perkembangan seterusnya. 
- Struktur keseluruhan – jalinan      yang kuat-menguat antara plot, latar dan watak. Adakah perjalanan      ceritanya ada turun naik atau mendatar saja? 
 - Adakah      di hujung setiap bab ada elemen ‘cliff      hanger’ yang berfungsi menimbulkan tanda tanya atau suspens, lantas      memancing pembaca meneruskan bacaan? Adakah di awal setiap bab ada elemen ‘hook’ yang berfungsi mengikat      pembaca untuk terus membaca?
 - Nilai-nilai dakwah dan didikan      yang diselitkan melalui perkembangan watak, dialog, aksi, naratif dsb.      Misalnya:
 
- Adakah nilai didikannya diselitkan secara berhikmah dan tidak terlalu ‘mengajar’? 
- Adakah karya itu mampu memberi impak positif kepada pembaca––membawa pembaca daripada jahil kepada berilmu, dari bersikap negatif kepada positif, daripada cuai akan tanggungjawab kepada sungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, daripada mengabaikan syariat kepada prihatin soal syariat, daripada suka menyalahkan orang lain kepada suka muhasabah diri, dsb. 
- Adakah karya itu dapat membawa pembaca ingat dan bergantung kepada Tuhan? Atau adakah ia kurang menyebut atau kurang dikaitkan dengan Tuhan? 
- Konflik – Cerita menjadi menarik      apabila wujudnya konflik, sama ada konflik luaran antara watak-watak atau      konflik dalaman watak. Adakah konflik-konflik dalaman atau konflik luaran      itu cukup kuat lalu menimbulkan masalah kepada watak utama, atau adakah boleh      dikuatkan lagi? 
 
Adakah graf konflik sentiasa menaik hingga ke akhir cerita (puncak) lantas membuatkan pembaca teruja untuk terus membaca, atau adakah graf konflik itu mendatar dan menurun di pertengahan cerita hingga pembaca hilang minat untuk meneruskan bacaan? 
- Apakah      berjaya diwujudkan halangan-halangan      (obstacles) yang meletakkan watak utama dalam situasi tercabar dan teruji      serta menjadikan cerita lebih menarik? 
 - Plot – adakah sebab dan akibat yang      dipaparkan itu meyakinkan? Adakah plot utama (main plot) disokong atau      dikuatkan dengan plot sampingan (subplot)? ‘Cerita dalam cerita’      menjadikan jalan cerita lebih menarik.
 - Latar tempat – adakah latar tempat      dapat digambarkan dengan jelas hingga pembaca dapat memvisualkannya dalam      kepala? Atau, adakah latarnya kabur hingga pembaca tidak dapat      membayangkan di mana berlakunya satu-satu babak atau dialog. 
 - Dialog – adakah dialog-dialog yang      sopan dan berakhlak lebih dominan atau adakah dialog kasar dan biadap      sudah terlebih ‘dos’? Adakah dialog-dialog dapat membantu menggerakkan      cerita atau relevan dengan jalan cerita? Adakah dialog cukup kuat atau sekadar      basa-basi perbualan (tidak membantu menggerakkan cerita)? 
 - Apakah      ada ‘the most memorable      dialogue/moment/scene’ di mana-mana bahagian novel itu yang akan diingati      oleh pembaca dan pembaca suka membacanya berkali-kali? Novel yang baik      biasanya ada bahagian yang dapat dianggap ‘the most memorable moment’. 
 - Watak – Adakah setiap watak utama      mempunyai cerita tersendiri dan masing-masing ada akhiran ceritanya?      Sebuah novel yang baik dihidupkan ceritanya oleh watak-watak yang mempunyai      cerita tersendiri dan membantu menggerakkan cerita. Setiap watak itu pula      ada akhirannya, tidak tenggelam begitu saja.
 - Adakah      perkembangan watak (watak utama      dan watak sampingan) meyakinkan dan membantu pergerakan cerita? Adakah      setiap watak utama yang diketengahkan ada akhiran ceritanya atau apakah      ada watak yang tenggelam  begitu      saja? Adakah kita dapat bina watak dari satu tahap ke satu tahap yang      lebih baik untuk dijadikan contoh ikutan? 
 
-          Perkemaskan isi dengan melihat mana-mana bahagian yang perlu ditambah, dibetulkan atau diolah semula. 
-          Padatkan – tengok mana-mana bahagian (paragraf, ayat, dialog) yang perlu dipotong supaya hanya bahagian yang relevan saja yang tinggal. Dalam istilah penyuntingan, ada ungkapan ‘kill your darling’ – buang bahagian yang penulis sayang untuk menjaga ‘flow’ tulisan supaya kemas dan padat.
3. Menggilap 
-          mengemaskan lagi olahan selepas draf pertama disemak dan diedit.  
4. Mengedit Secara Mikro
- selepas diperkemaskan isi, barulah tiba waktunya untuk memperkemaskan bahasa – tatabahasa, ejaan, tanda bacaan, pemerengganan, dsb.
5. Kongsi karya kita dengan orang lain
-          beri manuskrip kita kepada pembaca peribadi untuk dibaca dan dikomen secara ‘layman’ (pembaca awam) yang jujur, sebelum diserahkan kepada editor. 
6. Menggilap lagi
-          daripada maklum balas yang diterima, gilap lagi karya itu dan setelah benar-benar berpuas hati dengan aspek makro (isi) dan mikronya (bahasa), barulah serahkan kepada editor. Penulis mesti berpuas hati dengan karyanya sebelum karya itu sampai ke tangan editor. 
3 comments:
Alhamdulillah, saya dapat manafaat daripada entri ini.
Saya memohon mengambil manfaat ilmu daripada entri ini. terima kasih
Dipersilakan, rafidah, moga ada manfaatnya.
Post a Comment