BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, March 17, 2011

Sekali Lagi, Kenapa Perlu Menjadi Penulis

Setiap penulis harus mempunyai tujuan yang jelas mengapa dia hendak menjadi penulis atau mengapa dia hendak menulis tentang sesuatu, tidak kira sama ada dia hendak menulis artikel, skrip atau manuskrip buku.

Baik, mari kita fikirkan beberapa sebab mengapa kita mahu menjadi penulis.

1. Meneruskan tradisi ulama
Ramai ulama dahulu yang menulis kitab, walaupun lebih ramai lagi yang tidak menulis tetapi mampu mendidik umat dengan berkesan. Ulama-ulama yang menulis kitab itu mahu menyampaikan ilmu dan tarbiah secara lebih tersusun melalui kitab-kitab mereka. Mereka tahu kitab-kitab mereka akan dibaca bukan saja oleh orang-orang sezaman dengan mereka tetapi selepas ketiadaan mereka.

Imam al-Ghazali misalnya, mula mengarang kitab sewaktu berumur sekitar 40 tahun hingga ke akhir usianya sekitar 54 tahun. Dalam tempoh sekitar 14 tahun itu beliau mengarang ratusan kitab yang tebal-tebal (sekitar 300 buah) termasuk Ihya Ulumuddin, kitab tasawuf yang hingga sekarang dicetak berjilid-jilid disebabkan tebalnya. Ulama-ulama seperti Imam al-Ghazali mengarang kitab tanpa memikirkan sama sekali ganjaran duniawi. Kitab pada zaman mereka tidak dijual sebagai produk komersial.

2. Menghurai, menjelaskan, memadatkan, meringkaskan, menyusun semula, dan memudahkan isi buku/kitab tinggalan ulama
Dalam sejarah silam misalnya, ada usaha di kalangan ulama untuk meringkaskan kitab-kitab ulama sebelumnya seperti yang dilakukan oleh Imam al-Muzani yang meringkaskan kitab al-Umm tulisan Imam Syafi'i. Kitab yang diringkaskan itu bertajuk Mukhtashar al-Muzani. Malah, menurut satu catatan yang saya temui, kira-kira 200 tahun kemudian kitab Mukhtashar al-Muzani ini disyarahkan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab yang diberi nama Nihayatul Mathlab fi Dirayah al-Madzhab. Kemudian murid beliau iaitu Imam al-Ghazali meringkaskan kitab gurunya itu dan setelah itu ada pula ulama lain yang meringkaskan kitab Imam al-Ghazali hingga kepada beberapa versi ringkasan. Semuanya bertujuan untuk memudahkan lagi penyampaian kitab terdahulu. Kalaulah ulama-ulama itu hidup sezaman, mereka sebenarnya telah melakukan usaha kolaborasi dalam menghasilkan kitab untuk rujukan umat.

3. Menyampaikan ilmu dan tarbiah mengikut kesesuaian zaman.
Penulis sebagai agen pencetus perubahan, perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk menunjuk ajar dan mendidik umat mengikut situasi, masalah dan kerosakan masyarakat yang berlaku pada zamannya. Penulis juga perlu menggunakan pendekatan atau gaya olahan yang sesuai dengan trend semasa pada zamannya. Misalnya, untuk menarik generasi muda menghayati sirah Nabi dan sejarah para ulama atau tokoh Islam, pendekatan kreatif sesuai digunakan pada hari ini. Penulis yang berkemampuan mengolah tulisan secara kreatif, boleh menulis novel sejarah atau novel sirah.

Untuk mengajak masyarakat memahami adab-adab dan akhlak Islam, pendekatan komik mungkin sesuai. Melalui komik bercorak pendidikan, kanak-kanak dan remaja juga dapat diterapkan dengan penghayatan tauhid dan difahamkan tentang syariat. Animasi juga sesuai digunakan untuk tujuan yang sama. Semua ini memerlukan sumbangan penulis, dengan sokongan kepakaran pelukis serta kepakaran lain.

4. Meninggalkan legasi
Legasi adalah tinggalan untuk generasi kemudian. Penulis boleh meninggalkan legasi dalam pelbagai bentuk - artikel, buku, komik, skrip animasi, skrip drama, skrip filem. Legasi ini adalah 'hayat maknawi' seseorang penulis yang akan terus hidup walaupun setelah si penulis meninggal dunia. Kitab-kitab ulama dahulu adalah 'hayat maknawi' ulama-ulama itu setelah ratusan tahun hayat fizikal mereka berakhir.

5. Mendapatkan sedikit ganjaran
Menulis adalah juga aktiviti yang mendatangkan ganjaran dalam bentuk wang. Mungkin sukar untuk menemui penulis pada hari ini yang menulis tanpa mengharapkan sedikit wang dalam bentuk royalti atau honorarium. Walaupun seseorang penulis itu berusaha untuk tidak memikirkan sangat soal wang, tidak dapat tidak jauh di sudut hatinya pasti mengharapkan sedikit imbuhan daripada hasil kerja menulisnya. Hal ini disebabkan bahan tulisannya telah dijadikan produk yang dikomersialkan. Kalau syarikat yang menerbitkan bahan tulisan itu mendapat untung daripada tulisannya, mengapa pula penulis tidak dapat apa-apa.

Walaupun situasinya begitu, sebaik-baiknya seseorang penulis itu tidak menjadikan sebab kelima ini sebagai sebab utama dia menulis. Saya meletakkannya dalam senarai terakhir kerana selalunya apabila sebab kelima ini menjadi pendorong utama seseorang itu menulis, dia tidak akan dapat menghasilkan karya yang nilai tarbiah atau nilai didikannya benar-benar mengesankan atau berbekas di hati pembaca. Ataupun dia tidak dapat menulis secara istiqamah kalau imbuhan daripada tulisannya tersekat atau dianggap tidak berbaloi.

Bagaimanapun, dalam dunia penerbitan hari ini, penulis memang mempunyai hak untuk dibayar setimpal dengan hasil kerjayanya dan dengan kadar untung yang diperolehi oleh syarikat penerbitan yang menerbitkan karyanya. Sekiranya penulis dibayar royalti, bukannya dibayar honorarium atau secara lumpsum, imbuhan daripada hasil tulisan ini akan berpanjangan selagi karya itu diulang cetak dan dijual. Ini yang dikatakan 'passive income' atau pendapatan pasif.

Dalam kaedah pembayaran secara royalti, selagi syarikat yang menerbitkan karyanya masih mendapat untung daripada penerbitan karya itu, selagi itu penulis akan mendapat bahagiannya. Ia berkonsepkan 'menang-menang'. Jika karyanya sudah beberapa buah yang diterbitkan, royalti yang akan diterimanya secara kolektif tentulah lebih banyak. Royalti ini pula boleh diwariskan kepada waris sekiranya penulis meninggal dunia dan hasil tulisannya masih diedar dan dijual.

Oleh itu, kerja menulis boleh menghasilkan kedua-dua imbuhan pahala dan imbuhan wang. Kadar yang penulis akan dapat bergantung pada kadar niatnya. Apa yang penulis niatkan, itulah yang dia akan dapat, insya-Allah. Mudah-mudahan kita tidak hanya mendapat satu imbuhan dan kehilangan imbuhan yang satu lagi. Biarlah dapat kedua-duanya.

No comments: