BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, May 20, 2010

Bersedia Menerima Teguran

Bagaimana pun seseorang itu mahu menjadi sempurna, sukar untuk dia mencapai kesempurnaan yang mutlak. Apa yang boleh dibuat adalah mengusahakan ciri-ciri kesempurnaan pada diri. Kalaupun tidak sempurna, banyaknya ciri kesempurnaan pada diri itu pun sudah satu pencapaian menuju kesempurnaan. Manusia yang paling sempurna hanyalah Nabi Muhammad SAW.

Apabila seseorang itu berasa dirinya sempurna maka dibimbangi di situlah pula berlakunya ketidaksempurnaan. Kerana manusia dilahirkan dengan sifatnya begitu. Tidak sempurna. Allah bekalkan agama sebagai panduan hidup manusia menuju kesempurnaan. Dengan panduan agama, manusia mendapat suluhan untuk membina ciri-ciri kesempurnaan pada dirinya. Dengan panduan agama juga, manusia saling pesan-memesan dan ingat-mengingatkan untuk membina kesempurnaan.

Hal ini juga benar dalam membina diri menjadi penulis. Dalam menulis, betapa pun seseorang penulis itu cuba menghasilkan tulisan yang sempurna, dia tetap memerlukan orang kedua untuk menilai tulisannya.

Apabila penulis sudah berasa tulisan-tulisannya sempurna, dibimbangi di situlah letaknya ketidaksempurnaan. Apabila hasil karyanya sudah dirasakan sempurna, penulis tidak lagi membuka pintu kepada teguran dan kritikan. Dia hanya membuka pintu kepada pujian dan sanjungan.

"Lebih baik mendengar kritikan daripada pujian kerana kritikan membantu kita. Pujian ini bahaya," ungkap novelis dan pembimbing novelis, Puan Maria Kajiwa.

Kata-kata itu sudah tentunya diungkap berdasarkan pengalaman.

Imam al-Ghazali berkata bahawa kejian daripada musuh mungkin mendatangkan lebih kebaikan berbanding pujian daripada orang yang dekat dengan kita.

Oleh sebab itu, penulis mesti bersedia ditegur. Memang pedih apabila kena tegur tetapi yang pedih itu boleh menjadi ubat yang mujarab.

5 comments:

Kay Aniza said...

Ustaz(maaf jika panggilan saya salah), saya amat berminat untuk menulis cuma tak pasti dr mana nak mual dan apa genre yang saya nak tulis. rasanya banyak ilmu yg saya nak kongsi.boleh ustaz bagi panduan dalam memilih skop penulisan dalam entri blog ustaz...
ustza, boleh baca dan komen cara penulisan saya ( yg santai)dan sudi-sudilah menjenguk ke blog saya http ://cikguaniza.blogspot.com. tkasih atas masa dan perhatian

abuyon said...

sungguh, agama itu
nasihat

Zakaria said...

Cikgu, saya tengok tulisan cikgu tersusun bahasanya dan ada isi. Elok cikgu gilap lagi kemahiran menulis.

Cuma, saya sarankan cikgu biasakan menulis dengan ejaan dan tanda bacaan yang betul, bukan menggunakan singkatan. Ungkapan yang selalu disebutkan adalah "Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa."

Saya ada menulis entri tentang bagaimana kita boleh buat 'self discovery' untuk mengenal pasti skop penulisan yang sesuai untuk kita tulis. Apa yang penting, tengok latar belakang, bakat dan minat kita.

Kata sifu saya, kita tulislah apa yang dekat dengan diri kita atau apa yang kita paling arif/faham. Kita tulis apa yang kita yakini, yang kita rasai, yang kita bimbangi dan yang kita perjuangkan dalam hidup.

Wallahu a'lam.

Kay Aniza said...

Terima kasih atas teguran yang membina. Saya akui kerana masa yang singkat saya peruntukan untuk menulis, saya abaikan ejaan dan kesilapan menaip.saya akan cuba mengubah tabiat itu. terima kasih jua atas tips yang diberi.saya masih tercari-cari skop penulisan.Yang saya tahu semuanya berkaitan sekolah.Waktu mengajar sering kali saya selitkan nasihat,lebih kepada memotivasikan pelajar.Namun saya bukannya guru kaunseling.Apa-apapun moga dipermudahkan untuk saya menulis kerana niat saya ingin menyampaikan ilmu kerana Allah.Terima kasih sekali lagi.

Zakaria said...

Sama-sama, cikgu. Moga Allah mudahkan lorong cikgu untuk mendidik melalui penulisan.